Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 February, 2009

Penduduk Nyakai tangkap ular sawa sepanjang 18 kaki


Caption: TEWAS...Tr Japing (berdiri kiri) bersama rakannya sedang memulakan proses menetak ular sawa sepanjang 18 kaki yang telah berjaya ditewaskan oleh beliau di ladang getah milik penduduk rumah panjang berkenaan baru-baru ini.


SRI AMAN, Sabtu (14 Feb) – Jika di Sibu dan Kapit heboh mengenai kisah kewujudan ular besar atau Nabau pada 12 Februari lalu namun di Rumah Panjang Nyakai, Sri Aman pula heboh mengenai penangkapan seekor ular sawa yang dianggap cukup besar oleh penghuni rumah panjang terbabit baru-baru ini.

Ular sawa sepanjang 18 kaki telah berjaya ditangkap oleh ketua kampung rumah panjang berkenaan iaitu Tr Japing anak Gema ketika hendak pergi berburu di kawasan sekitar ladang getah milik penduduk rumah panjang terbabit pada hari Khamis lalu.

“Pada hari (Khamis) tersebut, saya telah bercadang untuk pergi memburu secara perseorangan di kawasan kebun sekitar rumah panjang kami bermula jam 1 petang.

“Ketika melalui sebuah ladang getah milik penduduk kami di sini, saya secara tidak sengaja telah terserempak dengan seekor ular sawa yang dianggap cukup besar dan sedang menjalar di kawasan kebun terbabit sekitar jam 2 petang,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Disebabkan oleh rasa bimbang sekiranya ular sawa terbabit akan memberikan ancaman keselamatan terhadap penduduk di rumah panjang ini, beliau kemudiannya bertindak menembak kepala ular sawa berkenaan sehingga mati.

Japing kemudiannya menghubungi beberapa orang penduduk rumah panjang terbabit dengan menggunakan telefon bimbit bagi membantunya menyeret ular sawa berkenaan keluar dari kawasan ladang getah terbabit.

“Disebabkan terlalu besar, saya terpaksa meminta bantuan penduduk kampung untuk menyeret ular sawa terbabit keluar dari kawasan ladang getah hingga ke kawasan jalan raya yang berdekatan.

“Dari jalan raya, barulah saya menggunakan kenderaan Toyota Unser saya untuk membawa bangkai ular sawa terbabit pulang ke rumah panjang,” katanya.

Ular sawa terbabit kemudiannya ditetak oleh beliau bersama beberapa orang rakannya dan daging reptilia terbabit kemudiannya diagih-agihkan kepada para penghuni rumah panjang berkenaan.

Tamat.


No comments:

Post a Comment