Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 March, 2009

Sober pun kena kebas daa.....


Caption: HILANG...Kay menunjukkan komponen absorber pada bahagian motorsikalnya yang telah hilang dicuri oleh pencuri pada malam tadi.

SRI AMAN, Isnin (30 Mac) – Seorang remaja lelaki yang menyewa di sebuah bilik dalam bangunan Lot 916, Jalan Hospital di bandar ini melahirkan rasa kesal apabila dua buah komponen penyerap hentakan (absorber) motorsikalnya dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sekitar waktu malam tadi.

David Kay Merican, dari Kampung Putat, Sri Aman hanya menyedari komponen penyerap hentakan motorsikalnya hilang setelah dimaklumkan oleh kakitangan Utusan Sarawak Sri Aman pada waktu awal pagi hari ini.

“Kehilangan kedua-dua komponen absorber motorsikal saya ini telah disedari oleh para kakitangan pemasaran Utusan Sarawak sekitar jam 6 pagi hari ini yang secara kebetulan pada masa itu sedang menguruskan penghantaran surat khabar mereka berdekatan dengan tempat parkir motorsikal saya.

“Mereka kemudiannya memaklumkan kejadian ini kepada saya sendiri berhubung kehilangan kedua-dua komponen absorber saya itu,” katanya sambil menambah bahawa beliau sering meletakkan kenderaannya di bawah bangunan Lot 916 itu pada setiap hari.

Kay juga percaya bahawa motorsikalnya itu selalu diperhatikan oleh golongan terbabit pada setiap hari sebelum mereka melaksanakan kerja jenayah mereka sekitar waktu malam tadi.

Kehadiran bangunan baru di hadapan bangunan tempat tinggalnya itu menurut beliau dipercayai memudahkan lagi usahanya golongan tidak bertanggungjawab terbabit untuk kerja jenayah mereka.

“Kawasan bangunan lot 916 kini kian terlindung dan memudahkan kerja golongan terbabit. Bagaimanapun saya berasa bersyukur kerana mereka tidak mencuri motorsikal saya malam tadi,” katanya.

Kay kemudian menghantar motorsikalnya itu ke sebuah kedai mekanik berhampiran untuk memasang kembali kedua-dua komponen absorber yang sebelum ini hilang dicuri oleh golongan tersebut.

Tamat.



29 March, 2009

Mussen versus Jawah; Johnny withdraw

LUBOK ANTU, Ahad (29 Mac) – Calon Barisan Nasional (BN) dari Parti Rakyat Sarawak (PRS), Malcom Mussen Lamoh telah mengesahkan kedudukan beliau untuk bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Batang Ai pada Hari Penamaan Calon yang berlangsung di Dewan Serbaguna Lubok Antu hari ini.

Pencalonan Mussen, 49, yang merupakan calon baru bagi pihak BN menggantikan penyandang asal iaitu mendiang Datuk Dublin Unting Ingkot telah dilakukan pada jam 9.15 pagi dan dicadangkan oleh Grang anak Juben sambil disokong oleh Jampi anak Tutong.

Manakala itu calon Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Jawah anak Gerang turut mengesahkan kedudukannya untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN N.29 Batang Ai menerusi Hari Penamaan Calon yang berlangsung pada hari ini.

Pencalonan Jawah, 55, telah dilakukan pada jam 9.03 pagi di pusat penamaan calon, Dewan Serbaguna Lubok Antu dan ianya dicadang oleh Uggeh anak Babang sambil disokong oleh Lepang anak Grang.

Bagaimanapun bakal calon bebas iaitu Johnny anak Chuat, 38, telah menarik diri pada pilihan raya kecil ini apabila tidak menghantar borang penamaan calon sehingga tamat waktu penamaan calon pada jam 10 pagi hari ini. Beliau kemudiannya bertindak mengisthiyarkan dirinya sebagai penyokong PKR di luar perkarangan pusat penamaan calon terbabit.

Dua bantahan telah dikemukakan ketika berlangsungnya waktu bantahan seperti yang telah diumumkan oleh Nelson Mujah Girie bermula dari jam 10 hingga 11 pagi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN N.29 Batang Air iaitu Nelson Mujah anak Girie.

Mujah kemudiannya mengumumkan pengesahan nama kedua-dua calon iaitu Mussen dan Jawah yang akan bertanding pada pilihan raya kecil DUN Batang Ai tepat pada jam 11.15 pagi setelah tamat masa bantahan pada jam 11 pagi.

Oleh yang demikian pilihan raya kecil DUN Batang Ai pada 7 April ini kelak bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru di antara Mussen dan Jawah bagi merebut kerusi DUN Batang Ai berkenaan.

Terdahulu Mussen telah tiba di perkarangan pusat penamaan calon Dewan Serbaguna Lubok Antu pada jam 9.10 pagi bersama 5,000 penyokong BN yang telah mengiringi beliau dan yang juga turut menunggu ketibaan calon BN terbabit di kawasan dewan tersebut.

Kedatangan beliau di pusat penamaan calon ini turut diriingi oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud bersama timbalannya, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kebudayaan, Seni dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, Menteri Penerangan, Datuk Sabrie Cheek, barisan menteri kabinet Sarawak dan wakil rakyat BN.

Mussen, anak jati kelahiran rumah panjang Danau, Engkilili telah memegang jawatan Jurutera Jabatan Pertanian Malaysia Sarawak sebelum dipilih sebagai calon BN untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Batang Ai berkenaan.

Manakala itu calon PKR iaitu Jawah adalah anak jati anak jati kelahiran Rumah Lepang, Sayat, Lubok Antu yang sebelum pernah menjadi Ahli Parlimen Lubok Antu selama lima penggal sebelum tidak dipilih untuk mewakili BN bagi mempertahankan kerusi parlimen terbabit pada pilihan raya umum bulan Februari tahun lepas.

Tamat.

26 March, 2009

Wan Ahmad mahu MAFREL jangan buat kenyataan tidak bertanggungjawab


Caption: PENGUMUMAN...Datuk Wan Ahmad (dua dari kanan) bersama kakitangan SPR sedang memperkatakan sesuatu kepada pihak pemberita ketika berlangsungnya persidangan media di Pejabat Pelajaran Daerah Kecil Lubok Antu hari ini.

LUBOK ANTU, Khamis ( 26 Mac) – Badan Bukan Kerajaan (NGO) Bebas iaitu Malaysian For Free and Fair Election (Mafrel) sepatutnya lebih bertanggungjawab ketika mengeluarkan sesuatu kenyataan yang boleh mendatangkan kekeliruan dikalangan rakyat kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad bin Wan Omar.

Terdahulu Mafrel menerusi kenyataannya yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris baru-baru ini mendakwa wujudnya ‘pengundi hantu’ di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai.

Ini kerana sebanyak 96 peratus atau 7,117 daripada 8006 orang pemilih berdaftar bagi kawasan DUN terbabit kata Mafrel mempunyai alamat tempat tinggal yang tidak lengkap dan tidak dapat dikesan sehingga sekarang.

"SPR tidak berhak untuk memindah alamat daftar pemilih di sesuatu kawasan selain tidak berhak untuk menghapuskan nama pemilih yang telah pun meninggal dunia selagi tidak menerima surat kematian yang sah daripada pihak Jabatan Pendaftaran.

“Justeru pihak kami menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Mafrel kononnya wujud pengundi hantu di kawasan DUN Batang Ai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan taklimat sempena persiapan pilihan raya Batang Ai di Pejabat Pelajaran Kecil Daerah Lubok Antu hari ini.

Selain itu kata Wan Ahmad pihak Mafrel seharusnya faham keadaan di kawasan Batang Ai kerana kebanyakan pemilih berdaftar tidak tinggal tetap di sesuatu tempat selain disebabkan faktor pekerjaan (bekerja luar dari kawasan mengundi).

Mafrel katanya haruslah tahu bahawa hanya pemilih ataupun keluarga pemilih (jika pemilih sudah meninggal dunia) sahaja yang berhak untuk membuat sebarang perubahan terhadap senarai daftar pemilih yang dipegang oleh SPR selepas mendapat dokumen pengesahan daripada pihak Jabatan Pendaftaran ataupun polis.

"Bukan mudah untuk menggunakan nama pengundi yang sudah meninggal dunia. Ini kerana mereka ini akan melalui proses pemeriksaan kad pengenalan atau lain-lain dokumen rasmi sebelum mereka dibenarkan untuk mengundi.

“Pihak SPR juga berhak untuk menolak nama seseorang pemilih sekiranya wujud kesangsian di antara status pemilih yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri selain kad pengenalan atau pun lesen memandu.

Wan Ahmad turut menambah bahawa kawasan Dewan Undangan Negeri Batang Ai mempunyai seorang pemilih berdaftar berusia 111 tahun dan 109 tahun manakala dua orang lagi berusia 95 tahun, 14 orang (81 hingga 90 tahun) dan selebihnya pula berusia 79 tahun ke bawah hingga 21 tahun.

“Sebanyak 14 buah sekolah, tiga buah rumah panjang, tiga dewan serbaguna, empat buah tadika dan satu pejabat kerajaan akan dijadikan sebagai pusat mengundi menjelang pilihanraya kecil ini nanti,” katanya.

Tamat.


Hidup Ari!


TAHNIAH! Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superitenden Police (DSP) Mat Jusoh bin Muhammad sedang menyampaikan sijil penghargaan kepada Pegawai Bahagian Logistik Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman, Inspektor Aridhasan Menandi ketika berlangsungnya Perhimpunan sempena Sambutan Hari Polis Ke-202 di Padang Kawad IPD Sri Aman semalam. Aridhasan merupakan salah seorang daripada 24 orang penerima sijil penghargaan yang terdiri daripada pegawai kanan, anggota pangkat rendah, kakitangan awam dan ahli PERKEP yang menerima sijil penghargaan daripada Jusoh semalam. Majlis terbabit yang turut dimeriahkan dengan upacara memotong kek turut disaksikan oleh Ketua cawangan Khas, ASP Melay Tingom, Ketua Cawangan Siasatan Jenayah, ASP Sazali Latif bersama dengan para pegawai kanan IPD Sri Aman. - 26 Mac

Pasukan Bomba Sukarela di Lingga


Mugshot: KARIM MOHAMMAD

SRI AMAN, Khamis (26 Mac) – Pegawai Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman, Karim bin Mohammad mengalakkan para ketua kaum di daerah kecil Lingga, Sri Aman untuk menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kejadian kebakaran di kawasan masing-masing pada masa akan datang.

Pasukan Bomba Sukarela ini menurut beliau akan menjadi pihak pertama yang akan bertindak balas terhadap kejadian kebakaran di kawasan mereka sementara menanti kedatangan pihak Bomba dan Penyelamat Sri Aman ke lokasi kejadian.

“Pasukan Bomba Sukarela sebenarnya sesuai ditubuhkan dalam sesebuah kawasan yang jauh dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman kerana mereka akan menjadi pihak pertama yang akan bertindak balas terhadap kejadian kebakaran di kawasan masing-masing.

“Justeru atas sebab ini saya meminta semua para penghulu, ketua kaum atau tuai rumah dan ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dari kawasan Lingga untuk tampil berbincang dengan saya berhubung penubuhan pasukan Bomba Sukerela ini,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak baru-baru ini.

Tempoh penubuhan Pasukan Bomba Sukarela ini bagaimanapun menurut beliau bergantung kepada permohonan yang akan dikemukakan oleh para ketua kaum terbabit terhadap pihaknya.

Sebaik sahaja permohonan terbabit diluluskan pihak bomba kata beliau akan bertindak memberikan pelbagai jenis latihan untuk menghadapi kebakaran kepada anggota pasukan Bomba Sukarela terbabit.

“Disamping latihan yang akan diberikan oleh pihak kami, pasukan Bomba Sukarelawan ini juga akan diberikan beberapa peralatan untuk menghadapi kejadian kebakaran di kawasan mereka.

“Justeru saya berharap kadar kehilangan harta benda dapat dikurangkan dengan adanya penubuhan pasukan Bomba Sukarela ini di kawasan Lingga atau lain-lain kawasan luar dalam daerah Sri Aman,” katanya.

Karim turut menambah bahawa pasukan Bomba Sukarela berkenaan sudah pun berjaya ditubuhkan di kawasan Lubok Antu dan Engkilili manakala Lachau serta Lingga pula masih dalam fokus penubuhan pasukan terbabit.

“Pasukan Bomba Sukarela Lubok Antu adalah yang paling aktif di daerah Sri Aman pada masa sekarang. Disamping latihan yang cukup, pasukan itu juga kini telah pun dibekalkan peralatan memadam kebakaran seperti saluran hos dan pam air,” katanya.

Tamat.


Kerajaan akan cari jalan bantu mangsa kebakaran dari Stumbin - Simoi


Caption: SIMPATI...Simoi (kiri) sedang menanyakan khabar seorang mangsa kebakaran yang mengalami kecederaan akibat kejadian terbabit ketika hadir untuk memberikan bantuan terhadap keluarga mangsa dari Rumah Steel, Stumbin, Lingga baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (26 Mac) – Kerajaan akan cuba mencari jalan untuk membantu 13 buah keluarga mangsa kebakaran dari Rumah Steel Resa, Stumbin, Lingga yang kehilangan tempat tinggal akibat kejadian kebakaran yang telah memusnahkan rumah panjang mereka pada 23 Mac lalu.

Rumah Steel musnah dalam kejadian kebakaran yang bermula pada jam 3.30 petang pada Selasa lalu sehingga menyebabkan 63 orang penghuni rumah panjang terbabit hilang tempat tinggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri berkata pihaknya akan cuba memohon pembinaan sebuah rumah panjang baru untuk mangsa kebakaran terbabit daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dalam tempoh terdekat ini.

“Kita tidak boleh memohon bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk mangsa kebakaran terbabit kerana bantuan itu berkonsep rumah secara individu dan bukannya rumah panjang.

“Atas sebab ini saya akan membawa perkara terbabit kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah untuk memohon bantuan pembinaan rumah panjang baru kepada semua keluarga mangsa kebakaran berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak semalam.

Selain itu beliau juga menyarankan para jabatan kerajaan, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam daerah ini untuk tampil membantu kesemua keluarga mangsa rumah panjang Stumbin yang telah dilanda musibah akibat kejadian kebakaran berkenaan.

Bantuan yang dihulurkan oleh semua badan terbabit kata Simoi secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa lebih-lebih lagi ketika menempuh urusan kehidupan seharian masing-masing.

“Masalah yang menimpa mangsa kebakaran ini perlu mendapat perhatian daripada semua pihak di daerah ini. Kita tidak boleh mengharapkan bantuan daripada kerajaan sahaja jika ingin mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa,” katanya.

Terdahulu Simoi telah menyampaikan bantuan makanan, barangan keperluan asas dan sumbangan wang peribadi berjumlah RM1,300 kepada mangsa kebakaran dari Rumah Steel Resa, Stumbin bertempat di Gereja Saint Bernabas Stumbin baru-baru ini.

Bantuan terbabit telah disampaikan oleh beliau kepada Tr Steel Resa sambil disaksikan oleh Kanselor Mas Shamsiah Maslem, para ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga dan penduduk rumah panjang berkenaan.

Tamat.







Johnny : bertanding atau tidak?

Mugshot: JOHNNY CHUAT

SRI AMAN, Khamis (26 Mac) – Sebuah laman web telah melaporkan spekulasi yang mendakwa bahawa pemilik sebuah majalah Iban terkenal iaitu Johnny Chuat, 38, tidak akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini nanti.

Hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Batang Ai akan berlangsung pada 29 Mac ini manakala Hari pembuangan Undi pula akan berlangsung pada 7 April. Pilihanraya kecil itu diadakan berhubung kematian penyandangnya iaitu Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari lalu.

Laman web terbabit telah menggariskan tiga buah sebab yang mendakwa bahawa anak jati Batang Lemanak, Lubok Antu terbabit tidak akan bertanding pada pilihanraya kecil 7 April ini.

“Sebab pertama ialah beliau (Johnny) merupakan seorang usahawan majalah yang amat berjaya di negeri ini disamping perolehan pendapatan yang cukup kukuh sebagai pekerja bagi syarikat petroleum dan gas di luar negara.

“Berdasarkan kepada sebab pertama maka adalah tidak logik bagi seorang usahawan berjaya seperti beliau ini mahu bertanding pada pilihanraya kecil DUN N.29 Batang Ai itu nanti,” dakwa laman web berkenaan.

Selain itu sebab kedua menurut laman web terbabit ialah Johnny Chuat sehingga kini masih belum lagi menonjolkan dirinya di kalangan penduduk dalam kawasan Batang Lemanak, Ulu Engkari dan Batang Ai.

Jika Johnny serius untuk bertanding sebagai calon bebas kata laman web berkenaan beliau sepatutnya sudah ‘bergerak’ semenjak bulan awal bulan ini dan bukannya selepas Hari Penamaan Calon pada 29 Mac kelak.

“Bagaimanakah dia mahu diundi oleh rakyat pada pilihanraya kecil ini nanti jika tidak bergerak sekarang? Saya yakin wujudnya kumpulan tertentu yang sengaja mencetuskan spekulasi awal mengenai hasrat beliau (Johnny) sebelumnya demi motif sulit mereka selama ini.

“Lagipun Johnny adalah merupakan rakan karib kepada seorang ahli kuat Parti KeAdilan Rakyat (PKR) iaitu Dr John Brian Anthony dan ini adalah sebab ketiga bagi kami mengandaikan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pilihanraya kecil itu nanti,” kata laman web tersebut.

Sementara itu Johnny telah menolak spekulasi yang telah dinyatakan dalam laman web berkenaan sebelum ini ketika diminta oleh Utusan Sarawak untuk menjelaskan dakwaan terbabit berhubung hasrat beliau untuk bertanding sebagai calon beas pada pilihanraya kecil berkenaan.

“Anda sendiri tahu bahawa pelbagai perkara boleh berlaku dalam dunia politik. Laman web terbabit boleh mengeluarkan apa jua spekulasi yang mereka mahu berhubung hasrat saya ini.

“Pada 29 Mac ini nanti barulah anda akan dapat melihat pergerakkan sebenar saya sebagai calon bebas di sana (Batang Ai). Saya sudah bersiap sedia sekarang dan akan mula berkempen secara serius selepas 29 Mac nanti,” katanya.

Johnny, calon bebas, akan menghadapi calon Barisan Nasional (BN), Malcom Mussen Lamoh dan calon Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Jawah anak Gerang pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April kelak.

Tamat.

25 March, 2009

Jabu minta pemimpin kaum Dayak berhenti bertelagah




Caption:

1.BERITA BAIK...Jabu sedang mengumumkan peruntukkan untuk membina jalan di beberapa buah kawasan dalam daerah kecil Engkilili ketika berlangsungnya majlis hari ini.


2.KAGUM...Jabu sedang tertarik melihat cenderamata berupa pedang yang disampaikan oleh Tr Dundang ketika berlangsungnya majlis di Kandis sini hari ini.

ENGKILILI, Rabu (25 Mac) – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang mahu para pemimpin kaum Dayak dalam negeri ini khususnya di kawasan Batang Ai untuk menghentikan pertelingkahan politik di antara satu sama yang lain.

Menurut beliau, pertelingkahan politik di antara barisan pemimpin kaum Dayak yang tidak sehaluan selama ini tidak membawa sebarang keuntungan terhadap rakyat yang berada di bawah pimpinan mereka.

“Lebih mengecewakan di sini ialah rakyat turut diseret sama dalam pertelingkahan yang ditimbulkan oleh para pemimpin mereka (kaum Dayak) gara-gara tidak sehaluan dalam hal politik.

“Pertelingkahan ini harus dihentikan kerana ianya secara tidak langsung boleh menjejaskan pelan pembangunan yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan di kawasan masing-masing dari masa ke semasa,” katanya.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bertempat di Rumah Dundang anak Mujap, Kandis, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau juga yakin bahawa rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai sudah matang dalam hal ehwal politik semasa di negeri ini lebih-lebih lagi ketika menjelang pilihanraya kecil kawasan terbabit pada 7 April kelak.

“Saya yakin rakyat di sana (Batang Ai) terutamanya dari kawasan luar bandar sudah tahu pihak manakah yang mempunyai kuasa untuk menaiktaraf hidup mereka menerusi perlaksanaan projek pembangunan di negeri ini.

“Justeru saya yakin bahawa rakyat di sana tidak akan bertindak mengundi calon pembangkang menjelang pilihanraya kecil ini nanti kerana pembangunan itu hanya akan sampai sekiranya mereka memilih calon dari pihak Barisan Nasional (BN),” katanya.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA), Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik Lutau, Datu Vasco Sabat Singkang, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, para kakitangan SALCRA, ketua kaum dan rakyat dari sekitar kawasan terbabit.

Jabu menerusi majlis terbabit juga telah mengumumkan peruntukkan berjumlah RM500,000 untuk membina jalan berturap disamping memperbaiki jalan di sekitar kawasan Engkilili.

Tamat.

SALCRA akan bangunkan tanah kosong penduduk Engkilili - Jabu

ENGKILILI, Rabu (25 Mac) – Kerajaan menerusi Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA) bakal membangunkan tanah kosong milik penduduk dari 14 buah rumah panjang dari kawasan Engkilili dalam masa terdekat kelak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata antara kawasan tanah kosong yang bakal di bangunkan oleh SALCRA ini termasuklah Kandis, Ulu Kumpang, Soh, Seramat, Sayat, Bukit Tungku, Danau dan Bangkong.

“Kita (kerajaan) berasa amat berpuashati apabila penduduk dari 14 buah rumah panjang sekitar kawasan Engkilili bersetuju untuk melibatkan diri dalam projek pembangunan tanah yang bakal dilaksana oleh SALCRA selepas ini nanti.

“Sehubungan itu pihak kita akan menghantar sebuah kumpulan untuk memantau serta menyukat keluasan tanah kosong milik penduduk terbabit ini bagi tujuan penanaman sawit selepas ini nanti,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Dundang, Kandis, Engkilili hari ini.

Perlaksanaan projek pembangunan tanah di kawasan terbabit nanti juga menurut beliau secara tidak langsung akan mengubah taraf hidup penduduk luar bandar di kawasan daerah kecil Engkilili dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ini kerana perlaksanaan projek pembangunan tanah oleh SALCRA kata Jabu lagi akan membolehkan kerajaan membawa masuk pelbagai projek pembangunan yang lain termasuklah jalan raya, pembekalan elektrik dan sebagainya.

“Malahan penduduk di kawasan ini (Engkilili) juga akan menikmati peningkatan taraf ekonomi keluarga menerusi penyertaan masing-masing dalam projek pembangunan tanah oleh SALCRA,” katanya.

Jabu juga percaya bahawa penduduk di kawasan luar bandar dalam negeri ini mula menunjukkan perubahan mentaliti masing-masing berhubung hal pembangunan tanah ke atas tanah kosong milik mereka.

“Lagipun SALCRA telah pun membayar sejumlah RM70 juta wang dividen kepada para peserta SALCRA dari kawasan Lubok Antu semenjak 30 tahun yang lepas,” kata beliau.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA), Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik Lutau, Datu Vasco Sabat Singkang, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, para kakitangan SALCRA, ketua kaum dan rakyat dari sekitar kawasan terbabit.

Tamat.

236 penduduk di Lubok Antu terima bantuan kebajikan


From: Rosita (aweks....), RTM Sri Aman’s reporter

LUBOK ANTU, Thursday - A total of 236-recipient of Batang Ai constituency received their welfare assistance in an event held in Lubok Antu recently.

The number involved an amount of more than 54-thousand ringgit which includes assistance for senior citizen, children, allowance for disabled employees as well as general assistance.

Present for the handing over of cash assistance was Member of Parliament for Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Meanwhile, William when ask to comment on Batang Ai by-election said the Barisan Nasional, BN has a bigger chances to win the seat though opposition party opt for five term former Lubok Antu Parliamentary member, Jawah Gerang.

He believed voters in Batang Ai particularly the supporters of Jawah will cast their votes to BN as they know they will get nothing if they go for opposition.

Earlier in her speech, State Director of Welfare Department, Kendy Edward told that the department had received about 800-application from the people of Batang Ai registered under the “Program Cari” or also known as “Program E-Kasih”.

The program is to identify poor people so as to be given assistance from the government.

Kendy said as at present the department had received more than 25-thousand application under the program statewide.

Ends/Rosita

Register sudah, gereja pun sudah. Rami time! haha


MARILAH SAYANG...Graduan Institut Maktab Perguruan Batu Lintang Kuching iaitu Lucy anak Selamat, 30, sedang menyuapkan kek kepada pasangan pengantin lelakinya, Gilbert anak Miew, 34 iaitu guru Sekolah Kebangsaan (SK) Keranggas Pantu ketika berlangsungnya pernikahan mereka di sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman pada 20 Mac lalu. Gilbert bersama pasangannya, Lucy, telah pun mendaftarkan perkahwinan mereka di Pejabat Pendaftaran Negara Bahagian Sri Aman sebelum melangsungkan perkahwinan mereka pada 20 Mac lalu. Kedua-dua mereka juga sudah melangsungkan Upacara Sembahyang Berkat mengikut istiadat agama Kristian di Gereja Saint Luke, Sri Aman pada 21 Februari lalu.

Simoi hulur bantuan kepada mangsa kebakaran Stumbin


Caption: PRIHATIN...Hajah Simoi (kiri) menyampaikan bantuan wang, barang makanan dan keperluan asas kepada Tr Steel (kanan) sambil disaksikan oleh mangsa kebakaran dan ahli PBB Lingga di sini hari ini.

SRI AMAN, Selasa (24 Mac) - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri menasihatkan semua penduduk di kawasan rumah panjang untuk berjaga-jaga ketika menggunakan sumber elektronik atau bahan api yang lain bagi tujuan keperluan harian.

Beliau mengeluarkan nasihat ini ketika ditemui Utusan Sarawak sebaik sahaja selesai menyampaikan bantuan makanan, barangan keperluan asas dan sumbangan wang peribadi berjumlah RM1,300 kepada mangsa kebakaran dari Rumah Steel Resa, Stumbin bertempat di Gereja Saint Bernabas Stumbin. Lingga hari ini.

13 buah keluarga dari rumah panjang Stumbin tinggal sehelai sepinggang apabila rumah panjang mereka musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 3.30 pagi kelmarin.

“Kejadian ini sudah tentunya amat dikesali kerana ianya merupakan kejadian yang kedua berlaku dalam tempoh tiga bulan pada tahun ini semenjak ianya buat pertama kali berlaku di rumah panjang Sungai Semilang pada 3 Februari lalu.

“Justeru saya mahu kejadian kebakaran di Stumbin ini dijadikan sebagai satu ikthibar terhadap semua penduduk rumah panjang di Lingga supaya tidak mudah lalai ketika menggunakan sumber api atau elektronik dalam urusan harian masing-masing,” katanya.

Selain itu beliau juga menasihatkan penduduk di kawasan Lingga agar mengurangkan kadar penggunaan kuasa elektrik di rumah panjang masing-masing atau pun menutupkan punca sumber kuasanya ketika meninggalkan ruang bilik.

Ini kerana Simoi yakin bahawa sistem pendawaian elektrik di rumah panjang dalam kawasan ini sudah usang dan mungkin boleh menyumbang kepada berlakunya kejadian litar pintas sehingga menyebabkan berlakunya kebakaran.

“Kerajaan akan cuba mengenalpasti masalah pendawaian usang di setiap rumah panjang dalam kawasan Lingga ini dan sekiranya boleh saya berharap agar penduduk rumah panjang mengikuti nasihat saya itu untuk mengelakkan kejadian yang serupa berulang,” katanya.

Terdahulu majlis penyampaian bantuan berupa makanan, barangan keperluan asas dan wang tunai berjumlah RM1,300 ini telah disampaikan oleh Simoi sendiri kepada Tr Steel Resa sambil disaksikan oleh Kanselor Mas Shamsiah Maslem, para ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga dan penduduk rumah panjang berkenaan.

Tamat.

Rumah Steel, Stumbin hangus!


Caption: MUSNAH...Beginilah rupa rumah panjang Stumbin yang telah musnah dijilat api kebakaran dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.30 petang kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (24 Mac) – 13 buah keluarga dari rumah Steel anak Resa, Stumbin, Lingga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah panjang terbabit musnah dijilat api dalam kejadian yang bermula pada jam 3.30 petang kelmarin.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Sri Aman, Karim Mohammad ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini menjelaskan bahawa pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran berkenaan pada jam 3.46 petang.

“Sebaik sahaja menerima panggilan terbabit, seramai lapan anggota bomba telah bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah jentera pemadam api dan kenderaan pacuan roda sambil membawa sebuah alat pengepam air,” katanya.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Sri Aman ini menurut beliau tiba di tempat kejadian terbabit pada jam 4.25 petang dan memulakan usaha mengawal api kebakaran di rumah panjang terbabit sehingga ianya berjaya dikawal pada jam 6.20 petang.

Kejadian kebakaran ini yang dipercayai telah memusnahkan rumah panjang terbabit hanya dalam tempoh 15 minit kata beliau telah menyebabkan kesemua 63 orang mangsa kebakaran dari 13 buah pintu rumah panjang hilang harta benda dan tempat tinggal.

“Punca kebakaran masih lagi belum diketahui. Bagaimanapun pihak kami masih lagi meneruskan siasatan untuk mencari punca sebenarnya yang menyebabkan berlakunya punca kejadian ini,” katanya.

Rumah Steel Resa, Stumbin, Lingga sebenarnya mempunyai 17 buah pintu. Bagaimanapun ketika berlakunya kejadian berkenaan hanya 13 daripada 17 buah pintu terbabit didiami oleh penghuninya manakala selebihnya lagi kosong.

Sementara itu tuai rumahnya, Steel ketika ditemui oleh Utusan Sarawak menjelaskan beliau tidak berada di rumah panjang terbabit ketika berlakunya kejadian kebakaran berkenaan.

“Saya berada di bandar Sri Aman pada ketika itu sebelum saudara-mara saya menghubungi saya berhubung kejadian kebakaran yang telah memusnahkan rumah panjang kami ini.

“Mujurlah tiada kemalangan jiwa berlaku. Namun saya berasa tergaman dan tidak dapat berkata apa-apa apabila melihat rumah panjang kami telah musnah di sebabkan oleh kejadian itu,” katanya sambil menambah bahawa beliau tidak tahu daripada api terbabit bermula.

Kesemua 63 orang mangsa kebakaran itu kini tinggal buat sementara waktu di Gereja Saint Bernabas Stumbin.

Tamat.


24 March, 2009

Pemuda PRS persoal pencalonan Jawah


Mugshot: EDWIN RAOH

SRI AMAN, Selasa (24 Mac) – Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) kawasan Batang Ai pada hari ini telah menganggap Pengerusi Parti KeAdilan Rakyat (PKR) kawasan Batang Ai iaitu Nicholas Bawin Anggat telah dipinggirkan dalam hal pemilihan calon parti pembangkang terbabit semalam.

Terdahulu Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan mantan Ahli Parlimen Lubok Antu, Jawah anak Gerang sebagai calon PKR untuk bertanding pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini.

“Bawin sepatutnya dipilih untuk menjadi calon PKR dan bukannya Jawah kerana beliau (Bawin) bersama penyokongnya selama ini telah pun berpenat-lelah untuk membuat persediaan bagi memperkuatkan jentera parti PKR di Batang Ai selama ini.

“Bagaimanapun kami terperanjat apabila Anwar memilih Jawah sebagai calon. Jika saya menjadi Bawin maka saya akan menganggap pemilihan ini tidak setimpal dengan usaha saya yang telah berpenat lelah untuk membawa masuk PKR di Batang Ai selama ini,” kata Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda PRS Batang Ai, Edwin anak Raoh.

Sambil menyifatkan Bawin telah dipinggirkan oleh barisan pemimpin kanan partinya sendiri, beliau berpendapat bahawa adalah tibanya masanya untuk Bawin memikirkan masa depan karier politiknya mulai sekarang.

“Saya menyokong kata nasihat Timbalan Presiden PRS iaitu Datuk Joseph Entulu Belaun yang mahu agar beliau (Bawin) meninggalkan parti PKR sekiranya tidak lagi diperlukan di situ berhubung hal pemilihan calon berkenaan.

“Ini kerana perjuangan beliau (Bawin) dan penyokongnya boleh dianggap sia-sia sahaja selama ini. Alangkah baik sekiranya beliau bertindak keluar dari parti PKR sekarang dan terus menyertai pihak Barisan Nasional (BN) selepas ini,” katanya.

Justeru Edwin berharap agar Bawin dan penyokongnya melupakan perjuangan PKR di Batang Ai dan seterusnya memberikan bantuan kepada BN menjelang pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April ini nanti.

Tamat.




23 March, 2009

PRS tak gentar akan Jawah kata Joseph Entulu


Caption: UNTUK ALBUM...Joseph (dua kanan) bersama rombongannya di Rumah Sri Aman kelmarin iaitu (bermula kiri sekali) Christopher Nyuak, John Sikie dan Naga Alam (kanan sekali).

SRI AMAN, Selasa (24 Mac) – Pemilihan Jawah Gerang sebagai calon Parti KeAdilan Rakyat (PKR) oleh penasihat umumnya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam tidak akan mengentarkan Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi menghadapi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini nanti.

Ini kerana pihak PRS yakin bahawa Jawah Gerang tidak akan mampu berkhidmat lebih baik sebagai seorang wakil rakyat pembangkang berdasarkan prestasinya ketika menjadi wakil rakyat dalam Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Penduduk di Batang Ai boleh menyoal diri mereka sendiri tentang kelainan yang pernah beliau bawa dari segi pembangunan di kawasan itu ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat di sana selama 25 tahun.

“Bagi saya jawapannya adalah tiada. Jika ada pun pembangunan di kawasan Batang Ai ketika era beliau (Jawah) menjadi wakil rakyat di sana dahulu ianya adalah disebabkan oleh BN di belakangnya dan bukannya daripada individu itu sendiri,” kata Timbalan Presiden PRS, Datuk Joseph Entulu anak Belaun.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak di Rumah Sri Aman lewat petang kelmarin sebelum keberangkatan beliau ke Telaus, Lubok Antu untuk menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di sana.

Keberangkatan beliau ke Telaus, Lubok Antu semalam turut diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, John Sikie Tayai, bekas setiausaha sulit kepada mendiang Datuk Dublin Unting, Nelson Naga Alam dan seorang ahli perniagaan terkemuka di Kapit, iaitu Christopher Nyuak.

Selain itu penyertaan Jawah dalam PKR kata Joseph juga disebabkan oleh beliau ‘merajuk’ kerana tidak dipilih sebagai calon BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen Lubok Antu pada pilihanraya parlimen tahun lepas.

“Jawah sebenarnya hanya mahu menjaga kepentingan diri sendiri berhubung perkara ini. Ini terbukti apabila beliau beria-ria mahu menjadi calon PKR walaupun beliau kini bukan lagi daripada BN.

“Beliau sepatutnya sudah lama bertanding sebagai seorang calon pembangkang jika tidak berpuashati dengan polisi BN sebelum ini dan bukannya bertindak sekarang setelah tidak dipilih untuk menjadi calon BN pada pilihanraya tahun lepas,” katanya.

Bagaimanapun, Joseph yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah tidak menafikan bahawa calon PKR terbabit masih mempunyai segelintir penyokong menjelang pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April nanti.

PRS yang merupakan salah sebuah komponen parti BN Negeri akan menghantar calon mereka iaitu Malcom Mussen Lamoh sebagai calon untuk mempertahankan kerusi DUN Batang Ai pada pilihanraya kecil itu kelak.

Tamat.






Entulu pelawa Bawin join PRS

SRI AMAN, Selasa (24 Mac) – Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Entulu anak Belaun mempelawa Pengerusi Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Batang Ai, Nicholas Bawin anak Anggat untuk menyertai komponen parti terbabit pada bila-bila masa sahaja.

Terdahulu Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam telah mengumumkan Jawah Gerang sebagai calon parti terbabit untuk bertanding di pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini.

Bagaimanapun satu peristiwa ‘bertikam lidah’ dilaporkan berlaku pada malam sebelumnya di sebuah hotel terkemuka di Kuching apabila penyokong Jawah Gerang dan Nicholas Bawin Anggat tidak sependapat berhubung hal pemilihan calon PKR untuk pilihanraya kecil itu nanti.

“Mungkin beliau merasa terkilan dan kecewa setelah tidak dipilih sebagai calon PKR untuk bertanding di pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini nanti.

“Jika merasa tidak lagi diperlukan oleh PKR maka ada baiknya buat beliau (Bawin) untuk mula memikirkan penglibatan dirinya dalam bidang politik dengan menyertai salah sebuah parti komponen BN khasnya PRS,” kata beliau ketika ditemui Utusan Sarawak di Rumah Sri Aman lewat petang kelmarin.

Selain itu Bawin juga menurut Joseph tidak seharusnya mensia-siakan masa depan karier politiknya dalam PKR yang selama ini hanya berpandukan kepada keputusan seorang ketua iaitu Anwar.

Bawin menurut beliau sebenarnya mempunyai potensi untuk menjadi seorang pemimpin yang produktif dan mampu menyumbang ke arah pembangunan di kawasan Batang Ai sekiranya menyertai PRS dan bukannya PKR.

“Saya jamin bahawa PKR akan lenyap sekiranya Anwar sudah tiada kerana parti itu tidak ubah seperti ‘one man show party’ dan bukannya seperti BN yang menjadi milik semua penduduk berbilang kaum dan agama.

“Jadi saya menasihatkan Bawin untuk memikirkan sedalam-dalamnya mengenai pelawaan ini (menyertai BN) kerana pintu PRS sentiasa akan terbuka buat dirinya. Beliau mempunyai potensi untuk menjadi seorang pemimpin berkebolehan...itu pun jika dia mahu menyertai PRS selepas ini,” katanya.

Joseph turut menambah bahawa peristiwa ‘pertikaman lidah’ yang berlaku di antara penyokong Jawah dan Bawin menunjukkan bahawa para pemimpin dan ahli PKR sememangnya tidak sehaluan dalam hal politik.

“Peristiwa ini secara tidak langsung telah mendedahkan ‘wajah’ sebenar PKR terhadap penduduk di negeri ini kerana mereka lebih mementingkan keperluan politik mereka berbanding penduduk,” katanya.

Tamat.






Penduduk Sanggong, Beleti Undop rayu kerajaan baiki jambatan gantung







Mugshot: KEDENY GANA

Caption:

1. USANG...Jambatan gantung Beleti Undop yang merentangi Sungai Undop lebih puluhan tahun yang lepas kini kelihatan sangat usang dan perlu diganti semula dengan jambatan yang baru.

2. TERPAKSA...Rakan penulis sedang meredah laluan berlocak yang menghubungkan kawasan Sabu hingga ke Beleti Undop ketika melakukan pemantauan hari ini.

SRI AMAN, Isnin (23 Mac) – Penduduk dari Rumah Sanggong Meringgai, Beleti Undop meminta jasa baik kerajaan untuk memperbaiki semula jambatan gantung yang menghubungkan penghuni rumah panjang terbabit ke dunia luar dalam bandar ini.

Seorang penduduk, Kedeny Gana, 45, ketika ditemui berkata jambatan gantung terbabit kini dalam keadaan kurang memuaskan berdasarkan kepada struktur landasan kayunya yang kian usang.

“Jambatan gantung yang berusia lebih puluhan tahun ini itu pula sekarang ini kian menyenget ke sebelah dan adakalanya boleh menimbulkan risiko kemalangan di kalangan penduduk rumah panjang Beleti yang sering menggunakan jambatan terbabit untuk urusan harian.

“Penduduk rumah panjang kami pernah merayu kepada bekas mantan ahli parlimen di sini semenjak dari tahun 1999 dahulu untuk membina semula jambatan terbabit namun nampaknya hingga sekarang belum ada lagi sebarang tindakan lanjut,” katanya.

Kedeny juga berharap agar pihak kerajaan dapat membina jalan berturap yang menghubungkan kawasan Sabu sehingga ke jambatan Beleti Undop yang kini amat berlocak dan adakalanya tidak dapat dilalui ketika musim cuaca buruk.

Sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis ketika dihubungi Utusan Sarawak berhubung perkara ini menjelaskan bahawa beliau sudah pun menghantar pelan cadangan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina sebuah jambatan baru di kawasan terbabit.

“Saya telah menghantar pelan cadangan untuk membina sebuah jambatan yang boleh dilalui oleh kenderaan di Beleti Undop ini setelah turun padang untuk mengambil gambar jambatan terbabit dua tahun lepas.

“Jika pelan ini diluluskan kelak maka penduduk rumah Sanggong Meringgai akan dapat menikmati kemudahan jambatan yang baru bagi mengantikan yang lama,” kata beliau sambil menambah bahawa pihaknya kini akan memperbaiki jambatan terbabit sementara menanti pelan terbabit diluluskan kelak.

Harden yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah turut menjelaskan bahawa peruntukkan untuk membina jalan berturap dari Sabu hingga ke jambatan Beleti Undop itu sebenarnya sudah diluluskan.

Namun kegagalan pemilik tanah untuk memberikan kerjasama terhadap kerajaan bagi membina jalan berturap dari Sabu ke jambatan Beleti Undop ini menyebabkan ianya tergendala semenjak beberapa tahun lalu.

Hasil tinjauan Utusan Sarawak mendapati bahawa jambatan Beleti Undop yang merentangi Sungai Undop terbabit kian usang dan berbahaya. Penduduk di sana juga terpaksa merentasi laluan berlocak lebih 100 meter sekiranya ingin menuju ke Sabu sebelum dapat ke bandar Sri Aman.

Tamat.

Buaya masuk rumah masa banjir


DEMI KESELAMATAN...Seorang pemilik rumah dipercayai telah membina halangan berkayu di bawah pagar masuk ke rumahnya selepas seekor buaya dari kawasan Sungai Undop memasuki perkarangan luar rumahnya ketika musim banjir pada bulan Januari lalu. Kehadiran buaya di perkarangan luar rumahnya gara-gara air bah sebelum ini menyebabkan pemilik berkenaan memasang kayu di bawah pagar demi mengelakkan buaya memasuki semula rumah sekiranya berlaku musim banjir di masa akan datang.

PKR kurang sokongan di Sayat

SRI AMAN, Isnin (23 Mac) – Hampir separuh daripada penghuni Rumah Lepang Gerang, Sayat, Engkilili bertindak meninggalkan rumah panjang mereka apabila Penasihat Umum Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengadakan pertemuan dengan penduduk di sana petang kelmarin.

Rata-rata penghuni Lepang, Sayat terbabit bertindak meninggalkan rumah panjang mereka kerana tidak mahu dianggap sebagai penyokong kehadiran parti pembangkang terbabit.

Seorang penghuni rumah panjang terbabit ketika ditemui semalam menjelaskan bahawa kebanyakkan daripada mereka ini pergi ke Pekan Lubok Antu dan Engkilili manakala selebihnya pula hanya mendiamkan diri di dalam rumah.

“Ada diantara mereka juga bertindak menghadiri majlis rasmi yang diadakan oleh pihak Barisan Nasional (BN) di Lubok Antu sebagai tanda protes terhadap kehadiran Anwar bersama penyokong PKR di situ.

“Kami merupakan penyokong kuat BN selama ini dan bukannya pembangkang. Justeru kehadiran Anwar di situ sememangnya tidak disukai oleh setengah penghuni rumah panjang di sini,” katanya.

Selain itu penghuni terbabit juga mendakwa bahawa penyokong setia mantan Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu Jawah Gerang yang hadir di rumah panjangnya kelmarin tampak kurang berbanding sebelumnya ketika bekas Yang Berhormat terbabit masih bernaung di bawah BN dahulu.

Ini menunjukkan bahawa majoriti penyokong kuat Jawah Gerang tidak menyokong kemasukan beliau ke PKR berdasarkan kepada jumlah kehadiran penyokongnya yang berkurangan kelmarin.

“Kami menyokong Jawah ketika beliau masih BN tetapi tidak lagi sekarang kerana dia sudah menyertai PKR. Tambahan pula kehadiran Anwar ke Sayat menyebabkan kesemua kami bertindak memboikot majlis itu,” katanya.

Tamat.

Berikan Mussen ruang - Uggah

SRI AMAN, Isnin (23 Mac) – Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah anak Embas mahu pihak pemberita memberi ruang kepada Malcom Mussen Lamoh untuk membuktikan keupayaannya menjelang pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai ini kelak.

Mussen, 49, yang mewakili pihak Barisan Nasional pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai dijangka akan menghadapi dua orang lawan dari Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang dan bebas iaitu Johnny Chuat.

Beliau ketika memberitahu laman web sarawakupdate.com.my kelmarin menjelaskan bahawa calon BN terbabit kini amat sibuk untuk menghadiri banyak majlis rasmi dan tidak mempunyai masa untuk meluangkan masa bersama pihak pemberita.

“Beliau (Mussen) sangat sibuk pada masa sekarang dan sedang bergegas untuk mengikuti sesebuah majlis rasmi...sebab itulah beliau tidak dapat bercakap dengan kamu (pemberita) semua,” menurut beliau yang juga merupakan Timbalan Pengarah Barisan Nasional (BN) untuk Pilihanraya Kecil Batang Ai ini nanti.

Selain itu Uggah juga berpendapat bahawa calon BN berkenaan Mussen Lamoh adalah merupakan seorang individu yang cukup baik hati, berkelayakan tinggi dan berdaya saing.

“Tolong jangan memandang rendah Mussen...beliau adalah seorang calon yang bagus. Saya cukup yakin bahawa beliau mampu menang pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai ini kelak,” katanya.

Terdahulu laman web sarawakupdate.com.my telah melaporkan bahawa calon BN terbabit sering mengelak daripada bertemu dengan pihak pemberita yang ingin mendapatkan komen daripada beliau sendiri.

Mussen menerusi laman web terbabit juga dikatakan sering tidak hadir pada sidang media dan didakwa pernah menyebut ‘jangan ganggu saya’ kepada seorang pemberita wanita Borneo Post yang ingin meminta komen daripada beliau.

Komen Uggah berhubung perkara ini bagaimanapun telah terjawab semalam apabila faktor kesibukan calon BN terbabit menyebabkan beliau tidak dapat meluangkan masa untuk menjawab persoalan pihak media.

Tamat.

21 March, 2009

Nyalau dakwa 10 peratus orang Dayak jual tanah NCR kepada orang lain


Mugshot: WILLIAM NYALAU BADAK

LUBOK ANTU, Ahad (22 Mac) – Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak mendakwa bahawa terdapat sejumlah 10 peratus orang Dayak di negeri ini telah bertindak menjual atau mengadai Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka kepada orang lain apabila sudah diberikan geran oleh pihak kerajaan sebelum ini.

Lebih mengecewakan lagi menurut beliau ialah apabila pemilik asal tanah NCR iaitu orang Dayak terbabit terpaksa berkhidmat di atas tanah sendiri yang selepas itu telah pun dimiliki oleh orang lain.

“Pemilik tanah NCR Dayak terbabit yang telah diberikan surat hakmilik tanah oleh kerajaan sebelum ini mungkin bertindak menjual tanahnya kepada orang lain kerana faktor kesempitan wang.

“Mereka (pemilik tanah NCR) tidak sepatutnya bertindak demikian kerana tanah NCR itu adalah khazanah berharga yang diperturunkan oleh nenek moyang mereka sejak dari dahulu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Warga Ceria anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bertempat di Gerai Tatai Kenyalang Majlis Daerah Lubok Antu semalam.

Selain itu Nyalau juga mahu orang Dayak melaksanakan aktiviti pertanian komersial atau lain-lain aktiviti demi memastikan tanah NCR terbabit terus menjadi milik mereka dari masa ke semasa.

“Malahan tidak perlu bagi kita untuk tergopoh-gapah melaksanakan kerja menyukat tanah NCR milik masing-masing bagi tujuan mendapat surat hakmilik terhadap tanah mereka daripada pihak kerajaan,” katanya.

Sementara itu beliau turut menggesa penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai untuk menolak calon pembangkang yang sebelum ini pernah bernaung di bawah BN.

“Dulu dia kata jangan mengundi dia sekiranya dia bukan daripada BN. Namun sekarang dia minta penduduk menyokongnya sendiri walaupun dia kini menyertai pembangkang,” katanya tanpa mendedahkan nama individu terbabit.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu. (PBB) merangkap Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Haji Fadillah Haji Yusof dan Ahli Parlimen Batang Sadong iaitu Hajah Nancy Syukrie.

Tamat.



Johnny Chuat mobilize!


Caption: SEDIA…Modified Parabolic Disc at the Operation Office di rumah panjang Johnny anak Chuat. Modifikasi ini membolehkan data / signal CELCOM broadband akan diperkuatkan (amplified). Iya berupaya menguatkan signal liputan CELCOM sebanyak 3 kali ganda.

SRI AMAN, Ahad (22 Mac) – Bakal calon bebas pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, Johnny anak Chuat kini sudah mula mengatur strategi untuk menghadapi pilihanraya kecil di kawasan itu pada 7 April nanti.

Lebih menarik ialah apabila beliau bakal menggunakan strategi moden untuk berkempen bersempena dengan pilihanraya kecil ini nanti apabila kebanyakkan rumah panjang di kawasan DUN terbabit sudah boleh dihubungi menerusi teknologi perkhidmatan 3GP / WARP (saluran internet) pada masa sekarang.

“Dengan adanya teknologi perkhidmatan 3GP / WARP maka sebanyak lima buah komputer riba dan lima buah projektor akan digunakan bagi tujuan kempen di Batang Ai nanti.

“Peralatan komputer riba dan projektor ini juga akan dilengkapi dengan peralatan canggih yang dilengkapi dengan video conference serta webcam,” katanya sambil menambah bahawa peralatan pengambilan video dan MP3 recorder akan turut digunakan bagi tujuan siaran di laman web video Metacafe atau YouTube.

Selain aspek telekomunikasi dalam kempen strategi moden ini kata beliau telah dipermudahkan lagi apabila hampir kesemua rumah panjang dalam kawasan Batang Lemanak, Hulu Batang Ai dan Engkari mempunyai peralatan parabola.

Dengan adanya kemudahan parabola tersebut, beliau dijangka tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk berhubung secara langsung dengan para penduduk setelah peralatan canggih itu dipasang oleh orang terpilih di rumah panjang mereka.

“Saya akan berhubung dengan mereka (penduduk DUN Batang Ai) dari pejabat operasi saya di sebuah rumah panjang di sini…teknologi video conference akan membolehkan mereka berbual dengan saya secara lintas langsung,” kata beliau.

Selain itu Johnny juga akan turut menggunakan 12 buah perahu panjang dan enam buah kenderaan untuk tujuan berkempen di kawasan Batang Ai, Batang Lemanak dan Batang Engkari.

“Saya akan memilih sejumlah lapan orang pembantu untuk bergerak ke setiap rumah panjang dalam kawasan DUN itu sebaik sahaja berlangsung Hari Penamaan Calon pada 29 Mac ini.

“Malahan pihak saya juga melakukan kaji selidik di semua kawasan dalam DUN Batang Ai ini dan akan mengenalpasti masalah penduduk sebelum tibanya Hari Pembuangan Undi pada 7 April kelak,” katanya.
Tamat. - sumber dari http://lubokantu.wordpress.com






Sembang-sembang bersama penulis - Senario politik di Batang Ai

- Mac 21

Pilihanraya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai adalah merupakan topik yang paling menarik dibicarakan oleh ahli politik kedai kopi di daerah Lubok Antu dan Sri Aman pada masa sekarang.

Ini kerana kawasan DUN Batang Ai bakal menjadi gelanggang untuk menentukan pihak manakah yang bakal memimpin hidup rakyat di kawasan itu selepas 7 April nanti.

Adakah Malcom Mussen Lamoh dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) bakal menjadi wakil terbaru DUN Batang Ai selepas 7 April ini? Atau pun mungkin mantan Ahli Parlimen Lubok Antu sebelum ini iaitu Jawah Gerang yang bakal menjadi calon untuk Parti KeAdilan Rakyat.

Tidak lupa juga kepada pemilik laman web www.ruaikitai.com iaitu Johnny Chuat yang akan bertanding sebagai calon bebas ketika berlangsungnya pilihanraya kecil DUN Batang Ai ini kelak.

Pertandingan tiga penjuru. Itulah senario politik yang setakat ini, disahkan akan berlaku ketika berlangsung pilihanraya kecil DUN Batang Ai, bermula dari Hari Penamaan Calon pada 29 Mac ini sehinggalah ke Hari Pembuangan Undi pada 7 April.

Mussen lawan Jawah lawan Johnny. Siapakah yang bakal menang? Jawapannya kelak akan terjawab di tangan 8,006 pemilih berdaftar di kawasan DUN Batang Ai, yang hanya menggunakan pensel dan memangkah kertas undi pada 7 April kelak.

Namun begitu timbul pula spekulasi terbaru yang telah diwar-warkan oleh sekumpulan ahli politik kedai kopi di sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman baru-baru ini berhubung pilihanraya kecil itu nanti.

Akan ada pertandingan lima penjuru ketika berlangsungnya pilihanraya kecil ini nanti. Paling tidak pun mungkin empat kata mereka.

Mereka berpendapat bahawa terdapat lima pihak yang akan bertanding pada pilihanraya kecil ini nanti. Penyertaan Mussen, Johnny dan Jawah boleh dianggap sebagai sudah sah setakat ini. Jadi siapa pula dua buah pihak terbabit? Jawapan mereka ialah Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan ‘BN Plus’.

Mereka mendakwa bahawa terdapat dua buah puak dalam SNAP. Satu yang menyokong Barisan Nasional dan satu lagi yang menyokong pembangkang.

Jika puak BN dalam SNAP berjaya menghantar calon mereka maka ianya secara tidak langsung dapat membantu PRS – BN untuk memecahkan undi dikalangan 8,006 pemilih berdaftar dalam kawasan DUN berkenaan

Namun jika puak pembangkang dalam parti terbabit berjaya menghantar calon mereka maka barulah akan berlaku pertandingan lima penjuru seperti yang dinyatakan oleh ahli politik kedai kopi berkenaan.

Pihak kelima yang dimaksud ini ialah BN Plus, dihantar oleh BN sendiri dengan menggunakan tiket bebas untuk membantu menyelamatkan kedudukan calon mereka iaitu Malcom Mussen Lamoh.

Siapakah bakal calon BN Plus terbabit? Menurut mereka calon itu adalah Mikai Mandau, bekas ADUN Batang Ai yang tewas ditangan mendiang Datuk Dublin Unting Ingkot pada pilihanraya negeri 1991.

Mikai kata mereka akan dihantar oleh BN sendiri untuk bertanding pada pilihanraya kecil itu kelak andai kata sekiranya puak pembangkang SNAP menghantar calon mereka bagi tujuan yang sama.

Jika senario ini menjadi kenyataan maka akan berlaku pertandingan lima penjuru pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai kelak.

PRS – BN (Mussen) lawan Bebas (BN- Mikai) lawan Bebas (Johnny) lawan SNAP ( ? ) lawan PKR (Jawah Gerang).

Kita hanya perlu menunggu pada 29 Mac ini untuk melihat sejauh manakah kebenaran hujah yang telah diutarakan oleh ahli politik kedai kopi berkenaan.

Politik itu bukan seperti 1 + 1 boleh dua. Mungkin boleh jadi BN berjaya mempertahankan kedudukannya di situ. Ataupun mungkin Jawah Gerang masih kental dikalangan penyokong beliau dari kawasan Ulu Engkari.

Atau mungkin boleh jadi buat Johnny Chuat untuk membuat kejutan pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai itu dan muncul sebagai individu pertama dari kawasan Batang Lemanak, Lubok Antu yang menjadi wakil rakyat di Batang Ai.

Bak kata orang putih: Just Wait and See!




Jawah bakal calon PKR?

SRI AMAN, Sabtu (21 Mac) – Bahang pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai semakin hangat apabila Ketua Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan nama calon parti berkenaan di Lubok Antu esok (22 Mac).

Anwar dijangka akan memilih Nicholas Bawin anak Anggat ataupun bekas mantan Ahli Parlimen Lubok Antu, Jawah anak Gerang untuk menjadi calon PKR bagi bertanding di pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April nanti.

Bagaimanapun sumber hari ini memberitahu Utusan Sarawak bahawa Jawah Gerang akan diumumkan sebagai calon yang bakal bertanding pada pilihanraya kecil itu nanti berdasarkan kepada reputasinya ketika bertanding di kawasan berkenaan selaku mewakili Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Saya yakin bahawa Jawah akan diumumkan oleh Anwar sebagai calon PKR di Lubok Antu esok (22 Mac) kerana beliau sebelum ini tidak pernah kalah dan juga menjadi wakil rakyat di kawasan Parlimen Lubok Antu selama 25 tahun.

“Jika Jawah menjadi calon maka BN akan mendapat tentangan yang cukup sengit menjelang pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April nanti,” kata sumber terbabit ketika dihubungi hari ini.

Sekiranya Jawah sah menjadi calon PKR esok maka kawasan DUN Batang Ai pada pilihanraya kecil itu nanti bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Parti Rakyat Sarawak (PRS-BN), PKR dan juga bebas iaitu Johnny Chuat.

PRS pada pilihanraya kecil itu nanti akan menghantar calon mereka iaitu Malcom Mussen Lamoh manakala Johnny Chuat dari Batang Lemanak pula telah mengesahkan hasratnya untuk bertanding sebagai calon bebas kelmarin.

Selain itu terdapat ura-ura yang mengatakan akan berlakunya pertandingan empat penjuru pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai itu nanti apabila Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) sebelum ini turut menyatakan hasratnya mereka untuk menghantar calon bagi tujuan pilihanraya kecil berkenaan.

Tamat.

PKR cuba perbodohkan rakyat di Batang Ai kata Masing




Caption:

1.BN BOLEH!...Masing (ketiga dari kiri) sedang mengangkat tangan calon BN iaitu Mussen (kiri beliau) sambil diapit oleh Fadillah (ketiga dari kanan), Hajah Fatimah dan Empiang ketika berlangsungnya majlis hari ini.

2.PILIHAN RAKYAT...Masing (hadapan dua dari kanan) sambil ditemani oleh Empiang (kanan sekali), Fadilah (baju biru) dan Mong (tiga dari kiri) sedang mengangkat bendera BN ketika berlangsungnya majlis hari ini.

LUBOK ANTU, Sabtu (21 Mac) – Parti KeAdilan Rakyat (PKR) sengaja menguji pemikiran penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai dengan meletakkan calon mereka untuk bertanding di pilihanraya kecil kawasan terbabit pada 7 April ini nanti.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Jemut Masing berkata tindakan parti pembangkang terbabit adalah bertujuan untuk menguji sama ada penduduk di situ dapat diperbodohkan oleh mereka pada pilihanraya kecil itu kelak.

“Tujuan mereka bertanding di sini (DUN Batang Ai) bukanlah kerana hendak mengambilalih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri yang kini diteraju oleh komponen parti Barisan Nasional (BN).

“Tujuan sebenarnya kehadiran mereka di sini ialah untuk menentukan sejauh mana pemilih berdaftar di DUN Batang Ai boleh diperbudak dan diperbodohkan oleh mereka pada pilihanraya kecil itu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Wanita dan Pemuda BN Pilihan Raya Kecil N.29 Batang Ai bertempat di Rumah Sandah, Sungai Ara, Lubok Antu hari ini.

Dengan mempertengahkan calon mereka pada pilihanraya kecil itu kelak, para penduduk kata Masing akan diperdaya oleh segala janji kosong atau palsu yang tidak mungkin akan ditunaikan oleh mereka selepas ini.

“Ketua mereka iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin akan berkata bahawa pihak PKR akan mengubah nasib hidup penduduk di kawasan DUN Batang Ai sekiranya calon mereka menang bertanding pada pilihanraya kecil pada 7 April ini.

“Bagaimanapun kawasan pegangannya sendiri iaitu Permatang Pauh masih lagi mundur sehingga masa sekarang semenjak beliau (Anwar) menjadi wakil rakyat di situ selama 27 tahun,” katanya.

Justeru Masing berharap agar di kawasan Batang Ai terus memberikan sokongan terhadap calon BN iaitu Malcom Mussen Lamoh agar pembangunan di kawasan berkenaan dapat diteruskan dari masa ke semasa.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Joseph Entulu Belaun, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Hajah Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Batang Sadong, Hajah Nancy Syukrie, ADUN Bukit Saban, Robert Lawson Chuat dan ADUN Bukit Begunan, Mong Dagang dan Senator Dato Sri Empiang Jabu.

Tamat.

Tuai rumah Ensawang halau seorang penyokong PKR

LUBOK ANTU, Sabtu (21 Mac) – Seorang penyokong setia Parti KeAdilan Rakyat (PKR) telah dihalau dari rumah panjang Munan, Ensawang, Lubok Antu kerana dipercayai cuba menganggu rombonganm ahli Barisan Nasional (BN) yang cuba menyebar dasar pembangunan kerajaan di rumah panjang terbabit tengahari semalam.

Sumber ketika memberitahu Utusan Sarawak hari ini memberitahu bahawa penyokong setia PKR berkenaan adalah merupakan penduduk tempatan yang tinggal tidak jauh dari kawasan rumah panjang terbabit.

“Sebelum berlakunya kejadian, sebuah rombongan BN sedang dalam perjalanan menuju ke rumah panjang Munan, Ensawang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka bagi menerangkan tentang dasar serta polisi pembangunan kerajaan terhadap penghuni rumah panjang terbabit.

“Ketika sedang dalam perjalanan, kumpulan ahli BN ini telah diekori oleh seorang lelaki dengan menggunakan keretanya sendiri dan telah dikenalpasti sebagai salah seorang penyokong setia PKR di sini (Lubok Antu),” kata sumber.

Penyokong kuat PKR terbabit menurut sumber telah mengekori rombongan ahli BN terbabit sehingga ke rumah panjang berkenaan sebelum kehadirannya disedari oleh tuai rumah di rumah panjang berkenaan iaitu Munan.

Beliau kemudiannya bertindak mengusir penyokong setia PKR terbabit kerana khuatir individu berkenaan akan menganggu aktiviti yang bakal diadakan oleh rombongan BN di rumah panjang tersebut.

“Jangan mengganggu aktiviti kami di sini.Jangan cuba mengotorkan rumah panjang kami pula,” kata tuai rumah berkenaan ketika mengusir penyokong setia PKR berkenaan keluar dari perkarangan rumah panjang terbabit.

Penyokong setia PKR berkenaan kata sumber terus beredar setelah diusir oleh tuai rumah tersebut tanpa ada sebarang bantahan.

Tamat.


Fadilah kesal dengan tindakan pembangkang yang sengaja melaga-lagakan Iban - Melayu

LUBOK ANTU, Sabtu (21 Mac) – Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu. (PBB) Haji Fadillah Haji Yusof kesal dengan tindakan pihak pembangkang yang cuba melaga-lagakan orang Melayu dan Dayak demi kepentingan politik mereka.

Tindakan pihak pembangkang terbabit menurut beliau boleh dilihat apabila pihak berkenaan sengaja mengutarakan isu yang menyatakan bahawa orang Melayu selama ini sering menekan kehidupan orang Dayak.

“Itu adalah dakyah semata-mata. Tujuan utama golongan terbabit ialah mahu orang Dayak berhenti menyokong pihak Barisan Nasional (BN) dan seterusnya memberikan sokongan terhadap pihak berkenaan (pembangkang).

“BN memberikan hak pembangunan yang sama rata terhadap berbilang kaum dalam negeri ini...jika pihak pembangkang mendakwa orang Melayu menindas orang Dayak maka itu adalah pembohongan semata-mata,” katanya sambil menambah pemimpin Melayu dan Dayak saling bekerjasama untuk memajukan negeri ini semenjak dari dulu.

Fadillah yang juga merupakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Warga Ceria anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bertempat di Gerai Tatai Kenyalang Majlis Daerah Lubok Antu hari ini.

Selain itu pihak pembangkang terutama Parti KeAdilan Rakyat (PKR) sering menganggu usaha pihak BN untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan di negeri ini dengan menyebarkan pelbagai isu remeh-temeh dikalangan penduduk.

Selain cuba melaga-lagakan orang Melayu dan Dayak, pihak berkenaan tambah Fadillah telah sengaja membantutkan usaha peningkatan taraf hidup penduduk dengan meracuni pemikiran menerusi sesuatu isu.

“Lagipun pihak BN cukup biasa dengan kerenah para penyokong PKR selama ini. Apabila mereka berasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu terbabit mereka akan turun untuk berdemonstrasi.

“Mereka tidak sedar akan perbuatan mereka. Ini kerana tindakan berdemonstrasi akan menunjukkan kelemahan politik kita sehingga menyebabkan pelabur asing tidak mahu datang ke sini,” katanya.

Justeru beliau berharap agar penduduk di kawasan Batang Ai tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang cuba disampaikan oleh pihak pembangkang terhadap mereka lebih-lebih lagi ketika menjelang pilihanraya kecil DUN Batang Ai ini nanti.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak dan Ahli Parlimen Batang Sadong iaitu Hajah Nancy Syukrie.

Tamat.


20 March, 2009

Johnny sah bertanding di Batang Ai!


Caption: SAHKAN SPEKULASI! Johnny (gambar) kini telah membuat persiapan untuk bertanding sebagai calon bebas menerusi pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April ini nanti.

SRI AMAN, Jumaat (20 Mac) –Johnny anak Chuat, dari Batang Lemanak, Lubok Antu hari ini telah mengesahkan spekulasi berhubung hasratnya untuk bertanding menerusi Pilihanraya Kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April nanti.

Terdahulu, spekulasi berhubung hasrat beliau untuk bertanding pada pilihanraya kecil terbabit buat pertama kalinya telah disiarkan pada laman web sriamannews.blogspot.com dan sarawakupdate.com.my kelmarin sebelum ianya disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan berbahasa Melayu dan Inggeris pada hari ini.

Ketika dihubungi penulis hari ini, anak jati kelahiran Nanga Menyebat, Batang Lemanak berkenaan sememangnya serius dengan hasrat dirinya untuk melibatkan diri dalam bidang politik dengan menjadikan pilihanraya kecil DUN Batang Ai sebagai taruhan pertamanya.

“Saya mengesahkan spekulasi yang disiarkan pada kedua-dua laman blog terbabit. Justeru saya kini telah pun membuat persediaan rapi untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai itu kelak

“Jika anda soal sama ada saya berasa gentar untuk menghadapi pilihanraya kecil DUN Batang Ai itu nanti maka jawapannya adalah tidak. Langsung tidak gentar,” menurut beliau sambil menyatakan kesediaannya untuk menghadapi mana-mana calon pada pilihanraya kecil itu kelak.

Selain itu beliau juga mendakwa bahawa lebih 70 peratus penduduk dari kawasan Batang Lemanak dan Ulu Engkari akan menyatakan sokongan masing-masing pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai itu kelak.

“Peratusan ini diperoleh menerusi pemantauan yang dibuat oleh saudara-mara saya sebelum ini dan ianya dijangka akan terus meningkat menjelang pilihanraya kecil DUN Batang Ai itu kelak.

“Atas sebab inilah saya yakin akan mampu memberikan tentangan terhadap semua calon parti yang bakal bertanding pada pilihanraya kecil itu kelak...kita cuma perlu tunggu dan lihat ketika Hari Penamaan Calon pada 29 Mac dan seterusnya ketika Hari Pembuangan Undi pada 7 April ini nanti,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa pemilih berdaftar di kawasan DUN Batang Ai mahu muka baru untuk memimpin serta meneraju hidup mereka untuk penggal tahun yang seterusnya.

Johnny, 38, Graduan dalam bidang Komunikasi dan Kewartawanan dari Carleton University, Canada ini dijangka akan muncul sebagai anak jati pertama dari kawasan Batang Lemanak untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya kecil itu nanti.

Johnny Chuat yang kini bekerja dengan sebuah syarikat carigali petroleum dan gas di peraiaran sempadan Malaysia-Vietnam juga merupakan pengasas kepada sebuah laman web dayak iaitu ruaikitai.com.

Tamat.


Penduduk gembira berhubung projek RES di Pantu




Mugshot:

1. HEAROLD...Mudahkan urusan penduduk
2. MICKY...Pacu kegiatan ekonomi

SRI AMAN, Jumaat (20 Mac) – Penduduk di kawasan daerah kecil Pantu, Sri Aman menyambut baik usaha kerajaan untuk melaksanakan projek Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) bernilai RM13 juta di kawasan terbabit bermula tahun ini.

Perkara ini telah diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Snowdan anak Donald Lawan ketika dihubungi oleh Utusan Sarawak mengenai rancangan kerajaan untuk memperluaskan projek RES di kawasan DUN terbabit semalam.

“Inilah perkara yang kami nanti-nantikan selama ini. Saya yakin penduduk di kawasan daerah kecil Pantu perlukan pembekalan elektrik untuk memudahkan urusan harian masing-masing,” kata Tuai Rumah Hearold Ernest anak Jimbai dari Selantik Ili, Pantu.

Beliau yakin bahawa menjelang tahun hadapan para penduduk di kawasan Pantu, Rapak, Sungai Tenggang dan Abok akan dapat menikmati peningkatan taraf hidup yang baru berbanding dengan sebelumnya apabila projek RES sudah siap dilaksanakan kelak.

Sementara itu Micky Abang Lom, 31, berpendapat bahawa pengumuman mengenai projek RES bernilai RM13 juta ini mampu melegakan hati para penduduk di kawasan Pantu yang sememangnya memerlukan kemudahan elektrik 24 jam sebelum ini.

“Kerajaan perlu lebih berusaha untuk menyediakan kemudahan RES bukan sahaja di Pantu malah di seluruh kawasan DUN Balai Ringin yang kini kebanyakkannya masih bergantung kepada penggunaan enjin janakuasa elektrik.

“Lagipun keadaan ekonomi pada masa kini juga tidak menentu. Penduduk di kawasan luar bandar tidak akan mampu membeli bahan api untuk kegunaan enjin janakuasa elektrik masing-masing untuk sepanjang masa,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa projek RES adalah merupakan jalan penyelesaian yang terbaik bagi penduduk di kawasan DUN Balai Ringin untuk mempertingkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing.

“Bayangkan jika RES sudah disalurkan terhadap penduduk luar bandar dalam kawasan DUN ini. Mungkin mereka boleh merancang untuk melaksanakan kegiatan ekonomi yang mencakupi bidang perkhidmatan dan perniagaan,” katanya.

Projek RES bernilai RM13 juta ini akan mula dilaksanakan pada tahun ini bakal dihubungkan dari kawasan Pekan Pantu ke Rapak dan juga turut menghubungkan kawasan Sungai Tenggang serta Abok.

Tamat.

19 March, 2009

RM13 juta untuk RES di Pantu kata Snowdan


Mugshot: SNOWDAN DONALD LAWAN

SRI AMAN, Khamis (19 Mac) – Berita baik untuk penduduk di kawasan daerah kecil Pantu apabila kerajaan bakal melaksanakan Projek Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) di kawasan daerah kecil berkenaan bermula dalam tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini menjelaskan bahawa projek RES di kawasan daerah kecil Pantu ini yang menelan belanja berjumlah RM13 juta ini sudah pun berada dalam perancangan kerajaan.

“Peruntukkan RM13 juta bagi kawasan DUN Balai Ringin untuk tujuan projek RES adalah merupakan sebahagian daripada agihan keseluruhan peruntukkan RES Negeri Sarawak tahun 2009.

“Dengan adanya kos RM13 juta ini pihak kita akan melaksanakan projek RES bermula dari kawasan Pantu sehingga ke kawasan Rapak, Sungai Tenggang dan juga kawasan Abok selewat-lewatnya dalam tahun ini,” katanya.

Dengan adanya projek RES ini nanti, penduduk di kawasan Pantu, Rapak, Sungai Tenggang dan Abok kata Snowdan bakal menikmati kemudahan elektrik selama 24 jam berbanding dengan penggunaan enjin janakuasa elektrik sebelum ini.

Ianya sekaligus dapat mempertingkatkan taraf hidup penduduk di keempat-empat kawasan ini disamping dapat mengurangkan lagi pengantungan terhadap penggunaan bahan api selepas itu.

“Kos untuk melaksanakan projek kemudahan RES terhadap seluruh penempatan dalam kawasan DUN Balai Ringin sebenarnya menelan belanja sebanyak RM50 juta.

“Bagaimanapun kerajaan akan melaksanakan projek pembekalan RES ini secara sistematik dan berperingkat-peringkat di dalam kawasan DUN Balai Ringin pada tahun akan datang,” jelas beliau.

Justeru Snowdan mahu penduduk di kawasan DUN Balai Ringin yang belum lagi menikmati kemudahan RES ini agar sentiasa bersabar sementara agihan peruntukkan RES yang baru pada tahun depan.

Tamat.








Cedera sebab tak dengar cakap ibu (kes palau nih)

SRI AMAN, Khamis (19 Mac) – Kedegilan mendengar nasihat ibunya supaya berhenti minum arak menyebabkan seorang remaja lelaki mengalami luka serius di bahagian ibu jari kanannya di sebuah rumah panjang dalam kawasan Sri Aman malam tadi.

Kejadian dipercayai bermula apabila remaja lelaki berkenaan diajak oleh beberapa orang rakannya untuk meminum beberapa botol arak bermula dari waktu petang hingga ke jam 10 malam.

“Remaja itu kemudiannya pulang ke rumah untuk mengambil duit bagi membeli beberapa botol arak lagi untuk meneruskan aktivitinya bersama rakan-rakan yang sudah menunggu di rumah panjang.

“Ibu remaja terbabit yang melihat anaknya sudah dalam keadaan cukup mabuk disebabkan oleh pengaruh alkohol itu kemudiannya bertindak menasihatkannya supaya berhenti membeli arak demi kebaikan dirinya,” kata sumber.

Remaja berkenaan yang dipercayai marah terhadap nasihat yang disampaikan oleh ibunya kemudiannya bertindak mengocak sekeping zink yang menutup sangkar simpanan ayam keluarga sebagai tanda protes.

Namun tanpa disangka-sangka tindakan remaja terbabit mengocakkan kepingan zink terbabit telah menyebabkan ibu jari kanannya mengalami luka teruk sepanjang satu inci sehingga menyebabkan darah tidak berhenti mengalir.

“Si ibu yang terkejut melihat anaknya yang mengalami luka di ibu jari kanan itu kemudiannya bertindak meminta pertolongan daripada beberapa orang jiran untuk menghantarnya ke klinik yang berdekatan.

“Inilah masalah utama sekiranya mengamalkan tabiat meminum arak secara berlebihan kerana niat baik si ibu disalah anggap sebagai perbuatan untuk menghalangnya bergaul dengan rakan-rakan,” kata sumber.

Tamat.



18 March, 2009

Menjelang Pilihanraya Kecil DUN Batang Ai 29 Mac hingga 7 April:Johnny Chuat sebagai calon bebas di Batang Ai?


Caption: JOHNNY CHUAT diwarkan bakal bertanding sebagai calon bebas pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai 7 April ini nanti.

SRI AMAN, Khamis (19 Mac) – Rata-rata kebanyakkan para pemerhati politik sehingga kini mungkin berpendapat akan berlakunya pertandingan tiga penjuru menjelang pilihanraya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini nanti.

Pilihanraya kecil bagi kawasan DUN Batang Ai pada 7 April ini nanti bakal menyaksikan pertembungan di antara tiga buah pihak yang bakal merebut kerusi DUN terbabit iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) selaku mewakili Barisan Nasional (BN), Parti KeAdilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Bagaimanapun timbul spekulasi terkini yang mendakwa bahawa akan berlakunya pertandingan empat penjuru pada pilihanraya kecil ini kelak apabila seorang anak jati dari kawasan Batang Lemanak, Lubok Antu diwar-warkan akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihanraya kecil ini kelak.

Johnny anak Chuat, 38, anak jati kelahiran Nanga Menyebat dikatakan akan mencuba nasib sebagai anak jati pertama dari kawasan Batang Lemanak untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya kecil itu nanti.

“Akan ada pertandingan empat penjuru pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai ini nanti sekiranya spekulasi berhubung hasrat anak jati Batang Lemanak terbabit menjadi kenyataan...segalanya akan terjawab ketika Hari Penamaan Calon pada 29 April ini nanti,” kata sumber ketika dihubungi Utusan Sarawak.

Graduan dalam bidang Journalism and Communications dari Carleton University, Canada ini kata sumber dianggap mempunyai potensi untuk memecahkan undi dikalangan pemilih pendaftar menjelang pilihanraya kecil ini berdasarkan kepada dua sebab.

Sebab pertama menurut sumber itu ialah kerana 80 peratus daripada penduduk di kawasan Batang Lemanak termasuk dari kawasan Ulu Engkari mempunyai hubungan pertalian saudara kepada bakal calon bebas itu sendiri.

“Sebab kedua pula ialah kerana Johnny Chuat sering melakukan kerja amal terhadap penduduk dari kawasan Batang Lemanak, Ulu Engkari dan di serata kawasan dalam seluruh negeri ini.

“Kerusi DUN Batang Ai semakin panas. Sekiranya spekulasi ini benar maka BN akan menghadapi tiga pihak lawan ketika pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April ini nanti,” katanya.

Johnny Chuat yang kini bekerja dengan sebuah syarikat carigali petroleum dan gas di peraiaran sempadan Malaysia-Vietnam juga merupakan pengasas kepada sebuah laman web dayak iaitu ruaikitai.com.

Tamat.

Menjelang pilihanraya kecil Batang Ai - apa kata penduduk di sana?




Mugshot:

1.JOHN...Malcom pilihan terbaik
2.EDWIN...Kehadiran PKR tidak perlu

LUBOK ANTU, Khamis (19 Mac)– Persoalan mengenai parti manakah yang bakal meneraju kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai bakal terjawab dalam tempoh 19 hari lagi.

Ini kerana pada 7 April ini, sejumlah 6,008 pemilih berdaftar dari kawasan berkenaan akan membuang undi masing-masing untuk memilih calon parti bakal yang meneraju pembangunan di DUN Batang Ai menerusi pilihanraya kecil itu kelak.

Dengan Barisan Nasional (BN) mempertengahkan Malcom Mussen Lamoh sebagai calon mereka untuk mempertahankan kerusi DUN itu nanti, pihak Parti KeAdilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) sehingga kini masih lagi berteka-teki berhubung calon yang bakal mereka ketengahkan pada pilihanraya kecil itu kelak.

Seorang penduduk iaitu John@Joanes Mukan percaya bahawa Mussen Lamoh dapat memberikan kemenangan kepada pihak Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang bakal mewakili pihak BN untuk mempertahankan kerusi DUN Batang Ai berkenaan.

“Berdasarkan rekod, Batang Ai tidak pernah tumpas di tangan pihak pembangkang semenjak dari tahun 1991 dahulu sehinggalah penyandangnya iaitu mendiang Datuk Dublin Unting Ingkot meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

“Untuk mencari pengganti mendiang Unting sememangnya sukar. Tetapi calon pilihan BN iaitu Mussen difikirkan paling layak untuk mempertahankan kerusi itu nanti dan ianya adalah keputusan terbaik daripada mereka (BN),” katanya.

Sementara itu Edwin Raoh menyokong penuh pencalonan Mussen untuk mempertahankan kerusi DUN Batang Ai yang telah dimiliki oleh pihak BN semenjak dari dahulu lagi.

“Beliau (Mussen) layak menjadi calon. Ini kerana beliau sebelum ini mempunyai pengalaman berkhidmat di Jabatan Pertanian Sarawak sebagai seorang jurutera sebelum dipilih untuk menjadi calon BN bagi mempertahankan kerusi DUN Batang Ai.

“Atas sebab ini saya yakin bahawa beliau dapat melaksana usaha memajukan struktur pertanian terhadap semua rakyat di kawasan DUN Batang Ai sekiranya berjaya menjadi wakil rakyat di kawasan itu nanti,” katanya sambil menambah bahawa usaha ini akan dapat mempertingkat tahap ekonomi rakyat di kawasan berkenaan.

Beliau turut menambah bahawa kehadiran pihak pembangkang di kawasan Batang Ai sebenarnya tidak diperlukan memandangkan penduduk di kawasan DUN berkenaan masih lagi arus pembangunan daripada pihak BN.

Tamat.

Kerajaan peruntuk RM15.038 juta untuk bina jalan di kawasan Lubok Antu kata Jabu




Caption:




1.PENGHARGAAN...Penduduk sedang menyarungkan Baju Burung kepada Dr James sambil disaksikan oleh Datuk Patinggi Jabu (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis hari ini.

2.MANFAATKAN...Nyalau (kanan) sedang mewakili Jabu untuk menyampaikan rebat enjin sangkut kepada seorang penerima (kiri) sambil disaksikan oleh Mussen (dua dari kanan) dan Shamshuddin (kanan sekali) ketika berlangsungnya majlis hari ini.

LUBOK ANTU, Rabu (18 Mac) – Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM15.083 juta bagi menaiktaraf jalan di beberapa buah kawasan dalam daerah Lubok Antu demi kebaikan para penduduknya demikian menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Daripada keseluruhan jumlah peruntukkan terbabit kata beliau, sejumlah RM5 juta telah diperuntukkan untuk membina jalan raya berturap di kawasan Skim Penempatan Semula Fasa II Batang Ai yang kini sedang giat dilaksanakan.

“Manakala itu sejumlah RM4 juta daripada jumlah terbabit pula telah diperuntukkan untuk membina jalan raya yang bakal menghubungkan Pekan Lubok Antu hingga ke kawasan Nanga Bulo.

“RM1 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukkan terbabit pula akan digunakan untuk membina jalan raya yang bakal menghubungkan Pekan Lubok Antu hingga ke kawasan Wong Pandak,” katanya.

Jumlah terbesar daripada nilai keseluruhan peruntukkan terbabit iaitu RM5.083 juta pula menurut Jabu akan digunakan untuk membina jalan raya yang bakal menghubungkan kawasan Nanga Kesit, Batang Lemanak, Spaya (kawasan Engkari) dan Bilararap (kawasan Ulu Lemanak).

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemudahan Infrastruktur berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Minyak atau Rebat kepada Penduduk-Penduduk Batang Lemanak bertempat Rumah Dimbap Awet, Serubah Ili, Lemanak, Lubok Antu di sini hari ini.

Selain itu beliau berharap agar wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai ini nanti dapat meneruskan perlaksanaan pelan pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di kawasan terbabit untuk sepanjang masa.

“Harapan saya ialah agar Malcom Mussen Lamoh (calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Batang Ai) dapat bekerjasama dengan Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak dan para wakil rakyat yang lain sekiranya berjaya menjadi wakil rakyat di sini (DUN Batang Ai).

“Kita mahu agar penduduk di kawasan DUN Batang Ai dapat terus menikmati nikmat pembangunan yang disalurkan oleh BN kepada mereka menerusi barisan wakil rakyat ini kelak,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Kemena, Dr Stephen Rundhi, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, calon BN untuk kerusi DUN Batang Ai, Mussen Lamoh, para pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk di kawasan ini.

Sejumlah 177 orang pemilik enjin sangkut dari kawasan Batang Lemanak, Lubok Antu telah menerima rebat pada majlis itu yang mencatatkan jumlah keseluruhan bayaran bernilai RM89,970.

Sebelum itu juga seramai 269 pemilik enjin dari kawasan Batang Ai turut menerima rebat menerusi majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Lubok Antu yang mencatatkan nilai keseluruhan sebanyak RM345,000.

Tamat.

Pemberian rebat enjin sangkut bukan untuk kempen BN di Batang Ai ujar Masing

LUBOK ANTU, Rabu (18 Mac) – Pemberian rebat kepada pemilik enjin sangkut di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada hari ini adalah bukan merupakan salah kempen oleh pihak Barisan Nasional (BN) untuk memenangi hati penduduk di kawasan terbabit.

Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing berkata pemberian rebat ini adalah merupakan hak rakyat yang telah dipohon oleh pihak Kerajaan Negeri terhadap pihak Kerajaan Pusat pada tahun lepas demi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mereka berhubung kenaikan harga bahan api sebelumnya.

“Pemberian rebat kepada pemilik enjin sangkut pada hari ini adalah bukan sebahagian daripada tindakan BN untuk berkempen di Batang Ai pada pilihanraya kecil ini nanti kerana penduduk di Kapit selepas ini juga akan menerima rebat yang sama tanpa ada sebarang pilihanraya pun.

“Lagipun ingin saya ingatkan kepada anda semua di sini bahawa pemberian rebat kepada pemilik enjin sangkut ini tidak mengira sama ada anda adalah merupakan penyokong parti pembangkang ataupun kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Rebat Kepada Pemilik Enjin Sangkut yang berlangsung di Rumah Dimbap Awet, Serubah Ili, Lemanak, Lubok Antu hari ini.

Selain itu Masing juga meminta bekas wakil rakyat, pesara kerajaan dan golongan berpendidikan tinggi untuk berhenti mengelirukan pemikiran penduduk di rumah panjang dalam kawasan luar bandar dalam negeri ini khususnya di Lubok Antu.

Golongan terbabit sebaliknya menurut beliau haruslah bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari jalan bagi memperbaiki dan mempertingkat taraf hidup penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Ketika masih berkhidmat di bawah kerajaan BN, orang itu menyatakan segala kebaikan kita kepada penduduk yang berada di bawahnya sehingga mengajak para penduduk ini untuk menyokong sepenuhnya BN.

“Namun apabila sudah meninggalkan kita (BN), orang ini pula menyatakan segala keburukan mengenai kerajaan sehingga menyeret penduduk ke sana ke mari demi kepentingan politik masing-masing,” kata beliau sambil menambah mengikut kumpulan terbabit tidak akan mendatangkan sebarang faedah kepada diri penduduk itu sendiri.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Kemena, Dr Stephen Rundhi, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, calon BN untuk kerusi DUN Batang Ai, Mussen Lamoh, para pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk di kawasan ini.

Sejumlah 177 orang pemilik enjin sangkut telah menerima rebat pada majlis itu yang mencatatkan jumlah keseluruhan bayaran bernilai RM89,970.

Sebelum itu seramai 269 pemilik enjin sangkut juga turut menerima rebat menerusi majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Lubok Antu dengan mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM345,000.

Tamat.






17 March, 2009

PKR dihalau keluar dari Sebangki Panjai, Lubok Antu

SRI AMAN, Rabu (18 Mac) – Parti KeAdilan Rakyat (PKR) menerima petanda tidak baik untuk menghadapi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai yang bakal berlangsung pada 7 April ini.

Ianya terbukti apabila sekumpulan penyokong PKR telah dihalau keluar oleh penghuni Rumah Jubang anak Bin, Sebangki Panjai, Lubok Antu ketika mereka cuba berkempen di rumah panjang terbabit pagi semalam.

Kejadian berlaku apabila sejumlah tujuh orang penyokong PKR tiba dari Miri ke rumah panjang terbabit dengan menaiki dua buah kereta pada jam 11.30 pagi semalam dengan niat untuk berkempen bagi menghadapi pilihanraya kecil ini kelak.

“Sebaik sahaja mereka tiba, seorang daripada tujuh orang penumpang berkenaan terus memperkenalkan dirinya sebagai doktor dan menyatakan bahawa mereka adalah penyokong PKR dari Miri.

“Kedatangan mereka ke rumah panjang itu adalah dengan niat untuk menyampaikan vcd kisah penduduk rumah panjang Nyawen, Bintulu yang telah dihalau oleh kerajaan berhubung tanah milik kerajaan yang mereka duduki sebelum ini disamping pemberian ubat secara percuma kepada semua penghuni rumah panjang berkenaan,” kata sumber.

Bagaimanapun ketika para penyokong PKR berkenaan mahu membuka kotak yang mengandungi kedua-dua bahan berkenaan, sekumpulan penghuni rumah panjang terbabit mula bertindak menghalau mereka keluar dari kawasan rumah panjang tersebut.

Sambil menyatakan bahawa mereka adalah penyokong kuat Barisan Nasional (BN), kumpulan penghuni rumah panjang terbabit menyuruh mereka menyimpan kembali kotak-kotak berkenaan dan seterusnya menghalau mereka keluar menerusi nada suara yang keras.

“Penyokong PKR dari Miri itu hanya akur dan tidak memberikan sebarang bantahan apabila dihalau oleh kumpulan penghuni rumah panjang berkenaan berhubung perkara ini.

“Dengan kata lain, penghuni rumah panjang Sebangki Panjai, Lubok Antu tidak menerima kehadiran PKR di situ kerana mereka merupakan penyokong kuat kerajaan yang kini diteraju oleh komponen BN Negeri,” katanya.


Tamat.