Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 February, 2009

Saya akan mohon bantuan PPRT kepada mangsa kebakaran Sungai Semilang


Caption: PRIHATIN...Hajah Simoi (kanan) menyampaikan bantuan makanan kepada Tr Gendi (kiri) sambil disaksikan oleh para pegawai kerajaan dan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Lingga di sini hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (7 Feb) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri akan berusaha untuk membantu mangsa kebakaran dari Rumah Gendi anak Ranti, Sungai Semilang, Tanjung Bijat, dalam daerah kecil Lingga di sini untuk memohon bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dari kerajaan.

Terdahulu sejumlah 122 penghuni dari Rumah Gendi Ranti, Sungai Semilang, Tanjung Bijat dalam daerah kecil Lingga di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah panjang mereka musnah dijilat api menerusi kejadian kebakaran yang bermula pada jam 1.40 petang pada 3 Februari lalu.

“Pada mulanya saya ingin membantu mangsa kebakaran ini menerusi cadangan untuk memohon bantuan perumahan dalam bentuk kewangan dari pihak Kementerian Perumahan Sarawak bagi membina kembali kediaman mereka yang musnah.

“Bagaimanapun setelah saya dimaklumkan oleh Tuai Rumah iaitu Gendi Ranti bahawa para penghuni bakal kesukaran untuk membayar kembali wang pinjaman terbabit maka saya sekarang akan berusaha pula untuk mendapatkan bantuan PPRT untuk mereka,” katanya.

Simoi juga berkata bahawa kesemua mangsa kebakaran terbabit perlu bersabar untuk menerima bantuan PPRT berkenaan memandangkan proses permohonan ini mungkin memakan sedikit masa.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak ketika menyampaikan bantuan makanan dan keperluan asas kepada 16 buah keluarga mangsa kebakaran Rumah Gendi anak Ranti, Sungai Semilang yang berlangsung di Gereja Saint John Sungai Semilang hari ini.

Selain itu beliau juga meminta pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Sri Aman untuk menyelesaikan hal pengurusan dokumen peribadi milik penghuni rumah panjang Sungai Semilang yang telah musnah dalam kejadian kebakaran terbabit.

“Pihak JPN Sri Aman harus bertindak pantas untuk menyelesaikan masalah dokumen peribadi para penghuni yang musnah akibat kejadian kebakaran ini memandangkan segala urusan harian mereka selepas ini kelak bergantung sepenuhnya kepada dokumen tersebut.

“Dengan adanya bantuan JPN dalam merekod kembali hal berkaitan pengenalan diri mangsa ini saya yakin bahawa kesemua penghuni rumah panjang ini tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk menguruskan hal urusan masing-masing pada masa akan datang,” katanya.

Simoi pada hari Rabu lalu menerusi wakilnya iaitu Nelson Jinn telah menyampaikan bantuan kewangan bernilai RM1,600 kepada mangsa kebakaran terbabit demi membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mereka.


Tamat.

No comments:

Post a Comment