Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 February, 2009

Cerita Nabau di Kapit memang wujud, kata seorang bekas guru

SRI AMAN, Jumaat (13 Feb) – Seorang bekas guru dari daerah Sri Aman ini tidak menafikan kisah wujudnya ular gergasi atau lebih dikenali sebagai Nabau yang telah dilaporkan di akhbar ini pada 11 dan 12 Februari lalu.

Terdahulu sekumpulan ahli jawatankuasa bilik gerakan banjir di Sibu telah berjaya menangkap gambar seekor ular gergasi berukuran panjang lebih 100 kaki yang sedang menyusuri anak Sungai Baleh, Kapit, dipercayai ketika berlakunya banjir besar di daerah berkenaan pada bulan Januari lepas.

Penduduk sekali lagi gempar apabila akhbar ini pada 12 Februari lalu menyiarkan gambar seekor ular gergasi atau dikenali juga sebagai Nabau menurut kepercayaan kaum Iban, sedang menyusuri Sungai Batang Rajang, Sibu.

“Saya tidak begitu terkejut apabila membaca berita mengenai ular gergasi berkenaan di akhbar ini pada 11 Februari lalu kerana saya sudah lama percaya bahawa ular terbabit sememangnya wujud di kawasan berkenaan (Sungai Baleh),” kata guru terbabit yang enggan namanya disiarkan di sini.

Ketika mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit pada tahun 1971 dahulu, beliau bersama dengan beberapa orang rakannya telah berkelah di satu lokasi tebing kawasan sungai yang menghubungkan Sungai Baleh dan Sungai Mujong, Kapit.

Ketika sedang menangkap ikan di kawasan terbabit, beliau mendakwa telah melihat sebongkah batu beralur yang besar di dasar sungai terbabit dan seolah-olah kelihatan seperti corak pada bahagian bawah badan seekor ular gergasi.

“Ketika musim kemarau di kawasan itu, paras air sungai di persimpangan Sungai Mujong dan Sungai Baleh hanya mencecah lima kaki sehingga membolehkan saya melihat batu selebar tiga kaki yang mempunyai corak bawah badan seekor ular.

“Kemudian seorang rakan saya menceritakan bahawa corak pada batu terbabit terjadi apabila seekor ular gergasi (Nabau) melalui kawasan sungai terbabit...saya menjadi gementar apabila mendengar cerita ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak dapat menganggarkan panjang corak berkenaan memandangkan batu terbabit terputus-putus di beberapa bahagian tertentu ketika meninjaunya bersama rakan-rakan.

“Saya masih mengingatkan penemuan batu berkenaan sehinggalah saya bersara sebagai seorang guru pada tahun 2007,” kata beliau sambil bahawa menambah tindakan akhbar ini menyiarkan berita terbabit menguatkan lagi kepercayaan beliau mengenai kewujudan ular gergasi berkenaan.

Bekas guru terbabit turut menambah bahawa adalah agak sukar bagi penduduk untuk melihat batu terbabit pada waktu sekarang memandangkan aktiviti pertanian komersial di kawasan Sungai Baleh mungkin menyebabkan air di kawasan sungai itu tidak lagi jernih seperti dahulu.

Tamat.









1 comment: