Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 February, 2009

Pokok durian 'berpuaka' di Jalan Kelab berjaya ditebang


Caption: PROJEK DITERUSKAN...Di laluan Jalan Kelab inilah pada tidak lama dahulu berdirinya sebatang pokok durian yang dikatakan berpenunggu sebelum pihak pemaju berhasil menebangnya baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (4 Feb)– Pihak pemaju yang bertanggungjawab melaksanakan Projek Fasa I Pembinaan Bandar Baru Sri Aman telah berhasil menebang sebatang pokok durian berketinggian lebih 20 kaki yang sebelumnya dikatakan ‘berpuaka dan berpenunggu’di laluan Jalan Kelab baru-baru ini.

Perlaksanaan Projek Fasa I Pembinaan Bandar Baru Sri Aman dipercayai mengalami sedikit masalah sebelum ini apabila sekumpulan pekerja dari Sibu yang diupah oleh pemaju berkenaan enggan menebang pokok durian terbabit pada penghujung bulan Oktober tahun lepas.

Keengganan para pekerja terbabit untuk menebang pokok durian tersebut disebabkan oleh kewujudan Pohon Ara atau Kara yang melilit bahagian bawah pokok durian berkenaan dan menebangnya dipercayai boleh membawa malapetaka terhadap diri mereka sendiri.

“Setelah hampir tiga bulan pokok durian terbabit tidak ditebang maka pihak pemaju akhirnya bertindak mengupah sebuah pihak dari Serian dengan sejumlah bayaran tertentu bernilai ribuan ringgit untuk melaksanakan kerja berkenaan.

“Dengan bantuan pihak dari Serian ini, sekumpulan pekerja dari negara jiran telah diarah untuk melaksanakan kerja berkenaan dan berhasil menebang pokok durian tersebut baru-baru ini,” kata sumber.

Tinjauan rambang oleh pihak Utusan Sarawak mendapati bahawa para pekerja sedang giat melaksanakan kerja pembersihan tapak projek dengan mengumpul potongan pokok kayu yang telah ditebang termasuk pokok durian itu sendiri.

Dengan tumbangnya pokok durian terbabit yang dianggap mempunyai unsur keramat sebelum ini maka pihak pemaju tidak menghadapi sebarang masalah untuk melaksanakan projek Fasa I Pembinaan Bandar Baru Sri Aman yang mencakupi kawasan Jalan Resak, Jalan Kelab dan Jalan Foo Chow.

Terdahulu tumbuhan Ara atau Karak menurut kepercayaan kaum Iban adalah merupakan tempat tinggal bagi golongan makhluk halus dan dikhuatiri bahawa tindakan mengganggu kediaman makhluk halus dipercayai akan memberikan padah terhadap mereka yang bertindak mencubanya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment