Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 February, 2009

Persatuan atau pertubuhan perlu berdikari cari sumber kewangan sendiri kata Masir


Caption: SIMBOLIK...Masir (empat dari kanan) dan Mong (tengah) sedang menyempurnakan majlis pemotongan kek sambil diiringi oleh tetamu undangan khas yang lain ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Ahad (22 Feb) – Persatuan atau pertubuhan di daerah ini tidak harus bergantung sepenuhnya terhadap peruntukkan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan menerusi wakil rakyat mereka sekiranya ingin melaksanakan sesuatu program atau aktiviti dari masa ke semasa.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata persatuan atau pertubuhan ini sebaliknya perlu berdikari sendiri untuk menjana sumber kewangan tetap masing-masing dengan melaksana sesuatu projek yang mampu membawa pulang hasil kewangan kepada mereka.

“Pertubuhan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) di daerah ini misalannya boleh melaksana projek pembuatan kraftangan atau lain-lain produk yang berkaitan dengan budaya kaum Dayak itu sendiri untuk dijual kepada para pengunjung atau orang ramai.

“Tetapi usaha sebegini tidak terhad kepada industri penghasilan kraftangan sahaja. Mungkin SIDS dan lain-lain pertubuhan boleh mencuba bidang penghasilan makanan dan pertanian komersial asal sahaja ianya mampu menjana sumber kewangan tetap untuk kegunaan mereka,” kata beliau.

Masir berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penubuhan SIDS Sri Aman Unit Rumah Wilson Bana, Poh-Ai Dau bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam tadi.

Dengan adanya usaha sebegini, semua persatuan atau pertubuhan dalam daerah ini kata beliau akan dapat bergerak dengan lebih aktif tanpa mengharapkan peruntukkan kewangan daripada wakil rakyat pada setiap tahun.

“Mereka juga boleh merujuk kepada wakil rakyat atau agensi kerajaan yang berkaitan di di kawasan ini sekiranya berniat untuk melaksanakan sesebuah perusahaan bagi tujuan terbabit,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong Dagang, Pengerusi SIDS Sri Aman, Roselyn Abunawas, Pengerusi SIDS Sri Aman unit Poh-Ai, Suli Didit, Timbalan Residen Limbang, Elvis Didit, Tr Wilson Bana, pembantu khas kepada Masir iaitu Abah Ugie, para ahli persatuan dan ketua kaum di daerah ini.

Masir dan Mong menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 dan RM2,000 kepada SIDS Sri Aman Unit Rumah Wilson Bana, Poh-Ai Dau.

Majlis pada malam itu turut diserikan dengan upacara penyampaian wang kebajikan oleh SIDS Sri Aman kepada penerima, upacara memotong kek dan persembahan nyanyian lagu menerusi persembahan kugiran SDNU.

Tamat.

No comments:

Post a Comment