Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 March, 2009

Menjelang pilihanraya kecil Batang Ai - apa kata penduduk di sana?




Mugshot:

1. BUDIT...Batang Ai kawasan panas.
2. ROBIN...Hanya undi BN

SRI AMAN, Selasa (10 Mac) – Tinggal 12 hari sahaja lagi untuk kesemua pemilih berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pergi membuang undi menjelang pilihanraya kecil bagi DUN berkenaan pada 7 April ini nanti.

Pilihanraya kecil DUN Batang Ai bermula 29 Mac hingga 7 April ini nanti dianggap amat penting kerana ianya bakal menentukan halatuju pembangunan kawasan terbabit untuk penggal seterusnya.

Dianggap sebagai kawasan ‘panas’ berdasarkan kepada sejarah kronologi politiknya sebelum ini, pilihanraya kecil DUN Batang Ai ini nanti bakal menyaksikan pertembungan di antara Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Parti KeAdilan Rakyat yang mewakili pembangkang.

“Sebagai penyokong setia BN di kawasan ini saya berharap agar pihak PRS memilih seorang calon yang benar-benar layak untuk menentang calon daripada pihak pembangkang.

“Pertandingan (pilihanraya kecil DUN Batang Ai) kali ini bukan boleh dianggap sebarangan kerana pembangkang mungkin akan menurunkan calon berpengaruh mereka sama ada Nicholas Bawin atau pun Jawah Gerang,” kata seorang penduduk dari Krangan Mong, Lubok Antu iaitu Budit Nayang ketika dihubungi hari ini.

Atas sebab ini beliau yakin bahawa pihak BN akan mendapat tentangan yang cukup sengit daripada PKR menjelang pilihanraya kecil ini nanti walaupun pembangkang pernah tewas di tangan BN menerusi penyandang kerusi berkenaan sebelum ini iaitu mendiang Datuk Dublin Unting anak Ingkot.

Sementara itu Robin Langkau pula berharap agar pemilih berdaftar dari kawasan DUN Batang Ai membuat keputusan yang bijak sebelum membuang undi menerusi pilihanraya kecil pada 7 April kelak.

“Sebagai pengundi saya tidak akan mudah terikut-ikut dengan senario politik yang sedang berlaku di Semenanjung Malaysia pada masa sekarang kerana apa yang saya mahukan di masa akan datang adalah pembangunan.

“Saya hanya akan undi BN yang selama ini telah memberikan kesenangan dan pembangunan terhadap kawasan DUN Batang Ai ini untuk sepanjang masa,” katanya sambil menambah bahawa pilihan mengundi itu terletak di tangan pengundi bagi kawasan DUN terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment