Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 March, 2009

PRS tak gentar akan Jawah kata Joseph Entulu


Caption: UNTUK ALBUM...Joseph (dua kanan) bersama rombongannya di Rumah Sri Aman kelmarin iaitu (bermula kiri sekali) Christopher Nyuak, John Sikie dan Naga Alam (kanan sekali).

SRI AMAN, Selasa (24 Mac) – Pemilihan Jawah Gerang sebagai calon Parti KeAdilan Rakyat (PKR) oleh penasihat umumnya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam tidak akan mengentarkan Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi menghadapi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini nanti.

Ini kerana pihak PRS yakin bahawa Jawah Gerang tidak akan mampu berkhidmat lebih baik sebagai seorang wakil rakyat pembangkang berdasarkan prestasinya ketika menjadi wakil rakyat dalam Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Penduduk di Batang Ai boleh menyoal diri mereka sendiri tentang kelainan yang pernah beliau bawa dari segi pembangunan di kawasan itu ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat di sana selama 25 tahun.

“Bagi saya jawapannya adalah tiada. Jika ada pun pembangunan di kawasan Batang Ai ketika era beliau (Jawah) menjadi wakil rakyat di sana dahulu ianya adalah disebabkan oleh BN di belakangnya dan bukannya daripada individu itu sendiri,” kata Timbalan Presiden PRS, Datuk Joseph Entulu anak Belaun.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak di Rumah Sri Aman lewat petang kelmarin sebelum keberangkatan beliau ke Telaus, Lubok Antu untuk menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di sana.

Keberangkatan beliau ke Telaus, Lubok Antu semalam turut diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, John Sikie Tayai, bekas setiausaha sulit kepada mendiang Datuk Dublin Unting, Nelson Naga Alam dan seorang ahli perniagaan terkemuka di Kapit, iaitu Christopher Nyuak.

Selain itu penyertaan Jawah dalam PKR kata Joseph juga disebabkan oleh beliau ‘merajuk’ kerana tidak dipilih sebagai calon BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen Lubok Antu pada pilihanraya parlimen tahun lepas.

“Jawah sebenarnya hanya mahu menjaga kepentingan diri sendiri berhubung perkara ini. Ini terbukti apabila beliau beria-ria mahu menjadi calon PKR walaupun beliau kini bukan lagi daripada BN.

“Beliau sepatutnya sudah lama bertanding sebagai seorang calon pembangkang jika tidak berpuashati dengan polisi BN sebelum ini dan bukannya bertindak sekarang setelah tidak dipilih untuk menjadi calon BN pada pilihanraya tahun lepas,” katanya.

Bagaimanapun, Joseph yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah tidak menafikan bahawa calon PKR terbabit masih mempunyai segelintir penyokong menjelang pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April nanti.

PRS yang merupakan salah sebuah komponen parti BN Negeri akan menghantar calon mereka iaitu Malcom Mussen Lamoh sebagai calon untuk mempertahankan kerusi DUN Batang Ai pada pilihanraya kecil itu kelak.

Tamat.






No comments:

Post a Comment