Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 March, 2009

Tingkatkan kompetensi kerja - Dr Faizul




Caption:

1.TERHIBUR...Dr Faizul (tengah) bersama tetamu undangan khas yang lain sedang menyaksikan acara yang berlangsung bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Q 2009 di sini hari ini.

2.MANTAP...Kakitangan Jabatan Kesihatan Sri Aman sedang mempersembahkan Senaman Seni bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Q 2009 di sini hari ini.

SRI AMAN, Khamis (12 Mac) – Warga Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman diseru agar sentiasa bersikap positif dan proaktif dalam usaha memberikan perkhidmatan berkualiti dan terbaik kepada setiap pelanggan tanpa mengira masa serta di mana sahaja mereka berada.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Faizul Mansor berkata kerajaan telah memberikan pelbagai manfaat dan faedah untuk dinikmati oleh penjawat awam termasuk kakitangan Jabatan Kesihatan di seluruh negara sebelum ini.

Ianya kata beliau termasuklah semakan dan kenaikan gaji, pengiraan faedah persaraan berdasarkan tempoh perkhidmatan maksimum yang dinaikkan daripada 25 hingga 30 tahun, pemberian bonus, pencen terbitan, tawaran opsyen semula Skim KWSP kepada pencen dan banyak lagi.

“Untuk itu, kita (penjawat awam) hendaklah memberikan pulangan yang setimpal menerusi ganjaran yang diperolehi dengan meningkatkan kompetensi serta prestasi kerja masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Q 2009 Jabatan Kesihatan Peringkat Bahagian Sri Aman bertempat di Dewan Serbaguna Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman, hari ini.

Selain itu kata Faizul, semua kakitangan Jabatan Kesihatan haruslah sedar bahawa kualiti kerja bukanlah merupakan sesuatu yang stastik kerana ianya perlu dipertingkat dari masa ke semasa sejajar dengan kehendak dan keperluan pelanggan.

“Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa mengkaji kelemahan dalam sistem penyampaian perkhidmatan serta mencari jalan untuk mengatasi setiap masalah yang timbul selama ini.

“Adalah diharapkan dengan pelbagai inisiatif dan pelbagai program yang dianjurkan seperti Hari Kualiti ini, usaha kita untuk mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan akan diberkati dan menjadi inspirasi kepada warga setiap kerja Jabatan Kesihatan,” katanya.

Hadir sama ialah Pengarah Hospital Sri Aman, Dr Hajah Hayati Ja’afar, Pengarah Jabatan Kesihatan Sri Aman, Dr Murni Haryati, Pegawai Pergigian Sri Aman, Dr Roslina Mohd Zillah Mah dan Pegawai Penguasa Stor Ubat Sri Aman, Rohaida Zakaria.

Majlis Sambutan Hari Q 2009 Jabatan Kesihatan Peringkat Bahagian Sri Aman ini diserikan dengan persembahan nyanyian Koir Lagu Sihat Sejahtera dan Kualiti, Senaman Seni, penyampaian sijil dan cenderamata untuk pesara, penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta sijil penghargaan kepada Klinik Kesihatan Batu Lintang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment