Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 March, 2009

Jawah bakal calon PKR?

SRI AMAN, Sabtu (21 Mac) – Bahang pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai semakin hangat apabila Ketua Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan nama calon parti berkenaan di Lubok Antu esok (22 Mac).

Anwar dijangka akan memilih Nicholas Bawin anak Anggat ataupun bekas mantan Ahli Parlimen Lubok Antu, Jawah anak Gerang untuk menjadi calon PKR bagi bertanding di pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April nanti.

Bagaimanapun sumber hari ini memberitahu Utusan Sarawak bahawa Jawah Gerang akan diumumkan sebagai calon yang bakal bertanding pada pilihanraya kecil itu nanti berdasarkan kepada reputasinya ketika bertanding di kawasan berkenaan selaku mewakili Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Saya yakin bahawa Jawah akan diumumkan oleh Anwar sebagai calon PKR di Lubok Antu esok (22 Mac) kerana beliau sebelum ini tidak pernah kalah dan juga menjadi wakil rakyat di kawasan Parlimen Lubok Antu selama 25 tahun.

“Jika Jawah menjadi calon maka BN akan mendapat tentangan yang cukup sengit menjelang pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April nanti,” kata sumber terbabit ketika dihubungi hari ini.

Sekiranya Jawah sah menjadi calon PKR esok maka kawasan DUN Batang Ai pada pilihanraya kecil itu nanti bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Parti Rakyat Sarawak (PRS-BN), PKR dan juga bebas iaitu Johnny Chuat.

PRS pada pilihanraya kecil itu nanti akan menghantar calon mereka iaitu Malcom Mussen Lamoh manakala Johnny Chuat dari Batang Lemanak pula telah mengesahkan hasratnya untuk bertanding sebagai calon bebas kelmarin.

Selain itu terdapat ura-ura yang mengatakan akan berlakunya pertandingan empat penjuru pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai itu nanti apabila Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) sebelum ini turut menyatakan hasratnya mereka untuk menghantar calon bagi tujuan pilihanraya kecil berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment