Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 February, 2009

Kerajaan BN prihatin terhadap kebajikan hidup rakyat - Snowdan


Caption: UNTUK ALBUM...Snowdan (tengah), Shamshuddin (kiri beliau) dan Edward (berdiri dua dari kiri) sedang bergambar kenangan bersama para penerima dan kakitangan kerajaan sebaik sahaja tamat majlis berkenaan di Pantu, semalam.

SRI AMAN, Khamis (19 Feb) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengutamakan kebajikan bagi setiap para penduduknya di negeri ini tanpa mengenal latar belakang kaum dan agama kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan.

Nama Barisan Nasional itu sendiri menurut beliau telah melambangkan bahawa kerajaan ini adalah untuk semua kaum dan tidak ada sebab bagi kerajaan untuk mengamalkan dasar ‘pilih bulu’ bagi membantu kebajikan penduduk yang dilanda kesusahan dalam negeri ini.

“Dengan kata lain kerajaan BN tidak pernah mengambilkira kepentingan politik jika hendak membantu penduduk terutama sekali bagi mereka yang telah dilanda masalah bencana alam atau tragedi di negeri ini,” katanya.

Snowdan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ehsan kepada 42 buah keluarga mangsa banjir dari kawasan Pengkalan Pantu di Pejabat Daerah Kecil Pantu, Sri Aman semalam.

Selain itu katanya peranan kerajaan BN dalam mengurangkan beban penduduk yang dilanda masalah bencana alam dan tragedi sebelum ini membuktikan bahawa tuduhan serta fitnah pihak pembangkang terhadap mereka adalah tidak berasas sama sekali.

Pihak pembangkang kata Snowdan hanya pandai menggunakan kepakaran mereka sendiri untuk menghasut penduduk membenci BN walaupun mereka sedar bahawa kerajaan selama ini berperanan amat penting dalam membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh penduduknya.

“Situasi seperti ini sememangnya amat menyedihkan kerana mereka (penduduk) tetap menyandarkan harapan kepada pihak pembangkang walaupun golongan terbabit tidak berupaya untuk tampil membantu penduduk yang dilanda kesusahan,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) bagi Pejabat Daerah kecil Pantu, Edward Michael Duk, Pegawai Penyelaras JASA P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen P.202 Sri Aman, Abah Ugi dan para ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Snowdan menerusi majlis berkenaan telah menyampaikan bantuan wang ehsan daripada pihak Kerajaan Pusat bernilai RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir dari kawasan Pengkalan Pantu.

Beliau pada majlis itu juga turut menyampaikan cek peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun ini yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM18,000 kepada enam buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari sekitar daerah kecil Pantu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment