Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 March, 2009

Fadilah kesal dengan tindakan pembangkang yang sengaja melaga-lagakan Iban - Melayu

LUBOK ANTU, Sabtu (21 Mac) – Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu. (PBB) Haji Fadillah Haji Yusof kesal dengan tindakan pihak pembangkang yang cuba melaga-lagakan orang Melayu dan Dayak demi kepentingan politik mereka.

Tindakan pihak pembangkang terbabit menurut beliau boleh dilihat apabila pihak berkenaan sengaja mengutarakan isu yang menyatakan bahawa orang Melayu selama ini sering menekan kehidupan orang Dayak.

“Itu adalah dakyah semata-mata. Tujuan utama golongan terbabit ialah mahu orang Dayak berhenti menyokong pihak Barisan Nasional (BN) dan seterusnya memberikan sokongan terhadap pihak berkenaan (pembangkang).

“BN memberikan hak pembangunan yang sama rata terhadap berbilang kaum dalam negeri ini...jika pihak pembangkang mendakwa orang Melayu menindas orang Dayak maka itu adalah pembohongan semata-mata,” katanya sambil menambah pemimpin Melayu dan Dayak saling bekerjasama untuk memajukan negeri ini semenjak dari dulu.

Fadillah yang juga merupakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Warga Ceria anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bertempat di Gerai Tatai Kenyalang Majlis Daerah Lubok Antu hari ini.

Selain itu pihak pembangkang terutama Parti KeAdilan Rakyat (PKR) sering menganggu usaha pihak BN untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan di negeri ini dengan menyebarkan pelbagai isu remeh-temeh dikalangan penduduk.

Selain cuba melaga-lagakan orang Melayu dan Dayak, pihak berkenaan tambah Fadillah telah sengaja membantutkan usaha peningkatan taraf hidup penduduk dengan meracuni pemikiran menerusi sesuatu isu.

“Lagipun pihak BN cukup biasa dengan kerenah para penyokong PKR selama ini. Apabila mereka berasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu terbabit mereka akan turun untuk berdemonstrasi.

“Mereka tidak sedar akan perbuatan mereka. Ini kerana tindakan berdemonstrasi akan menunjukkan kelemahan politik kita sehingga menyebabkan pelabur asing tidak mahu datang ke sini,” katanya.

Justeru beliau berharap agar penduduk di kawasan Batang Ai tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang cuba disampaikan oleh pihak pembangkang terhadap mereka lebih-lebih lagi ketika menjelang pilihanraya kecil DUN Batang Ai ini nanti.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak dan Ahli Parlimen Batang Sadong iaitu Hajah Nancy Syukrie.

Tamat.


No comments:

Post a Comment