Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 March, 2009

Pergerakan wanita SUPP anjur majlis sempena Hari Wanita Sedunia 2009


Caption: UNTUK ALBUM...Ling (duduk tengah berbaju hitam) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama ahli pergerakan wanita SUPP cawangan Simanggang ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (7 Mac) – Pergerakan Wanita Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2009 bertempat di bilik operasi parti terbabit di sini malam tadi.

Ketua Pergerakan Wanita SUPP Simanggang, Ling Siew Hung menerusi ucapannya menjelaskan bahawa sambutan Hari Wanita Sedunia ini amat bermakna untuk semua ahli pergerakan wanita SUPP Simanggang yang hadir pada majlis berkenaan.

“Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac ini nanti bertujuan untuk meraikan sumbangan wanita dalam bidang ekonomi, politik dan sosial serta juga demi mengenang kembali peristiwa 140 pekerja wanita yang terbunuh menerusi kejadian kebakaran di Kilang American New York Triangle pada tahun 1911.

“Justeru bersempena dengan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac ini nanti saya menyeru semua ahli pergerakan wanita SUPP Simanggang untuk lebih serius menyumbangkan usaha masing-masing ke arah peningkatan ekonomi, politik dan sosial di bandar ini,” katanya.

Selain itu Ling juga berharap agar pihak kepimpinan parti memberikan penekanan yang lebih penting terhadap peranan pergerakan wanita bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac nanti.

Penekanan oleh pihak kepimpinan parti ini kata beliau ialah termasuk usaha untuk menarik penyertaan lebih ramai wanita terutama dikalangan para belia wanita di bandar ini untuk menyertai parti SUPP di masa akan datang.

“Kekuatan parti SUPP cawangan Simanggang ini bukan sahaja didokong oleh ahli lelaki sahaja malah turut disebabkan oleh sumbangan para ahli pergerakan wanita dalam parti cawangan ini.

“Justeru saya berharap agar pihak kepimpinan parti dan pergerakan pemuda lelaki memberi perhatian lebih serius terhadap kumpulan pergerakan wanita ini dengan membantu mereka menjayakan pelbagai aktiviti sosial dari masa ke semasa,” katanya.

Majlis ini dirasmikan oleh Pemanca Sii Toh Peng selaku mewakili Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis yang tidak dapat hadir atas urusan rasmi tertentu di Kuching malam tadi.

Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2009 anjuran Pergerakan Wanita SUPP cawangan Simanggang ini turut dimeriahkan dengan acara demonstrasi memasak yang dikendalikan oleh ahli pergerakan wanita itu sendiri.

Tamat.

No comments:

Post a Comment