Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 February, 2009

Datuk Dublin Unting Ingkot meninggal dunia hari ini (jam 1.25 pagi 24 Februari)


Caption: HANYA TINGGAL KENANGAN...Foto bertarikh 28 April 2008 ini menunjukkan mendiang Datuk Dublin (bertopi) bersama isterinya, Florine (berdiri kanan sekali) dan setiausaha sulit beliau iaitu Nelson Naga (berdiri kanan beliau) sedang turun padang untuk meninjau tapak kejadian kebakaran di Empauk, Lubok Subong, Lemanak.

SRI AMAN, Selasa – Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai iaitu Datuk Dublin Unting anak Ingkot setelah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Normah, Kuching pada hari ini sememangnya akan menjadi satu memori yang tidak akan dilupakan oleh semua penduduk di kawasan daerah kecil Lubok Antu, Sri Aman.

Mendiang iaitu Datuk Dublin Unting, 54, dimasukkan ke Hospital Normah, Kuching, semenjak 22 Mei tahun 2008 setelah pengsan dan seterusnya koma apabila diserang penyakit Angin Ahmar ketika selesai menghadiri sesi temubual di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuching.

Bagaimanapun bermula jam 12.30 tengahari kelmarin, mendiang dilaporkan mula nazak sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 1.25 pagi hari ini di hospital berkenaan.

Mendiang yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Muda Permodenan Pertanian dan Sukan telah meninggalkan isteri, Florine Moriah dan tiga orang anak iaitu Damian, 10, Dendra Faith, 7 serta Dylan Abit, 4, dan disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian Anglican, Batu Gita, Kuching pada hari Khamis ini.

“Pemergian beliau sememangnya akan dirindui oleh semua rakyat di kawasan Lubok Antu khususnya di Batang Ai,” kata Setiausaha Sulit kepada mendiang iaitu Nelson Naga Alam ketika dihubungi Utusan Sarawak.

Mendiang Unting kata Naga sebelum ini banyak menumpahkan jasa kepada penduduk di kawasan Lubok Antu apabila berjaya mengubah wajah pembangunan daerah kecil ini kepada yang sedia ada pada masa sekarang.

Sumbangan mendiang katanya termasuklah mempertingkat kemudahan infrastruktur serta perhubungan, pembekalan elektrik dan sehingga memperkenalkan Batang Ai, Lubok Antu sebagai sebuah tapak pelancongan yang baru menerusi Pesta Batang Ai Lubok Antu.

“Semenjak berkhidmat untuk mendiang sebagai Setiausaha Sulit pada tahun 1996 dahulu, saya mendapati bahawa beliau rajin bekerja untuk penduduk di daerah Lubok Antu tanpa memperdulikan tahap kesihatan dirinya sendiri.

“Sebagai seorang pembantu, saya dan rakan-rakan yang lain sering menasihati beliau supaya banyak berehat dan tidak memaksa diri terlalu bekerja namun jawapannya kepada kami selama ini ialah ‘itu cuma persoalan kecil sahaja’,” kata Naga.

Mendiang Datuk Dublin Unting anak Ingkot adalah merupakan anak jati kelahiran Kampung Sebangki Panjai, Lubok Antu dan mula berkecimpung secara serius dalam bidang politik setelah berjaya memenangi kerusi DUN Batang Ai menerusi pilihanraya negeri 1991 dahulu.

Beliau kemudiannya berjaya memenangi kerusi DUN Batang Ai menerusi pilihanraya negeri 1996 dan seterusnya dilantik untuk menyertai Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak untuk memegang jawatan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri.

Setelah memegang jawatan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, mendiang Datuk Dublin kemudiannya dilantik untuk memegang jawatan Menteri Muda Kebudayaan sebelum memegang jawatan Menteri Muda Permodenan Pertanian dan Sukan.

Tamat.


No comments:

Post a Comment