Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 February, 2009

Tabung Baitulmal Sarawak Sri Aman hulurkan bantuan


Caption: MANFAATKAN...Shamshul (kiri) sedang menyampaikan bantuan kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh para penerima yang lain ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (10 Feb) – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman telah menyampaikan bantuan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM18,000 kepada 24 orang penerima dari sekitar bandar Sri Aman baru-baru ini.

Kesemua 24 orang penerima termasuk wakil surau dan masjid ini telah menerima Bantuan Perubatan dan Kelengkapan Asas Masjid / Surau bernilai RM18,000 berkenaan menerusi sebuah majlis yang berlangsung di pejabat Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman berkenaan.

Ketua cawangan TBS Sri Aman, Shamsul Bahri bin Manap ketika dihubungi menjelaskan bahawa bantuan perubatan ini bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan pemohon yang menghadapi masalah penyakit pada tahap kritikal.

“Bantuan perubatan oleh pihak TBS cawangan Sri Aman ini disalurkan kepada mana-mana pemohon yang menghidapi masalah penyakit pada tahap kritikal bagi tempoh setahun sekali.

“Bagaimanapun bantuan perubatan yang sama boleh disalurkan semula kepada mereka (pemohon) sekiranya masalah penyakit yang mereka hidapi itu masih dalam keadaan kritikal atau bertambah rumit,” katanya.

Manakala itu kata beliau dana yang disalurkan oleh pihak TBS cawangan Sri Aman kepada surau dan masjid dalam bandar ini pula bertujuan untuk membolehkan mereka menambahbaik kelengkapan asas tempat ibadah berkenaan.

Justeru dengan adanya bantuan kewangan seumpama ini kata Shamshul pihak TBS cawangan Sri Aman berharap agar pihak masjid atau surau di bandar ini dapat meneruskan aktiviti kerohanian masing-masing dengan penuh selesa.

Majlis penyerahan bantuan Bantuan Perubatan dan Kelengkapan Asas Masjid / Surau oleh pihak TBS cawangan Sri Aman kepada para penerima turut disaksikan oleh Pengurus Cawangan Tabung Haji Sri Aman, Haji Sharkawi dan wakil Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman, Ustaz Shariman bin Shamat.

Tamat.




No comments:

Post a Comment