Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 March, 2009

Calon tak semestinya berijazah - Vicker


Mugshot: VICKER ANDREW ENTING

SRI AMAN, Isnin (9 Mac) – Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) kawasan Batang Ai mahu pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memilih bakal calon berlandaskan kepada faktor ‘senioriti’ untuk bertanding pada pilihanraya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini nanti.

Ketua Pergerakan Pemuda PRS Batang Ai, Vicker Andrew Enting ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini menjelaskan bahawa bakal calon BN ini nanti perlu terdiri daripada seseorang yang mempunyai faktor ‘senioriti’dalam parti PRS dan bukannya berlandaskan kepada faktor kelayakan akademik sahaja.

“Lagipun penting juga di sini ialah bakal calon itu mempunyai hubungan keakraban yang cukup baik serta cukup dikenali oleh semua penduduk di kawasan DUN Batang Ai berkenaan sebelum ini.

“Bagi saya pihak pucuk pimpinan parti BN lebih-lebih lagi PRS harus melihat aspek ini terlebih dahulu sebelum mereka nekad memilih calon yang bakal bertanding di kerusi DUN Batang Ai pada 7 April ini nanti,” katanya.

Selain itu beliau juga menegaskan bahawa bakal calon terbabit haruslah dipilih daripada individu yang sememangnya mengetahui selok-belok visi pembangunan yang sedang dibawa oleh mendiang Datuk Dublin Unting Ingkot sebelum ini di Batang Ai.

Ini kerana menurut Vicker ianya boleh menjadi satu kelebihan untuk bakal calon terbabit bagi meneruskan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh mendiang Datuk Dublin sebelum meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

“Saya percaya bahawa ahli PRS di peringkat akar umbi (Batang Ai) juga berfikiran seperti saya berhubung perkara ini. Bagaimanapun kami, Pergerakan Pemuda PRS kawasan Batang Ai akan tetap menyokong apa jua keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

“Kami akan mempersiapkan jentera pergerakan pemuda PRS Batang Ai dan seterusnya bekerjasama dengan lain-lain komponen BN di kawasan ini untuk memastikan calon BN menang pada pilihanraya kecil ini nanti,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa hanya BN sahaja yang mampu melaksanakan pelbagai projek pembangunan demi mempertingkatkan taraf hidup penduduk di kawasan Lubok Antu khususnya di Batang Ai untuk sepanjang masa.

Hari penamaan calon bagi Pilihanraya kecil DUN Batang Ai akan diadakan pada 29 Mac ini nanti manakala hari pembuangan undi pula akan berlangsung pada 7 April yang mana calon BN diramal akan berhadapan dengan calon pembangkang iaitu Nicholas Bawin Anggat ataupun Jawah anak Gerang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment