Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 March, 2009

Kerajaan akan cari jalan bantu mangsa kebakaran dari Stumbin - Simoi


Caption: SIMPATI...Simoi (kiri) sedang menanyakan khabar seorang mangsa kebakaran yang mengalami kecederaan akibat kejadian terbabit ketika hadir untuk memberikan bantuan terhadap keluarga mangsa dari Rumah Steel, Stumbin, Lingga baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (26 Mac) – Kerajaan akan cuba mencari jalan untuk membantu 13 buah keluarga mangsa kebakaran dari Rumah Steel Resa, Stumbin, Lingga yang kehilangan tempat tinggal akibat kejadian kebakaran yang telah memusnahkan rumah panjang mereka pada 23 Mac lalu.

Rumah Steel musnah dalam kejadian kebakaran yang bermula pada jam 3.30 petang pada Selasa lalu sehingga menyebabkan 63 orang penghuni rumah panjang terbabit hilang tempat tinggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri berkata pihaknya akan cuba memohon pembinaan sebuah rumah panjang baru untuk mangsa kebakaran terbabit daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dalam tempoh terdekat ini.

“Kita tidak boleh memohon bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk mangsa kebakaran terbabit kerana bantuan itu berkonsep rumah secara individu dan bukannya rumah panjang.

“Atas sebab ini saya akan membawa perkara terbabit kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah untuk memohon bantuan pembinaan rumah panjang baru kepada semua keluarga mangsa kebakaran berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak semalam.

Selain itu beliau juga menyarankan para jabatan kerajaan, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam daerah ini untuk tampil membantu kesemua keluarga mangsa rumah panjang Stumbin yang telah dilanda musibah akibat kejadian kebakaran berkenaan.

Bantuan yang dihulurkan oleh semua badan terbabit kata Simoi secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa lebih-lebih lagi ketika menempuh urusan kehidupan seharian masing-masing.

“Masalah yang menimpa mangsa kebakaran ini perlu mendapat perhatian daripada semua pihak di daerah ini. Kita tidak boleh mengharapkan bantuan daripada kerajaan sahaja jika ingin mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa,” katanya.

Terdahulu Simoi telah menyampaikan bantuan makanan, barangan keperluan asas dan sumbangan wang peribadi berjumlah RM1,300 kepada mangsa kebakaran dari Rumah Steel Resa, Stumbin bertempat di Gereja Saint Bernabas Stumbin baru-baru ini.

Bantuan terbabit telah disampaikan oleh beliau kepada Tr Steel Resa sambil disaksikan oleh Kanselor Mas Shamsiah Maslem, para ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga dan penduduk rumah panjang berkenaan.

Tamat.







No comments:

Post a Comment