Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 March, 2009

Sembang-sembang bersama penulis - Senario politik di Batang Ai

- Mac 21

Pilihanraya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai adalah merupakan topik yang paling menarik dibicarakan oleh ahli politik kedai kopi di daerah Lubok Antu dan Sri Aman pada masa sekarang.

Ini kerana kawasan DUN Batang Ai bakal menjadi gelanggang untuk menentukan pihak manakah yang bakal memimpin hidup rakyat di kawasan itu selepas 7 April nanti.

Adakah Malcom Mussen Lamoh dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) bakal menjadi wakil terbaru DUN Batang Ai selepas 7 April ini? Atau pun mungkin mantan Ahli Parlimen Lubok Antu sebelum ini iaitu Jawah Gerang yang bakal menjadi calon untuk Parti KeAdilan Rakyat.

Tidak lupa juga kepada pemilik laman web www.ruaikitai.com iaitu Johnny Chuat yang akan bertanding sebagai calon bebas ketika berlangsungnya pilihanraya kecil DUN Batang Ai ini kelak.

Pertandingan tiga penjuru. Itulah senario politik yang setakat ini, disahkan akan berlaku ketika berlangsung pilihanraya kecil DUN Batang Ai, bermula dari Hari Penamaan Calon pada 29 Mac ini sehinggalah ke Hari Pembuangan Undi pada 7 April.

Mussen lawan Jawah lawan Johnny. Siapakah yang bakal menang? Jawapannya kelak akan terjawab di tangan 8,006 pemilih berdaftar di kawasan DUN Batang Ai, yang hanya menggunakan pensel dan memangkah kertas undi pada 7 April kelak.

Namun begitu timbul pula spekulasi terbaru yang telah diwar-warkan oleh sekumpulan ahli politik kedai kopi di sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman baru-baru ini berhubung pilihanraya kecil itu nanti.

Akan ada pertandingan lima penjuru ketika berlangsungnya pilihanraya kecil ini nanti. Paling tidak pun mungkin empat kata mereka.

Mereka berpendapat bahawa terdapat lima pihak yang akan bertanding pada pilihanraya kecil ini nanti. Penyertaan Mussen, Johnny dan Jawah boleh dianggap sebagai sudah sah setakat ini. Jadi siapa pula dua buah pihak terbabit? Jawapan mereka ialah Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan ‘BN Plus’.

Mereka mendakwa bahawa terdapat dua buah puak dalam SNAP. Satu yang menyokong Barisan Nasional dan satu lagi yang menyokong pembangkang.

Jika puak BN dalam SNAP berjaya menghantar calon mereka maka ianya secara tidak langsung dapat membantu PRS – BN untuk memecahkan undi dikalangan 8,006 pemilih berdaftar dalam kawasan DUN berkenaan

Namun jika puak pembangkang dalam parti terbabit berjaya menghantar calon mereka maka barulah akan berlaku pertandingan lima penjuru seperti yang dinyatakan oleh ahli politik kedai kopi berkenaan.

Pihak kelima yang dimaksud ini ialah BN Plus, dihantar oleh BN sendiri dengan menggunakan tiket bebas untuk membantu menyelamatkan kedudukan calon mereka iaitu Malcom Mussen Lamoh.

Siapakah bakal calon BN Plus terbabit? Menurut mereka calon itu adalah Mikai Mandau, bekas ADUN Batang Ai yang tewas ditangan mendiang Datuk Dublin Unting Ingkot pada pilihanraya negeri 1991.

Mikai kata mereka akan dihantar oleh BN sendiri untuk bertanding pada pilihanraya kecil itu kelak andai kata sekiranya puak pembangkang SNAP menghantar calon mereka bagi tujuan yang sama.

Jika senario ini menjadi kenyataan maka akan berlaku pertandingan lima penjuru pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai kelak.

PRS – BN (Mussen) lawan Bebas (BN- Mikai) lawan Bebas (Johnny) lawan SNAP ( ? ) lawan PKR (Jawah Gerang).

Kita hanya perlu menunggu pada 29 Mac ini untuk melihat sejauh manakah kebenaran hujah yang telah diutarakan oleh ahli politik kedai kopi berkenaan.

Politik itu bukan seperti 1 + 1 boleh dua. Mungkin boleh jadi BN berjaya mempertahankan kedudukannya di situ. Ataupun mungkin Jawah Gerang masih kental dikalangan penyokong beliau dari kawasan Ulu Engkari.

Atau mungkin boleh jadi buat Johnny Chuat untuk membuat kejutan pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai itu dan muncul sebagai individu pertama dari kawasan Batang Lemanak, Lubok Antu yang menjadi wakil rakyat di Batang Ai.

Bak kata orang putih: Just Wait and See!




No comments:

Post a Comment