Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 March, 2009

RM19.5 juta untuk pembinaan Jambatan Seterap di Pantu - Snowdan


Caption: PENGHARGAAN...Charles (kiri) sedang menyampaikan cenderamata kepada Snowdan (kanan) sambil disaksikan oleh Edward (tengah), para ketua kaum dan pegawai kerajaan ketika berlangsungnya majlis semalam.

SRI AMAN, Jumaat (13 Mac) – Kerajaan telah meluluskan projek pembinaan Jambatan Seterap di daerah kecil Pantu, Sri Aman yang bakal menelan kos bernilai RM19.5 juta kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan.

Menurut beliau projek pembinaan Jambatan Seterap sepanjang 200 meter ini nanti akan bermula pada sebelum akhir tahun ini dan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2010 kelak.

“Pembinaan jambatan yang menelan kos RM19.5 juta ini akan bermula dari kawasan Pengkalan Pantu dan merentangi Sungai Batang Seterap ke kawasan seberang pengkalan berkenaan.

“Penduduk dari kawasan Semawa, Tuba, Keranggas, Muding, Tabong dan Menangkin akan dapat dihubungkan ke kawasan Pekan Pantu sekiranya jambatan ini sudah siap sebelum tahun 2010 kelak...ini berita baik untuk diri mereka,” katanya.

Snowdan berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bicara Gemilang 2009 anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman bertempat di Rumah Itat, Rapak Tepus, dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman semalam.

Projek ini yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) kata beliau lagi akan membolehkan kerajaan melaksana pelbagai projek pembangunan ke kawasan luar bandar terbabit khususnya untuk penduduk di sepanjang pesisiran Sungai Batang Seterap pada masa akan datang.

“Asalnya projek pembinaan Jambatan Seterap ini menelan kos bernilai RM10 juta berdasarkan kepada rekabentuk, panjang dan ketinggian aras jambatan berkenaan dari Sungai Batang Seterap.

“Bagaimanapun hasil pemantauan sebelum ini mendapati bahawa rekabentuk itu tidak sesuai dan ianya terpaksa diubahsuai semula sehingga kos pembinaan ini mencapai jumlah RM19.5 juta seperti yang diluluskan oleh kerajaan sekarang,” kata beliau.

Snowdan turut menambah bahawa kerajaan juga telah pun meluluskan peruntukkan bernilai RM500,000 untuk menurap kembali kawasan jalan yang rosak bermula dari simpang Pantu hingga ke kawasan Pekan Pantu berkenaan.

“Justeru saya berharap agar penduduk di kawasan Pantu dapat memanfaatkan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka dengan sebaik mungkin,” katanya lalu mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM3,000 kepada biro wanita rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Pengarah Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Charles Sigat Ason, Pegawai Daerah Kecil Pantu, SAO Edward Michael Duk, Pegawai JASA Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, para pegawai kerajaan dan para ketua kaum dari sekitar daerah kecil terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment