Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 March, 2009

Johnny : bertanding atau tidak?

Mugshot: JOHNNY CHUAT

SRI AMAN, Khamis (26 Mac) – Sebuah laman web telah melaporkan spekulasi yang mendakwa bahawa pemilik sebuah majalah Iban terkenal iaitu Johnny Chuat, 38, tidak akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini nanti.

Hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Batang Ai akan berlangsung pada 29 Mac ini manakala Hari pembuangan Undi pula akan berlangsung pada 7 April. Pilihanraya kecil itu diadakan berhubung kematian penyandangnya iaitu Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari lalu.

Laman web terbabit telah menggariskan tiga buah sebab yang mendakwa bahawa anak jati Batang Lemanak, Lubok Antu terbabit tidak akan bertanding pada pilihanraya kecil 7 April ini.

“Sebab pertama ialah beliau (Johnny) merupakan seorang usahawan majalah yang amat berjaya di negeri ini disamping perolehan pendapatan yang cukup kukuh sebagai pekerja bagi syarikat petroleum dan gas di luar negara.

“Berdasarkan kepada sebab pertama maka adalah tidak logik bagi seorang usahawan berjaya seperti beliau ini mahu bertanding pada pilihanraya kecil DUN N.29 Batang Ai itu nanti,” dakwa laman web berkenaan.

Selain itu sebab kedua menurut laman web terbabit ialah Johnny Chuat sehingga kini masih belum lagi menonjolkan dirinya di kalangan penduduk dalam kawasan Batang Lemanak, Ulu Engkari dan Batang Ai.

Jika Johnny serius untuk bertanding sebagai calon bebas kata laman web berkenaan beliau sepatutnya sudah ‘bergerak’ semenjak bulan awal bulan ini dan bukannya selepas Hari Penamaan Calon pada 29 Mac kelak.

“Bagaimanakah dia mahu diundi oleh rakyat pada pilihanraya kecil ini nanti jika tidak bergerak sekarang? Saya yakin wujudnya kumpulan tertentu yang sengaja mencetuskan spekulasi awal mengenai hasrat beliau (Johnny) sebelumnya demi motif sulit mereka selama ini.

“Lagipun Johnny adalah merupakan rakan karib kepada seorang ahli kuat Parti KeAdilan Rakyat (PKR) iaitu Dr John Brian Anthony dan ini adalah sebab ketiga bagi kami mengandaikan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pilihanraya kecil itu nanti,” kata laman web tersebut.

Sementara itu Johnny telah menolak spekulasi yang telah dinyatakan dalam laman web berkenaan sebelum ini ketika diminta oleh Utusan Sarawak untuk menjelaskan dakwaan terbabit berhubung hasrat beliau untuk bertanding sebagai calon beas pada pilihanraya kecil berkenaan.

“Anda sendiri tahu bahawa pelbagai perkara boleh berlaku dalam dunia politik. Laman web terbabit boleh mengeluarkan apa jua spekulasi yang mereka mahu berhubung hasrat saya ini.

“Pada 29 Mac ini nanti barulah anda akan dapat melihat pergerakkan sebenar saya sebagai calon bebas di sana (Batang Ai). Saya sudah bersiap sedia sekarang dan akan mula berkempen secara serius selepas 29 Mac nanti,” katanya.

Johnny, calon bebas, akan menghadapi calon Barisan Nasional (BN), Malcom Mussen Lamoh dan calon Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Jawah anak Gerang pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April kelak.

Tamat.

No comments:

Post a Comment