Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 March, 2009

SALCRA akan bangunkan tanah kosong penduduk Engkilili - Jabu

ENGKILILI, Rabu (25 Mac) – Kerajaan menerusi Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA) bakal membangunkan tanah kosong milik penduduk dari 14 buah rumah panjang dari kawasan Engkilili dalam masa terdekat kelak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata antara kawasan tanah kosong yang bakal di bangunkan oleh SALCRA ini termasuklah Kandis, Ulu Kumpang, Soh, Seramat, Sayat, Bukit Tungku, Danau dan Bangkong.

“Kita (kerajaan) berasa amat berpuashati apabila penduduk dari 14 buah rumah panjang sekitar kawasan Engkilili bersetuju untuk melibatkan diri dalam projek pembangunan tanah yang bakal dilaksana oleh SALCRA selepas ini nanti.

“Sehubungan itu pihak kita akan menghantar sebuah kumpulan untuk memantau serta menyukat keluasan tanah kosong milik penduduk terbabit ini bagi tujuan penanaman sawit selepas ini nanti,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Dundang, Kandis, Engkilili hari ini.

Perlaksanaan projek pembangunan tanah di kawasan terbabit nanti juga menurut beliau secara tidak langsung akan mengubah taraf hidup penduduk luar bandar di kawasan daerah kecil Engkilili dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ini kerana perlaksanaan projek pembangunan tanah oleh SALCRA kata Jabu lagi akan membolehkan kerajaan membawa masuk pelbagai projek pembangunan yang lain termasuklah jalan raya, pembekalan elektrik dan sebagainya.

“Malahan penduduk di kawasan ini (Engkilili) juga akan menikmati peningkatan taraf ekonomi keluarga menerusi penyertaan masing-masing dalam projek pembangunan tanah oleh SALCRA,” katanya.

Jabu juga percaya bahawa penduduk di kawasan luar bandar dalam negeri ini mula menunjukkan perubahan mentaliti masing-masing berhubung hal pembangunan tanah ke atas tanah kosong milik mereka.

“Lagipun SALCRA telah pun membayar sejumlah RM70 juta wang dividen kepada para peserta SALCRA dari kawasan Lubok Antu semenjak 30 tahun yang lepas,” kata beliau.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA), Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik Lutau, Datu Vasco Sabat Singkang, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, para kakitangan SALCRA, ketua kaum dan rakyat dari sekitar kawasan terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment