Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 February, 2009

Rumah panjang kurang dari 20 keluarga perlu bergabung , kata Mong


Caption: TERIMA KASIH...Masir (tengah) sedang menerima cenderamata daripada Tr Laban (kanan) sambil disaksikan oleh Mong (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (18 Feb) – Kewujudan rumah panjang atau kampung yang mempunyai jumlah keluarga yang kurang daripada 20 pintu menyebabkan mereka sukar untuk menerima bantuan atau peruntukkan pembangunan daripada pihak kerajaan selama ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang berkata kekurangan jumlah penghuni (minimum 20 pintu) bagi sesebuah rumah panjang atau kampung terbabit menyebabkan ketua mereka hanya dianggap sebagai Wakil Tuai Rumah.

“Apabila perkara ini terjadi, rumah panjang terbabit sekaligus juga tidak dapat menumbuhkan sebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang selama ini menjadi satu saluran penting oleh penduduk mendapatkan peruntukkan pembangunan daripada pihak kerajaan,” jelas beliau.

Atas sebab ini kata beliau, Wakil Tuai Rumah yang mempunyai jumlah penghuni kurang daripada 20 pintu haruslah mencari jalan dengan lain-lain rumah panjang (kekurangan jumlah yang sama) dari sekitar kawasan masing-masing untuk tujuan penggabungan.

Hanya dengan jalan ini kata Mong barulah gabungan sesebuah rumah panjang yang mempunyai lebih 20 keluarga penghuni dapat menubuhkan sebuah JKKK demi memohon peruntukkan pembangunan daripada pihak kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman bertempat di Rumah Laban, Skim Melugu, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu kata Mong, penggabungan sesebuah rumah panjang yang kekurangan jumlah penghuni selama ini juga membolehkan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi melaksanakan sesebuah projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Di bawah ‘payung’ JKKK, kesemua penghuni rumah panjang terbabit menurut beliau dapat duduk berbincang untuk menjayakan sesebuah projek pembangunan yang bakal kerajaan perkenalkan kepada mereka.

“Projek penanaman sawit misalannya mungkin boleh dijayakan oleh kerajaan dengan kerjasama penduduk sesebuah rumah panjang terbabit sekiranya mereka sudah sebulat suara mempersetujui rancangan terbabit.

“Justeru saya berharap agar semua Wakil Tuai Rumah di daerah ini untuk memulakan usaha penggabungan mereka dengan lain-lain rumah panjang demi kebaikan masa depan masing-masing,” tambah Mong yang seterusnya mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM3,000 kepada JKKK rumah panjang tersebut.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat yang merasmikan majlis ini turut mengumumkan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman bertempat di Rumah Laban, Skim Melugu ini turut mengumumkan peruntukkan bernilai RM3,000 kepada rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah wakil Residen Sri Aman, SAO Thomas Geoffery Kendawang, wakil Pegawai Daerah Sri Aman, SAO Henry Kran dan PegawaiPenyelaras JASA bagi kawasan Parlimen P.202 Sri Aman, Whilton Lumpoi.

Tamat.


No comments:

Post a Comment