Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 February, 2009

Projek mempertingkat kemudahan untuk penganjuran Pesta Batang Ai Lubok Antu telah bermula


Caption: PROJEK BERMULA...Mujah (kiri) menyerahkan dokumen perjanjian kepada Hilarion (kanan) sambil disaksikan oleh Rayong (tengah), Nyalau (empat dari kanan) dan Lolita (ketiga dari kanan) ketika berlangsungnya majlis semalam.

SRI AMAN, Rabu (11 Feb) – Pesta Batang Ai Lubok Antu bakal menjadi lebih berprestij pada masa akan datang apabila kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi membina beberapa kemudahan pelancongan untuk tujuan kegunaan pesta terbabit.

Peruntukkan bernilai RM1 juta ini adalah untuk tujuan pembinaan Jeti Belian sepanjang 150 meter, Pentas Berbumbung Untuk Kegunaan Tetamu Kehormat (VIP), Pavilion dan Pengkalan Pelabuhan Jet Ski di kawasan Empangan Hidroelektrik Batang Ai Lubok Antu terbabit.

Syarikat Pet Rocks Malaysia telah pun dipertanggungjawab untuk melaksanakan kerja pembinaan kemudahan pelancongan terbabit menerusi sebuah majlis rasmi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA), dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman semalam.

“Menerusi Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak Bagi Projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan Sukan Air dan Rekreasi Tasik Empangan Hidroelektrik Batang Ai Lubok Antu yang berlangsung di semalam, pihak kontraktor terbabit telah pun diberikan tempoh selama lima bulan untuk menyiapkan kerja ini.

“Justeru kami (MDLA) sebagai agen pelaksana projek ini berharap agar keempat-empat kemudahan pelancongan terbabit dapat disiapkan menjelang bulan Jun tahun ini bagi tujuan penganjuran Pesta Batang Ai pada masa akan datang,” kata seorang jurucakap majlis ketika ditemui semalam.

Selain itu perlaksanaan projek ini kata beliau dapat mempertingkatkan mutu kemudahan awam di sekitar tapak penganjuran pesta (Tasik Empangan Hidroelektrik Batang Ai) ini demi menarik kedatangan lebih ramai pengunjung ke penganjuran pesta itu kelak.

Malahan projek perlaksanaan kemudahan ini juga katanya secara tidak langsung dapat meransang pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi di kawasan Batang Ai, Lubok Antu di masa akan datang.

“Dengan kata lain penduduk di kawasan Batang Ai, Lubok Antu bakal menerima manfaat hasil daripada projek pembinaan Kemudahan Pelancongan Sukan Air dan Rekreasi Tasik Empangan Hidroelektrik Batang Ai Lubok Antu menjelang bulan Jun ini nanti,” katanya.

Dokumen perjanjian kontrak ini telah diserahkan oleh Pengerusi MDLA, Nelson Mujah Girie kepada Pengurus Syarikat Pet Rocks Malaysia, Hilarion Bisi sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa dan Setiausaha MDLA, Lolita Jaime Nicholas.

Tamat.


No comments:

Post a Comment