Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

02 February, 2009

Peniaga di Jalan Hospital minta pihak berkuasa tempatan baiki keadaan jalan


PERLU PERHATIAN...Para peniaga di laluan Jalan Hospital meminta jasa baik pihak berkuasa tempatan untuk memperbaiki semula lorong laluan terbabit demi kesenangan pengguna.

SRI AMAN, Isnin ( 2 Jan) – Beberapa orang peniaga di Jalan Hospital meminta jasa baik pihak berkuasa tempatan di bandar ini untuk memperbaiki kerosakan terhadap satu laluan lorong jalan yang menghubungkan kawasan premis perniagaan masing-masing.

Tinjauan rambang oleh pihak Utusan Sarawak hari ini mendapati bahawa laluan jalan yang didapati rosak ini terletak di antara tiga buah bangunan utama iaitu Ellison Seafood Restaurant, Seng Fung Enterprise dan CIMB Bank Sri Aman.

“Walaupun ia lorong kecil namun laluan ini menjadi jalan pintas utama dikalangan para pengguna kenderaan yang mahu urusan aktiviti harian masing-masing dari masa ke semasa,” kata Helen Koh, 40 tahun.

Beliau yang kini bersama suaminya Ellison Lingoh menguruskan Ellison Seafood Restaurant mendakwa terdapat laluan berlekuk di kawasan lorong berkenaan sehingga menjejaskan pengguna kenderaan di bandar ini.

“Kerosakan ini mungkin dilihat agak kecil. Tetapi bagi saya adalah perlu bagi pihak berkuasa tempatan untuk menunaikan tanggungjawab mereka terhadap penduduk dengan meratakan semula laluan berlekuk ini,” katanya.

Seorang lagi pemilik kedai di laluan terbabit iaitu Simon mendakwa bahawa air selalu bertakung dalam beberapa kawasan berlekuk di lorong jalan berkenaan apabila berlangsungnya musim hujan di bandar ini.

Disebabkan oleh perkara itu, Simon mengambil inisiatif sendiri untuk mengurangkan takungan air di lorong jalan ini dengan menebuk saliran kecil ke dalam kawasan longkang berdekatan kedainya.

“Jika saya tidak bertindak demikian maka air dari kawasan laluan jalan yang berlekuk ini akan memasuki premis perniagaan saya di sini lebih-lebih lagi ketika musim hujan di bandar Sri Aman,” katanya.

Utusan Sarawak juga mendapati bahawa laluan jalan di sisi bangunan Seng Fung Enterprise ini kurang sempurna dimana terdapat tar yang diturap secara tidak rata dan adakalanya timbul di atas jalan.

Tamat.


No comments:

Post a Comment