Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

02 March, 2009

PPWS hulur bantuan kebajikan kepada golongan yang amat memerlukan



Caption: UNTUK KENANGAN...Latifah (berdiri barisan tengah ketiga dari kanan) bersama Shamshuddin (kiri beliau) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan sebaik sahaja selesai majlis berkenaan kelmarin.

SRI AMAN, Isnin (2 Mac)– Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) kawasan Sri Aman tampil menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa dari Kampung Sungai Semilang dan Kampung Hulu yang telah musnah dijilat api kebakaran baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di Gereja Saint John, Sungai Semilang di sini semalam juga menyaksikan pihak PPWS kawasan Sri Aman turut menyampaikan bantuan kewangan kepada ahli keluarga yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dan sebagainya.

Sambil disertai oleh 20 ahli PPWS kawasan Sri Aman dan diketuai pengerusinya, Latifah Mantali, majlis penyampaian bantuan terbabit juga turut diserikan dengan kehadiran Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin bin Abang Seruji.

Latifah ketika ditemui pemberita berharap agar bantuan makanan dan wang ini dapat mengurangkan masalah kerumitan hidup yang ditanggung oleh para penerima ditimpa masalah trajedi atau musibah buruk selama ini.

“Justeru pihak kami berharap agar kesemua penerima terbabit memanfaatkan sumbangan yang disampaikan oleh pihak PPWS kawasan Sri Aman sebaik yang mungkin,” katanya.

Selain itu beliau juga yakin bahawa jabatan kerajaan, agensi swasta dan persatuan atau kelab di daerah ini begitu prihatin terhadap golongan penduduk yang sering ditimpa musibah selama ini.

“Lagipun sebelum ini sudah banyak pihak yang tampil untuk membantu keluarga mangsa kebakaran terbabit dengan menyumbangkan pelbagai bantuan dari kewangan dan sebagainya

“Paling penting ialah kesabaran. Bersyukurlah kerana kita hidup dalam rumpun rakyat Malaysia yang saling bantu-membantu dan meringankan tanggungan oleh golongan yang amat memerlukan,” katanya.

Pengerusi PPWS cawangan Kampung Tengah iaitu Saidah Saibi turut hadir sama untuk menyaksikan majlis penyampaian bantuan kepada para penerima.

Tamat.

No comments:

Post a Comment