Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 March, 2009

Hotel Kelingkang Inn Lubok Antu habis ditempah PKR

SRI AMAN, Jumaat (6 Mac ) – Parti KeAdilan Rakyat (PKR) telah mula mengatur langkah untuk menghadapi pilihanraya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini apabila mereka telah menempah semua bilik di Hotel Kelingkang Inn dalam kawasan Pekan Lubok Antu semenjak 4 Mac lepas.

Kelingkang Inn, yang terletak di Jalan Penghulu Tembak, Pekan Lubok Antu adalah merupakan satu-satunya hotel yang terdapat di kawasan pekan terbabit hingga ke masa sekarang.

Terletak bersebelahan dengan Gerai Tatai Kenyalang yang berada kini berada bawah kendalian Majlis Daerah Lubok Antu, pihak PKR telah bertindak menempah kesemua 18 buah bilik yang terdapat di Hotel Kelingkang Inn terbabit.

“Bayaran sewa bagi satu malam untuk sebuah bilik di Hotel Kelingkang Inn ialah RM48 dan pihak PKR telah pun menempah kesemua bilik di hotel berkenaan bermula dari tarikh 28 Mac hingga ke 7 April.

“Jika anda menilai kadar bayaran sewa untuk satu malam bagi sebuah bilik hotel berkenaan, anda akan mendapati bahawa pihak PKR telah pun membayar sejumlah RM9,504 secara tunai untuk tujuan terbabit,” kata sumber ketika memberitahu Utusan Sarawak hari ini.

Kata sumber pihak PKR dipercayai bertindak awal untuk menempah kesemua 18 buah bilik di Hotel Kelingkang Inn kerana bimbang kesemua bilik terbabit akan ditempah oleh pihak Barisan Nasional (BN) bagi tujuan pilihanraya kecil berkenaan.

Dengan bertindak lebih awal untuk menempah bilik hotel berkenaan, PKR kini dijangka tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk ‘berkampung’ di Pekan Lubok Antu selama 11 hari iaitu bermula dari Hari Penamaan Calon (28 Mac) hinggalah ke Hari Pembuangan Undi (7 April).

“Mereka pernah ‘gigit jari’ sebelum ini apabila pihak BN terlebih dahulu menempah semua bilik di hotel berkenaan ketika berlangsungnya pilihanraya negeri dan parlimen sebelum ini,” kata sumber terbabit.

Sementara itu seorang ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) cawangan Batang Ai yang enggan namanya disiarkan di sini memberitahu bahawa BN tidak akan mempunyai sebarang masalah sekiranya pihak PKR menempah semua bilik di hotel terbabit bermula dari 28 Mac hingga 7 April.

“Itu hal kecil sahaja kerana penduduk di sini kebanyakkannya terdiri daripada penyokong BN. Lagipun di Sri Aman juga terdapat banyak hotel bagi pengikut BN yang datang dari jauh untuk tujuan penginapan,” kata beliau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment