Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 March, 2009

Kerajaan peruntuk RM15.038 juta untuk bina jalan di kawasan Lubok Antu kata Jabu




Caption:




1.PENGHARGAAN...Penduduk sedang menyarungkan Baju Burung kepada Dr James sambil disaksikan oleh Datuk Patinggi Jabu (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis hari ini.

2.MANFAATKAN...Nyalau (kanan) sedang mewakili Jabu untuk menyampaikan rebat enjin sangkut kepada seorang penerima (kiri) sambil disaksikan oleh Mussen (dua dari kanan) dan Shamshuddin (kanan sekali) ketika berlangsungnya majlis hari ini.

LUBOK ANTU, Rabu (18 Mac) – Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM15.083 juta bagi menaiktaraf jalan di beberapa buah kawasan dalam daerah Lubok Antu demi kebaikan para penduduknya demikian menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Daripada keseluruhan jumlah peruntukkan terbabit kata beliau, sejumlah RM5 juta telah diperuntukkan untuk membina jalan raya berturap di kawasan Skim Penempatan Semula Fasa II Batang Ai yang kini sedang giat dilaksanakan.

“Manakala itu sejumlah RM4 juta daripada jumlah terbabit pula telah diperuntukkan untuk membina jalan raya yang bakal menghubungkan Pekan Lubok Antu hingga ke kawasan Nanga Bulo.

“RM1 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukkan terbabit pula akan digunakan untuk membina jalan raya yang bakal menghubungkan Pekan Lubok Antu hingga ke kawasan Wong Pandak,” katanya.

Jumlah terbesar daripada nilai keseluruhan peruntukkan terbabit iaitu RM5.083 juta pula menurut Jabu akan digunakan untuk membina jalan raya yang bakal menghubungkan kawasan Nanga Kesit, Batang Lemanak, Spaya (kawasan Engkari) dan Bilararap (kawasan Ulu Lemanak).

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemudahan Infrastruktur berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Minyak atau Rebat kepada Penduduk-Penduduk Batang Lemanak bertempat Rumah Dimbap Awet, Serubah Ili, Lemanak, Lubok Antu di sini hari ini.

Selain itu beliau berharap agar wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai ini nanti dapat meneruskan perlaksanaan pelan pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di kawasan terbabit untuk sepanjang masa.

“Harapan saya ialah agar Malcom Mussen Lamoh (calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Batang Ai) dapat bekerjasama dengan Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak dan para wakil rakyat yang lain sekiranya berjaya menjadi wakil rakyat di sini (DUN Batang Ai).

“Kita mahu agar penduduk di kawasan DUN Batang Ai dapat terus menikmati nikmat pembangunan yang disalurkan oleh BN kepada mereka menerusi barisan wakil rakyat ini kelak,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Kemena, Dr Stephen Rundhi, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, calon BN untuk kerusi DUN Batang Ai, Mussen Lamoh, para pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk di kawasan ini.

Sejumlah 177 orang pemilik enjin sangkut dari kawasan Batang Lemanak, Lubok Antu telah menerima rebat pada majlis itu yang mencatatkan jumlah keseluruhan bayaran bernilai RM89,970.

Sebelum itu juga seramai 269 pemilik enjin dari kawasan Batang Ai turut menerima rebat menerusi majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Lubok Antu yang mencatatkan nilai keseluruhan sebanyak RM345,000.

Tamat.

No comments:

Post a Comment