Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 March, 2009

Kemudahan jalur lebar di Lubok Antu tidak lama lagi

LUBOK ANTU, Ahad (8 Mac) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dipertanggungjawabkan untuk menyediakan perkhidmatan Pusat Jalur Lebar Masyarakat di kawasan Lubok Antu ini bermula dari kawasan Rumah Jangan anak Ningkan dalam masa terdekat kelak.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang Gandum berkata projek bernilai RM2 juta yang akan dilaksana oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ini merangkumi akses kepada penggunaan talian internet dan penggunaan komputer.

"Untuk tujuan ini pihak terbabit akan menggaji dua orang graduan (belum bekerja) dari daerah Lubok Antu yang celik komputer untuk melatih penduduk tempatan tentang penggunaan komputer.

“Apabila projek ini sudah siap kelak sudah tentunya penduduk di kawasan Lubok Antu akan menikmati kemudahan jalur lebar yang lebih meluas di masa akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di rumah panjang berkenaan semalam.

Selain itu, penduduk di Rumah Panjang Jangan Anak Ningkan dekat sini katanya juga bakal menikmati kemudahan telefon awam berbayar yang menggunakan perkhidmatan syarikat MAXIS.

Program terbabit yang bertujuan untuk mengurangkan perbezaan jurang digital di antara penduduk bandar dan luar bandar itu nanti menurut Salang akan menyaksikan penggunaan sebuah stesen pemancar yang berharga RM 1.2 juta sebagai permulaan.

”Ia menyediakan perkhidmatan MAXIS. Walau bagaimanapaun, syarikat telekomunikasi swasta lain yang bercadang melebarkan sayap perkhidmatan rangkaian mereka boleh melakukan pemasangan antena mereka sendiri pada stesen pemancar tersebut.

Pemasangan satu stesen pemancar akan menelan belanja sebanyak RM 1.2 juta termasuk aksesori dan generator manakala bagi syarikat telekomunikasi lain yang ingin meluaskan perkhidmatan mereka di sini juga boleh memasang antena mereka sendiri," katanya.

"Sebuah stesen pemancar telah pun didirikan pada Rancangan Malaysia lepas dan sebanyak lima stesen baru yang menelan kos sebanyak RM 6 juta akan didirikan dalam Rancangan Malaysia Ke-9," jelas beliau lagi.

Pada majlis tersebut juga Salang turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM1,000 kepada biro wanita rumah panjang berkenaan.

Turut hadir sama di majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyallau Badak, ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan dan juga Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie.
Tamat.

No comments:

Post a Comment