Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 March, 2009

Jangan mudah terpengaruh dengan kempen wanita PKR Batang Ai kata Sikie

LUBOK ANTU, Selasa (17 Mac) – Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), John Sikie Tayai menasihatkan para pemilih berdaftar wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar membuat pilihan yang tepat ketika membuang undi menjelang pilihanraya kecil kawasan itu pada 7 April ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta untuk mengulas mengenai tindakan Pergerakan Wanita Parti KeAdilan Rakyat (PKR) yang bertindak menubuhkan pusat operasi mereka terbabit di Kampung Kutai, Lubok Antu tengahari kelmarin

Sambil dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Wanita PKR iaitu Hajah Zuraida Kamaruddin, mereka juga turut melancarkan Pasukan Gerak Gempur Wanita Berdaya Harapan Negara selari dengan pelancaran Kempen ‘Katakan Tidak Kepada Politik Durjana’ menjelang pilihanraya kecil berkenaan.

“Saya yakin bahawa para pemilih berdaftar wanita di kawasan DUN Batang Ai ini terdiri daripada mereka yang berpelajaran serta berpendidikan tinggi.

“Jadi saya berharap para pemilih berdaftar di kawasan ini tidak mudah terpengaruh dengan kempen yang cuba dibawa oleh kumpulan pergerakan wanita PKR terbabit menjelang pilihanraya kecil ini kelak,” kata Sikie yang pada masa itu menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Nyemungan Simpang, Lubok Antu lewat petang kelmarin..

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda PRS, Mong anak Dagang ketika ditemui pemberita pada majlis yang sama berharap agar pemilih berdaftar wanita di kawasan DUN Batang Ai membuat pilihan yang tepat pada pilihanraya kecil DUN berkenaan nanti.

Undian oleh para pemilih berdaftar wanita itu kelak jelas beliau boleh mempengaruhi keputusan pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April ini kelak yang seterusnya boleh mempengaruhi masa depan pembangunan kawasan mereka sendiri.

Terdahulu Ketua Pergerakan Wanita PKR merangkap Ahli Parlimen Ampang ketika ditemui pemberita tengahari kelmarin menjelaskan bahawa pihaknya akan mensasarkan golongan pemilih berdaftar wanita untuk memperoleh undi menjelang pilihanraya kecil DUN Batang Ai kelak.

“Pihak kami juga akan membawa beberapa isu bagi tujuan kempen pilihanraya ini kelak seperti isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), hal keluarga dan juga yang berkaitan isu wanita selama ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment