Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 February, 2009

Jangan ganggu proses pembelajaran anak-anak ujar Dr Rayong


Mugshot: DR JOHNNICAL RAYONG NGIPA

SRI AMAN, Jumaat (20 Feb) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa menasihatkan rakyat di kawasan luar bandar di daerah ini untuk tidak mengganggu waktu persekolahan anak masing-masing.

Menurut beliau terdapat segelintir ibubapa yang membawa anak-anak mengerjakan sawah atau kebun di kampung masing-masing walaupun mereka ketika itu sepatutnya berada di sekolah.

“Perbuatan sebegini boleh menjejaskan prestasi akademik anak-anak. Pihak ibubapa sepatutnya membiarkan anak-anak memberi lebih fokus terhadap proses pembelajaran mereka di sekolah dan bukannya membawa mereka pergi bercucuk tanam di kebun atau mengerjakan sawah padi,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bicara Gemilang di Rumah Panjang Bau, Jambu Lalang, Batang Skrang, Sri Aman anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) N.28 Engkilili baru-baru ini.

Ibubapa di kawasan luar bandar menurut beliau seharusnya sedar bahawa anak-anak adalah merupakan sebahagian daripada golongan modal insan yang bakal menyambung proses pembangunan dan teraju negara ini di masa akan datang.

Kemunculan anak-anak sebagai golongan modal insan kelas pertama kata Rayong hanya dapat dicapai sekiranya mereka ini mendapat motivasi dan kata semangat daripada ibubapa mereka sendiri.

“Bentuklah mereka untuk menjadi seorang insan yang berguna menerusi pencapaian cemerlang akademik masing-masing kerana mereka ini suatu hari kelak mungkin akan dapat mengubah arus pembangunan di kawasan anda sendiri (luar bandar),” katanya.

Rayong juga menambah bahawa hanya melalui pendidikan sahaja barulah anak-anak boleh mencapai kejayaan dalam hidup dan seterusnya menyumbang ke arah pembangunan hidup keluarga masing-masing.

Beliau menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM7,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang terbabit manakala RM3,000 lagi kepada biro wanita mereka.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah anak Girie, Setiausaha Majlis Daerah Lubok Antu, Lolita James dan Penyelaras Parlimen JASA Lubok Antu Geoffery Baja anak Ricky Maba.

Tamat…..









No comments:

Post a Comment