Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 March, 2009

Rumah Steel, Stumbin hangus!


Caption: MUSNAH...Beginilah rupa rumah panjang Stumbin yang telah musnah dijilat api kebakaran dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.30 petang kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (24 Mac) – 13 buah keluarga dari rumah Steel anak Resa, Stumbin, Lingga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah panjang terbabit musnah dijilat api dalam kejadian yang bermula pada jam 3.30 petang kelmarin.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Sri Aman, Karim Mohammad ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini menjelaskan bahawa pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran berkenaan pada jam 3.46 petang.

“Sebaik sahaja menerima panggilan terbabit, seramai lapan anggota bomba telah bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah jentera pemadam api dan kenderaan pacuan roda sambil membawa sebuah alat pengepam air,” katanya.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Sri Aman ini menurut beliau tiba di tempat kejadian terbabit pada jam 4.25 petang dan memulakan usaha mengawal api kebakaran di rumah panjang terbabit sehingga ianya berjaya dikawal pada jam 6.20 petang.

Kejadian kebakaran ini yang dipercayai telah memusnahkan rumah panjang terbabit hanya dalam tempoh 15 minit kata beliau telah menyebabkan kesemua 63 orang mangsa kebakaran dari 13 buah pintu rumah panjang hilang harta benda dan tempat tinggal.

“Punca kebakaran masih lagi belum diketahui. Bagaimanapun pihak kami masih lagi meneruskan siasatan untuk mencari punca sebenarnya yang menyebabkan berlakunya punca kejadian ini,” katanya.

Rumah Steel Resa, Stumbin, Lingga sebenarnya mempunyai 17 buah pintu. Bagaimanapun ketika berlakunya kejadian berkenaan hanya 13 daripada 17 buah pintu terbabit didiami oleh penghuninya manakala selebihnya lagi kosong.

Sementara itu tuai rumahnya, Steel ketika ditemui oleh Utusan Sarawak menjelaskan beliau tidak berada di rumah panjang terbabit ketika berlakunya kejadian kebakaran berkenaan.

“Saya berada di bandar Sri Aman pada ketika itu sebelum saudara-mara saya menghubungi saya berhubung kejadian kebakaran yang telah memusnahkan rumah panjang kami ini.

“Mujurlah tiada kemalangan jiwa berlaku. Namun saya berasa tergaman dan tidak dapat berkata apa-apa apabila melihat rumah panjang kami telah musnah di sebabkan oleh kejadian itu,” katanya sambil menambah bahawa beliau tidak tahu daripada api terbabit bermula.

Kesemua 63 orang mangsa kebakaran itu kini tinggal buat sementara waktu di Gereja Saint Bernabas Stumbin.

Tamat.


No comments:

Post a Comment