Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 February, 2009

PROSTAR Saint Luke bantu mangsa kebakaran Rumah Gendi, Sungai Semilang


Caption: MANFAATKAN...Lucy (kiri) sedang menyampaikan sumbangan kepada Tr Gendi (kanan) sambil disaksikan oleh Buda Ason (kanan sekali) ketika berlangsungnya majlis semalam.

SRI AMAN, Ahad (8 Feb) – Kelab Program Sihat Tanpa AIDS Untuk Remaja Malaysia (PROSTAR) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke, Sri Aman telah menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran dari Rumah Gendi anak Ranti, Sungai Semilang, Tanjung Bijat dalam daerah kecil Lingga di sini semalam.

Kelab PROSTAR SMK Saint Luke berkenaan telah menyampaikan bantuan berupa pakaian lama dan baru, beberapa set pinggan mangkuk, bekalan beras dan wang bagi kegunaan keluarga mangsa kebakaran terbabit.

Kesemua bantuan ini telah disampaikan oleh penasihat kelab terbabit iaitu Lucy Chuo Mee Hong kepada Tr Gendi Ranti menerusi upacara yang berlangsung pada jam 3 petang kelmarin sambil disaksikan oleh Pegawai Penyelaras dari Jabatan Kesihatan, Buda Ason dan wakil guru dari SMK Melugu, Fakaludin Jusoh.

Lucy ketika ditemui berkata kesemua bantuan ini telah disumbangkan oleh para ahli Kelab PROSTAR SMK Saint Luke dan kakitangan perubatan dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman.

“Pihak kami berharap agar bantuan seumpama ini dapat mengurangkan masalah kerumitan hidup yang ditanggung oleh kesemua 16 keluarga mangsa apabila rumah panjang mereka musnah dijilat api pada 3 Februari lalu.

“Justeru pihak kami berharap agar kesemua 122 penghuni dari 16 keluarga mangsa kebakaran terbabit dapat memanfaatkan sumbangan yang disampaikan oleh pihak PROSTAR SMK Saint Luke dan Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman ini sebaik yang mungkin,” katanya.

Selain itu beliau juga berharap agar kesemua mangsa kebakaran dari Rumah Gendi Renti ini untuk terus bersabar memandangkan terdapat banyak pihak yang akan tampil membantu mereka selepas ini.

Ini kerana Lucy yakin bahawa jabatan kerajaan, agensi swasta dan persatuan atau kelab di daerah ini begitu prihatin terhadap golongan penduduk yang sering ditimpa musibah selama ini.

“Lagipun sebelum ini sudah banyak pihak yang tampil untuk membantu keluarga mangsa kebakaran terbabit dengan menyumbangkan pelbagai bantuan dari kewangan dan sebagainya,” katanya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment