Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 February, 2009

Sri Aman dan Betong bakal dihubungkan - Jabu


Caption: RASMI...Jabu (kiri) sedang menyaksikan majlis tandatangan surat perlantikkan jawatan oleh Piau (kanan) sambil disaksikan oleh Jack Aman (tengah) ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Jumaat – Kerajaan kini mempunyai perancangan untuk menghubungkan Bahagian Betong dan Sri Aman dalam tempoh beberapa tahun akan datang kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Menurut beliau salah satu cara perancangan untuk mempertingkat tahap perhubungan di antara kedua-dua bahagian ini adalah dengan membina sebuah jambatan merentasi Sungai Batang Lupar atau Sungai Batang Skrang.

Tanpa menyatakan nilai kos pembinaan untuk perancangan projek jambatan terbabit, Jabu menjelaskan bahawa kerajaan juga akan membangunkan kawasan tanah di sepanjang lalun perhubungan itu untuk menaiktaraf hidup penduduk.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melaksanakan rancangan projek ini (pembinaan jambatan menghubungkan Betong dan Sri Aman) apabila keadaan ekonomi sedunia sudah pulih kelak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemudahan Infrastruktur berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis, Majlis Daerah Sri Aman 2009 bertempat di bilik persidangan MDSA hari ini.

Selain itu Jabu juga percaya kawasan Sri Aman akan berubah wajah dalam tempoh lima tahun akan datang apabila pelbagai kerajaan sedang giat melaksana beberapa buah projek pembangunan di sini.

Ianya jelas beliau termasuklah perlaksanaan projek jelapang padi Lingga-Stumbin-Banting, pembinaan bandar baru Sri Aman fasa I dan projek pengindahan Tebingan Sungai Sri Aman.

“Kesemua projek ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan BN sentiasa berusaha untuk membangunkan hidup penduduk di kawasan ini termasuk dari segi peningkatan kemudahan infrastruktur, perhubungan dan sosialti mereka,” kata beliau.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Walikota Sri Aman, Piau anak Inggot, Setiausaha MDSA, Jack Aman Luat, para pegawai kerajaan dan ahli MDSA itu sendiri.

Jabu menerusi majlis berkenaan telah menyaksikan upacara angkat sumpah oleh 25 orang kanselor yang dipilih untuk meneraju MDSA bagi tahun ini. 16 daripada 25 kanselor ini adalah merupakan muka lama manakala sembilan orang lagi adalah merupakan muka baru.

Tamat.

PKR tidak akan mendapat sambutan di sri aman kata Jabu

SRI AMAN, Jumaat (27 Feb) - Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang mendakwa bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mendapat sambutan rakyat di Sri Aman apabila keluarga pemimpin itu sendiri tidak sehaluan dalam parti.

Menurutnya, pemimpin utama PKR di sini iaitu bekas Ahli Parlimen Sri Aman sebelumnya tidak sehaluan apabila anaknya sendiri memilih menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Bagaimanapun Jabu tidak mendedahkan nama bapa dan anak yang dimaksud olehnya itu.

Namun perkembangan terkini dalam senario politik Sri Aman amat menarik apabila bekas Ahli Parlimen Sri Aman Encik Jimmy Donald menjadi Ketua Bahagian PKR Sri Aman manakala anaknya iaitu Leon Jemat mempengerusikan Protem DAP Bahagian Sri Aman.

“Mereka berdua dalam sebuah keluarga bapa dan anak tidak percaya sama sendiri dalam memperjuang hak rakyat. Jadi bagaiamanakah mereka mahu meraih sokongan daripada rakyat di sini (Sri Aman)?” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemudahan Infrastruktur berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis, Majlis Daerah Sri Aman 2009 bertempat di bilik persidangan MDSA hari ini.

Jabu meluahkan rasa kecewa terhadap sikap bekas Ahli Parlimen itu apabila tidak memperdulikan sokongan rakyat semasa menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) selama empat penggal sebelum ini.

Bekas ahli parlimen itu kata Jabu seharusnya bekerjasama dengan Menteri Muda Kemajuan Tanah DatukFrancis Harden Holis dan beberapa orang wakil Rakyat di sini untuk memajukan kawasan Sri Aman bukannya mengajak rakyat menentang BN.

“Ini tidak. Beliau sebaliknya membawa PKR masuk ke sini (Sri Aman) dengan menghasut rakyat menentang BN serta memburukkan nama parti kerajaan ini di hadapan rakyat.

“Konon dakwaan beliau kepada rakyat ialah bahawasanya BN tidak melayaninya dengan begitu baik sehingga menyebabkan beliau menyertai parti Pakatan KeAdilan Rakyat (PKR),” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Walikota Sri Aman, Piau anak Inggot, Setiausaha MDSA, Jack Aman Luat, para pegawai kerajaan dan ahli MDSA itu sendiri.

Jabu menerusi majlis berkenaan telah menyaksikan upacara angkat sumpah oleh 25 orang kanselor yang dipilih untuk meneraju MDSA bagi tahun ini. 16 daripada 25 kanselor ini adalah merupakan muka lama manakala sembilan orang lagi adalah merupakan muka baru.

Tamat.

Saya tidak bertanding - Mujah

SRI AMAN, Jumaat (27 Feb) – Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah anak Girie telah mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Batang Ai menjelang pilihanraya kecil ini nanti menurut laman web sarawakupdate.com.my kelmarin.

Laman web berkenaan pada hari Selasa lalu telah memberitahu bahawa beliau menerusi laman web Malaysiakini.com bakal menjadi calon untuk mengisi kekosongan kerusi terbabit setelah kematian penyandangnya iaitu Datuk Dublin Unting anak Ingkot pada hari yang sama.

“Saya sering mengikut wakil rakyat di kawasan ini (Lubok Antu) kerana ianya sebahagian dari tugas selaku Pegawai Daerah dan bukannya bertujuan untuk melobi mereka bagi mendapatkan kerusi berkenaan (DUN N.29 Batang Ai).

“Saya sering turun padang untuk memantau perlaksanaan projek pembangunan dan masalah rakyat di kawasan daerah Lubok Antu selama ini. Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menjadi calon di DUN ini...kami tidak pernah membincangkannnya,” jelas beliau di laman web berkenaan.

Oleh itu Mujah menerusi laman web berkenaan meminta semua pihak berhenti untuk mengaitkan nama beliau dengan pilihanraya kecil DUN N.29 Batang Ai ini kelak dan Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah pun menyatakan bahawa calon Barisan Nasional (BN) adalah orang tempatan dari kawasan DUN berkenaan.

“Lagipun kita adalah golongan orang berbudaya...maka tunjukkan rasa hormat anda semua kepada keluarga mendiang Datuk Dublin Unting anak Ingkot,” tambah beliau.

Sementara itu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah anak Embas ketika dihubungi laman web berkenaan menafikan spekulasi yang mengaitkan nama adiknya iaitu Nelson Mujah berhubung pemilihan calon untuk bertanding di kerusi terbabit.

Beliau mendakwa spekulasi terbabit adalah usaha terancang untuk memecahbelahkan perpaduan BN dan menarik perhatian orang ramai dari isu pertelingkahan dalaman parti Pakatan Rakyat.

”Mereka kini menghadapi masalah berhubung isu pemilihan calon mereka tidak seperti BN. Lagipun Ketua Menteri telah menyatakan secara terang bahawa calon BN untuk kerusi terbabit adalah orang tempatan di situ...yang bermaksud bahawa adik saya (Mujah) keluar dari kontek isu ini memandangkan beliau berasal dari Balingian,” katanya.

Uggah percaya bahawa pihak kepimpinan Pakatan Rakyat sedang berusaha keras untuk melaga-lagakan parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dengan menuduh bahawa PBB membuli PRS demi menimbulkan kemarahan dikalangan ahli PRS.
Tamat.


24 February, 2009

Koperasi D’N Selera Sri Aman Berhad tawar pelbagai juadah makanan menarik untuk orang ramai dari bandar Sri Aman




Caption: MENARIK...Disamping tawaran juadah makanan yang menarik Koperasi D’N Selera Sri Aman juga menyediakan tempat duduk makan pelanggan yang menarik serta lebih selesa dari masa ke semasa.


SRI AMAN, Rabu (25 Feb) – Nama Koperasi D’N Selera Sri Aman Berhad mungkin tidak asing lagi dikalangan para penggemar masakan makanan Melayu di bandar Sri Aman ini selama ini.

Ini kerana Koperasi D’N Selera Sri Aman Berhad yang terletak Jalan Datuk, Kampung Masjid Baru berdekatan Masjid Besar Sri Aman itu menawarkan pelbagai juadah makanan istimewa mengikut selera para pelanggannya di bandar Sri Aman ini.

Antaranya termasuklah juadah Ikan Talapia (dimasak secara Stim, Sweet Sour dan goreng cili api) Ayam Masak Halia, Sotong Goreng Tepung, Sup Ekor, Nasi Kerang Goreng dan pelbagai menu menarik yang menyelerakan.

Pemiliknya, Abang Noren bin Abang Naruddin ketika ditemui berkata Koperasi D'N Selera Sri Aman Berhad ini merupakan sebuah kedai yang menjual barangan runcit sebelum ianya beralih kepada perkhidmatan menjual makan dan minuman pada awal tahun 2000.

“Setelah perniagaan saya dan isteri, Saimah Awang Dahlan mula berkembang maka premis kedai telah dibaikpulih pada awal April 2008 bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan keselesaan kepada pelanggan di sini,” katanya.

Premis ini kata Noren yang juga Ketua Kampung Masjid Baru Sri Aman kemudian telah ditukar kepada koperasi mulai pada 9 September 2008 dan masih meneruskan operasinya hingga ke hari ini.

Demi menarik kedatangan lebih ramai pelanggan ke Koperasi D’N Selera Sri Aman Berhad ini, pihaknya juga kata Noren akan menyediakan perkhidmatan Wifi kepada setiap pelanggan yang berkunjung ke premis ini.

“Selain itu Koperasi D’N Selera Sri Aman ini juga menyediakan perkhidmatan katering yang lebih dikenali sebagai Dang Arot Katering.

“Justeru orang ramai yang menempah perkhidmatan katering Dang Arot Katering ini boleh menghubungi saya sendiri di talian 019-4387183 atau talian telefon 083-327673atau fax 083-327673,” katanya.

Orang ramai yang ingin menikmati hidangan makanan di Koperasi D’N Selera Sri Aman bolehlah datang ke premis itu sendiri pada waktu operasi yang bermula dari jam 4.30 petang hingga 12 tengah malam pada setiap hari.
Tamat.




Fiesta Budaya Belia Malaysia 2009 di Mini Stadium Sri Aman pada 7 Mac ini


Mugshot: SHYENNIER JEAN SERIT

SRI AMAN, Rabu ( 25 Feb) – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Sekretariat Rakan Muda Bahagian Sri Aman akan mengadakan Fiesta Budaya Belia Malaysia 2009 bertempat di Mini Stadium Sri Aman pada 7 Mac ini.

Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Shyennier Jean anak Serit ketika dihubungi berkata fiesta yang akan bermula pada jam 8 pagi hingga 11 malam pada hari berkenaan akan mempertengahkan enam buah acara menarik.

Ianya termasuklah Pertandingan Tandak Melayu Sarawak (Berpasangan), Pertandingan Tarian Ngajat Iban Sarawak (Solo), Pertandingan Ratu Etnik Sarawak (Solo), Pertandingan Tarian Budaya Cina (Berkumpulan), Pertandingan Shuffle Berkumpulan (Lelaki) dan Pertandingan Tarian Poco-Poco Terbuka (Berkumpulan).

“Tujuan utama fiesta yang bakal ini diadakan di Mini Stadium Sri Aman pada 7 Mac ini kelak adalah untuk memupuk nilai-nilai budaya setiap kaum di kalangan semua belia dalam bandar Sri Aman ini.

“Dengan adanya fiesta sebegini kita berharap agar kesemua belia dapat memelihara dan menjaga budaya yang terdapat dalam setiap kaum di negeri ini demi kebaikan golongan generasi muda pada masa akan datang,” katanya.

Fiesta Budaya Belia Malaysia 2009 menurut Jean juga secara tidak langsung dapat menarik perhatian orang ramai dalam bandar Sri Aman yang gemar menonton aktiviti kebudayaan setiap kaum seperti Tarian Tandak Melayu, Ngajat dan Tarian Budaya Cina.

Kehadiran orang ramai pada 7 Mac ini di Mini Stadium Sri Aman kelak kata beliau secara tidak langsung dapat mewujudkan hubungan perpaduan yang lebih erat dan kukuh dikalangan penduduk berbilang kaum dalam daerah ini.

“Pertandingan ini terbuka kepada orang ramai dan tiada bayaran dikenakan untuk penyertaan masing-masing dalam setiap acara yang diadakan menerusi penganjuran fiesta ini.

“Justeru mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh menghubungi pejabat kami di talian 083-326228, Awang Magerib Awang Anie di talian 014-8763123 dan Sulaiman Amut di talian 013-8035800,” kata Jean.

Tamat.

Sokanjaya Sri Aman akan adakan kempen derma darah pada 26 Feb

SRI AMAN, Rabu (25 Feb) – Kelab Sokanjaya (Jabatan Kerja Raya) Bahagian Sri Aman akan menganjurkan aktiviti Kempen Menderma Darah 2009 bertempat di Hospital Bahagian Sri Aman bermula jam 9 pagi esok (26 Februari).

Jurucakap penganjur ketika dihubungi berkata tujuan utama kempen derma darah tersebut diadakan adalah untuk membantu pihak hospital mempertingkatkan stok bekalan darah agar masalah kekurangan darah akan berupaya ditangani pada masa ianya amat diperlukan.

“Kerajaan sentiasa mengimport bekalan darah daripada beberapa buah negara memandangkan institusi perubatan tempatan mengalami masalah kekurangan darah bagi kegunaan semua pesakit yang amat memerlukan di hospital.

“Maka kita sebagai ahli masyarakat tempatan haruslah sedar bahawa sumbangan peribadi melalui penyertaan masing-masing terhadap kempen derma darah ini akan membantu meringankan beban pesakit di hospital dan kerajaan kita,” katanya.

Selain itu katanya, masyarakat tempatan di sekitar daerah ini perlulah sedar akan tanggungjawab diri masing-masing untuk membantu para pesakit yang amat memerlukan bekalan darah bagi meneruskan hidup mereka.

Tanpa sumbangan darah daripada masyarakat tempatan di daerah ini kata beliau maka tanggungan Institut Bank Darah akan bertambah berat dan ini sekaligus boleh mendatangkan kesan terhadap para pesakit di hospital yang memerlukan bekalan darah.

“Masyarakat Malaysia selama ini dianggap sebagai masyarakat yang prihatin maka melalui kesempatan ini saya berharap agar mereka membuktikan sifat keprihatinan masing-masing dengan menjayakan kempen derma darah ini demi kebaikan bersama.

“Bantulah para pesakit di hospital yang amat memerlukan darah untuk terus hidup melalui penyertaan anda terhadap kempen derma darah ini,” katanya.

Beliau juga turut menambah bahawa program derma darah ini mampu mengukuhkan lagi hubungan perpaduan dan kerjasama di antara ahli Kelab Sokanjaya Sri Aman Bahagian Sri Aman dengan orang ramai dari sekitar bandar Sri Aman ini.

Justeru, beliau berharap agar kesemua golongan masyarakat termasuk kakitangan kerajaan dan swasta mengambil bahagian dalam kempen derma darah ini nanti demi membantu pihak hospital mempertingkatkan bekalan darah untuk kegunaan para pesakit yang amat memerlukan di masa akan datang.

Tamat.....




Rakyat harus bersyukur kerana kestabilan politik di Sarawak - Simoi


Caption: UNTUK ALBUM...Simoi (keempat dari kiri) sedang menjamu makanan yang dihidangkan di atas bersama para tetamu undangan khas ketika berlangsungnya majlis berkenaan baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (24 Feb) – Rakyat di negeri ini harus menjadi situasi pergolakkan politik di negeri Perak sebelum sebagai satu ikthibar dalam hidup masing-masing kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri.

Pergolakkan politik di negeri Perak kata beliau secara tidak langsung telah menggugat perlaksanaan projek pembangunan disamping menjejaskan keyakinan pelabur asing untuk melabur di negeri berkenaan.

“Bagaimanapun kita rakyat di Sarawak khususnya dalam kawasan daerah kecil Lingga, Sri Aman harus bersyukur kerana kestabilan politik negeri akan membolehkan kerajaan melaksana pelbagai projek di kawasan ini.

“Ianya termasuklah pelan perlaksanaan projek mega agropolitan Stumbin-Lingga berasaskan pertanian yang menelan belanja sebanyak RM200 juta dan projek pembinaan Bandar Baru Sri Aman Fasa I,” kata beliau.

Simoi berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Amal Mesra 2009 anjuran Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kawasan Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Kelancaran perlaksanaan projek ini kelak jelas beliau sekaligus membuktikan bahawa Dasar Politik Pembangunan yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di negeri ini adalah cukup berkesan.

“Kepimpinan Pehin Sri Taib dalam meneraju kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini ternyata membuahkan hasil apabila wujudnya kestabilan politik sehingga semua projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan penuh lancar.

“Justeru saya meminta semua rakyat di negeri ini khususnya di kawasan Lingga agar sentiasa bekerjasama dengan BN untuk memastikan wujudnya kestabilan politik yang berterusan dalam negeri ini,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Zaidi Sarkawi, Pengerusi PPWS kawasan Sri Aman iaitu Latifah Mantali, para pegawai kerajaan, ketua kaumdan para ahli PPWS dari seluruh kawasan Sri Aman.

Simoi pada majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan tambahan kepada PPWS Sri Aman bernilai RM1,000 dan menjadikan jumlah peruntukkan itu kepada RM3,000 bagi tahun 2008 dan 2009.

Tamat.


Cerita politik di Batang Ai panas...

SRI AMAN, Selasa (24 Feb) – Kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Dublin Unting anak Ingkot pada jam 1.25 pagi hari ini secara tidak langsung telah menghangatkan lagi cerita politik di kawasan DUN terbabit hari ini.

Sumber dari sebuah laman web sarawakupdate.com.my dipetik sebagai berkata bahawa terdapat beberapa ahli politik senior ketawa apabila laman web Malaysiakini.com memberitahu Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah anak Girie bakal menjadi calon baru untuk mengisi kekosongan kerusi terbabit.

Mujah menerusi laman web terbabit dinyatakan adalah adik kepada Naib Kanan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu Datuk Douglas Uggah anak Embas yang juga merupakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

“Atas sebba ini, Mujah mungkin akan diarahkan untuk menyertai salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang mempunyai hak ke atas kerusi DUN N.29 Batang Ai sebelum ini.

“Bagaimanapun Mujah bukan berasal dari kawasan berkenaan (Batang Ai, Lubok Antu)...lagipun beliau selama ini aktif turun padang disebabkan oleh tugas selaku pegawai daerah di kawasan terbabit,” kata sumber berkenaan.

Sumber dari laman web berkenaan juga menambah bahawa pihak PBB tidak akan masuk campur dalam hal urusan dalam PRS terutama sekali berhubung hal pemilihan calon baru untuk kerusi ini kelak.

Spekulasi ini juga kata sumber mungkin disebabkan oleh tindakan terancang yang cuba ingin menggugat hubungan kerjasama di kalangan ahli parti BN khasnya PBB dan PRS oleh ahli PRS yang telah merajuk sebelum ini

“Anda mesti ingat bahawa bahawa PRS kini sedang mengalami masalah dalaman dan terdapat pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan berhubung kontroversi dan pendekatan mereka mengenai politik.

“Bagaimanapun PRS masih lagi teguh dan masih melaksanakan peranan mereka dalam komponen parti BN di negeri ini,” kata sumber.

Sementara itu bekas Setiausaha Sulit kepada mendiang Datuk Dublin Unting iaitu Nelson Naga Alam yang ketika ini sering disebut-sebut sebagai calon pengganti beliau yang terdekat memilih untuk lebih mengingati komiten dan jasa mendiang ketika melaksanakan tugas sebagai Menteri Muda Permodenan Pertanian dan ADUN Batang Ai terbabit sebelum disahkan meninggal dunia pada hari ini.

Tamat.

23 February, 2009

Munan Enterprise - syarikat penjualan bahan binaan, kejuruteraan dan elektronik pertama milik Bumiputera di bandar Sri Aman




1.SILA DATANG...Entalai (berdiri kiri sekali) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama beberapa pengguna di hadapan premis Munan Enterprise di di Lot 905, Blok 3, STD, Jalan Council hari ini.

2.UTAMAKAN PELANGGAN...Entalai sedang melayani beberapa orang pengguna yang sedang berkunjung ke premis Munan Enterprise untuk membeli beberapa barangan keperluan hari ini.

SRI AMAN, Selasa (24 Feb) – Entalai anak Munan, 52, anak jati Iban kelahiran Ulu Sungai Nibong, Sarikei membuka lembaran baru dalam sejarah perniagaan alat bahan binaan, kejuruteraan dan elektronik di bandar Sri Aman apabila beliau muncul sebagai peniaga Bumiputera yang pertama membuka perniagaan ini bermula 6 Februari lalu.

Menerusi syarikat yang diberi nama sebagai Munan Enterprise, Entalai menjual pelbagai jenis alatan dan barangan yang berkaitan dengan aspek binaan, kejuruteraan dan elektronik perkakasan rumah kepada semua pengguna di bandar ini.

Terletak di Lot 905, Blok 3, STD, Jalan Council, beliau menerusi Munan Enterprise telah menawarkan harga jualan yang berpatutan terhadap semua pengguna yang berkunjung ke premis perniagaan beliau untuk membeli barangan berkaitan.

“Saya menceburi bidang penjualan alat bahan binaan, kejuruteraan dan elektronik ini kerana saingan perniagaan ini tidak begitu tinggi dikalangan semua peniaga bukan Bumiputera dalam bandar Sri Aman sebelumnya.

“Dengan memperkenalkan harga jualan berpatutan dan kualiti barang yang amat baik saya yakin Munan Enterprise mampu menjadi tarikan para pengguna di bandar ini untuk dalam masa terdekat kelak,” kata beliau ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Buat peringkat permulaan, Munan Enterprise jelas Entalai telah menawarkan diskaun potongan harga istimewa bagi semua barangan yang dijual kepada semua pengguna untuk tempoh tiga bulan bermula dari tarikh premis ini dibuka.

Ianya bertujuan sebagai langkah untuk mempromosi dan menarik minat lebih ramai para pengguna dari sekitar daerah Sri Aman ini yang memerlukan alatan berkaitan dengan aspek binaan, kejuruteraan dan elektronik bagi kegunaan masing-masing.

“Antara barangan yang dijual dalam premis saya ini ialah cat, alatan pertukangan, paku, fius, soket penyambungan elektronik, kipas angin, enjin janakuasa elektrik, paip dan banyak lagi.

“Justeru saya berharap agar Munan Enterprise mampu muncul sebagai salah sebuah premis perniagaan yang mendapat tarikan paling utama daripada kalangan pengguna dalam bandar ini di masa akan datang,” kata Entalai yang juga mempunyai perniagaan jualan tekstil di Julai sekarang ini.

Beliau yang juga merupakan pembekal sah untuk syarikat Seamaster Paint yang berpengkalan di Kuching boleh dihubungi menerusi talian telefon 019-8484226 untuk mengetahui lebih lanjut tentang perniagaan ini atau boleh menghubungi anak beliau iaitu Donalbain di talian 013-812 4741.

Tamat.

Datuk Dublin Unting Ingkot meninggal dunia hari ini (jam 1.25 pagi 24 Februari)


Caption: HANYA TINGGAL KENANGAN...Foto bertarikh 28 April 2008 ini menunjukkan mendiang Datuk Dublin (bertopi) bersama isterinya, Florine (berdiri kanan sekali) dan setiausaha sulit beliau iaitu Nelson Naga (berdiri kanan beliau) sedang turun padang untuk meninjau tapak kejadian kebakaran di Empauk, Lubok Subong, Lemanak.

SRI AMAN, Selasa – Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai iaitu Datuk Dublin Unting anak Ingkot setelah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Normah, Kuching pada hari ini sememangnya akan menjadi satu memori yang tidak akan dilupakan oleh semua penduduk di kawasan daerah kecil Lubok Antu, Sri Aman.

Mendiang iaitu Datuk Dublin Unting, 54, dimasukkan ke Hospital Normah, Kuching, semenjak 22 Mei tahun 2008 setelah pengsan dan seterusnya koma apabila diserang penyakit Angin Ahmar ketika selesai menghadiri sesi temubual di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuching.

Bagaimanapun bermula jam 12.30 tengahari kelmarin, mendiang dilaporkan mula nazak sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 1.25 pagi hari ini di hospital berkenaan.

Mendiang yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Muda Permodenan Pertanian dan Sukan telah meninggalkan isteri, Florine Moriah dan tiga orang anak iaitu Damian, 10, Dendra Faith, 7 serta Dylan Abit, 4, dan disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian Anglican, Batu Gita, Kuching pada hari Khamis ini.

“Pemergian beliau sememangnya akan dirindui oleh semua rakyat di kawasan Lubok Antu khususnya di Batang Ai,” kata Setiausaha Sulit kepada mendiang iaitu Nelson Naga Alam ketika dihubungi Utusan Sarawak.

Mendiang Unting kata Naga sebelum ini banyak menumpahkan jasa kepada penduduk di kawasan Lubok Antu apabila berjaya mengubah wajah pembangunan daerah kecil ini kepada yang sedia ada pada masa sekarang.

Sumbangan mendiang katanya termasuklah mempertingkat kemudahan infrastruktur serta perhubungan, pembekalan elektrik dan sehingga memperkenalkan Batang Ai, Lubok Antu sebagai sebuah tapak pelancongan yang baru menerusi Pesta Batang Ai Lubok Antu.

“Semenjak berkhidmat untuk mendiang sebagai Setiausaha Sulit pada tahun 1996 dahulu, saya mendapati bahawa beliau rajin bekerja untuk penduduk di daerah Lubok Antu tanpa memperdulikan tahap kesihatan dirinya sendiri.

“Sebagai seorang pembantu, saya dan rakan-rakan yang lain sering menasihati beliau supaya banyak berehat dan tidak memaksa diri terlalu bekerja namun jawapannya kepada kami selama ini ialah ‘itu cuma persoalan kecil sahaja’,” kata Naga.

Mendiang Datuk Dublin Unting anak Ingkot adalah merupakan anak jati kelahiran Kampung Sebangki Panjai, Lubok Antu dan mula berkecimpung secara serius dalam bidang politik setelah berjaya memenangi kerusi DUN Batang Ai menerusi pilihanraya negeri 1991 dahulu.

Beliau kemudiannya berjaya memenangi kerusi DUN Batang Ai menerusi pilihanraya negeri 1996 dan seterusnya dilantik untuk menyertai Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak untuk memegang jawatan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri.

Setelah memegang jawatan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, mendiang Datuk Dublin kemudiannya dilantik untuk memegang jawatan Menteri Muda Kebudayaan sebelum memegang jawatan Menteri Muda Permodenan Pertanian dan Sukan.

Tamat.


Wanita harus bersedia hadapi globalisasi - Simoi


PENGHARGAAN...Latifah (kanan) menyampaikan cenderatama kenang-kenangan kepada Simoi (kiri) sambil disaksikan oleh Shamshuddin (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Isnin (23 Feb) – Kaum wanita harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan pelbagai kemahiran untuk membina jati diri serta daya saing yang tinggi, nasihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri.

Beliau menyatakan nasihat terbabit memandangkan masyarakat dunia kini khususnya wanita hidup dalam era globalisasi yang memungkinkan mereka berkongsi ilmu pengetahuan dan maklumat dengan cepat menerusi pelbagai teknologi komunikasi yang sedia ada.

“Bagaimanapun keburukannya di sini ialah apabila tersebarnya ‘virus-virus’ yang tidak baik seperti penyebaran gambar lucah atau maklumat negatif yang disebarkan menerusi kemudahan internet.

“Oleh itu sebagai seorang wanita, kita perlu mempunyai perancangan, matlamat yang jelas dan pelan bertindak untuk mengatasi segala cabaran,” katanya sambil menambah bahawa ianya selaras dengan Pembangunan Modal Insan yang menjadi agenda baru kerajaan untuk mengukuhkan jati diri masyarakat.

Simoi berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Amal Mesra 2009 anjuran Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kawasan Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu beliau juga mahu kaum wanita memberi perhatian kepada pelbagai masalah sosial yang melanda masyarakat pada masa sekarang termasuklah hal kesihatan, buta huruf, miskin tegar, penjagaan golongan Orang Kurang Upaya, budaya lepak, seks rambang dan jenayah.

“Wanita boleh memainkan peranan mereka untuk membantu mengurangkan masalah sosial yang kian melanda masyarakat pada masa sekarang ini dengan melaksanakan kegiatan kebajikan.

“Mereka boleh mendapatkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, PEMADAM atau daripada lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan sekiranya mahu menjayakan kegiatan kebajikan mereka,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Zaidi Sarkawi, Pengerusi PPWS kawasan Sri Aman iaitu Latifah Mantali, para pegawai kerajaan, ketua kaumdan para ahli PPWS dari seluruh kawasan Sri Aman.

Simoi pada majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan tambahan kepada PPWS Sri Aman bernilai RM1,000 dan menjadikan jumlah peruntukkan itu kepada RM3,000 bagi tahun 2008 dan 2009.

Tamat.

Jangan mudah puas dengan kejayaan yang anda perolehi kata Elvis


Caption: PENGHARGAAN...Suli (kanan) sedang menyampaikan cenderatama kepada Masir (kiri) sambil disaksikan oleh Elvis (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis berkenaan baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (23 Feb) – Penasihat Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sri Aman Unit Poh Ai iaitu Elvis anak Didit berharap agar pertubuhan itu tidak mudah puas hati dengan sesebuah kejayaan yang bakal mereka kecapi pada suatu hari nanti.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penubuhan SIDS Sri Aman Unit Rumah Wilson Bana, Poh-Ai Dau bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman baru-baru ini.

Menurut beliau terdapat segelintir pihak yang tidak mahu terus berusaha lebih gigih untuk menikmati lain-lain kejayaan setelah hanya berjaya sekali sahaja untuk sesebuah projek tertentu.

“Kehendak untuk maju tidak boleh berhenti setengah jalan kerana perkara ini hanya boleh dinikmati sekiranya semua ahli tidak berlandaskan satu kejayaan sahaja untuk mencapai matlamat pertubuhan yang lebih baik.

“Ambillah contoh seekor kura-kura. Walaupun pergerakkannya lambat namun kura-kura ini akan terus berjalan tanpa henti sehinggalah kepalanya terlanggar tunggul kayu,” katanya yang juga merupakan Timbalan Residen Bahagian Limbang.

Selain itu Elvis juga berharap agar ahli-ahli SIDS Unit Poh Ai saling bertimbang rasa di antara satu sama yang lain dan tidak sesekali bertindak untuk merebut jawatan-jawatan tertinggi dalam pertubuhan berkenaan.

Tindakan sebegini menurut beliau hanya akan memburukkan lagi keadaan dikalangan ahli dan secara tidak langsung boleh menjejaskan kekuatan pertubuhan itu sendiri dari masa ke semasa.

“Justeru saya menasihatkan anda (ahli SIDS Unit Poh Ai) semua agar saling bekerjasama dan bantu-membantu dalam melaksanakan sesebuah aktiviti atau program pertubuhan itu sendiri.

“Jangan ada yang ingin menjadi mandur dan selebihnya pula menjadi kuli sekiranya ingin menjayakan sesebuah program itu bak kata pepatah Iban anang bisi niki nibung...bisi niki pinang,” jelas beliau.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong Dagang, Pengerusi SIDS Sri Aman, Roselyn Abunawas, Pengerusi SIDS Sri Aman unit Poh-Ai, Suli Didit, Tr Wilson Bana, pembantu khas kepada Masir iaitu Abah Ugie, para ahli persatuan dan ketua kaum di daerah ini.


Tamat.

22 February, 2009

Peserta SALCRA Roban terima dividen dan surat hakmilik tanah


Caption:MANFAATKAN…Jabu menyampaikan wang pampasan tanah kepada salah seorang penduduk ketika berlangsungnya majlis terbabit sambil disaksikan oleh (dari kanan) ialah Wahab, Peter dan Jelaing.

BETONG, Ahad (22 feb) - Kerajaan menerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) telah membayar sejumlah RM295 juta wang dividen kepada 16,000 peserta daripada 18 estet seluruh Sarawak sejak SALCRA beroperasi pada tahun 1986.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata, ini menunjukkan SALCRA telah berjaya menaikkan taraf ekonomi kepada pemilik tanah terbiar terutamanya dikalangan mereka yang menetap di kawasan luar bandar.

“Ini sekaligus menangkis dakwaan parti pembangkang yang sebelum ini telah mendakwa bahawa SALCRA gagal menaikkan taraf hidup rakyat disamping merampas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik rakyat.

“Jikalau boleh saya hendak mengajak kesemua pemimpin parti pembangkang yang sebelum ini amat petah bercakap mengenai dakwaan terbabit untuk hadir sendiri bagi menyaksikan majlis ini sekarang,” katanya sambil menambah bahawa majlis ini membuktikan dakwaan mereka tidak benar selama ini.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah di Bahagian Betong dan Penyerahan Surat Hak Milik Tanah kepada peserta Projek SALCRA di Dewan Serbaguna Ladang Kelapa Sawit SALCRA Roban Selatan, Betong hari ini.

Justeru itu beliau menasihatkan para penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar agar menepis segala dakwaan negatif berhubung projek penanaman kepala sawit di kawasan masing-masing.

Hadir sama dalam majlis itu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jelaing Mersat, Menteri Muda Pertanian, Datuk Peter Nyarok, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Wahab Aziz, Pengurus Besar SALCRA, Datu Vasco Sabat Singkang dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Betong, Peggy Ronin.

Jabu, selaku pengerusi SALCRA telah menyampaikan wang dividen berjumlah RM14.43 juta kepada penerima dari empat buah estet dalam kawasan daerah Saratok iaitu Roban Selatan, Roban Utara, Saratok dan Saribas bagi tahun 2008.

Dalam masa yang sama Jabu juga turut menyerahkan sejumlah 1,192 surat Hak Milik Tanah kepada peserta SALCRA dari 98 buah rumah panjang dan kampung di Wilayah Saratok.

Disamping itu beliau diberi penghormatan untuk menyampaikan wang pampasan berjumlah RM731,000 kepada 112 pemilik tanah di kawasan terbabit.

Tamat.



Tamat….




Persatuan atau pertubuhan perlu berdikari cari sumber kewangan sendiri kata Masir


Caption: SIMBOLIK...Masir (empat dari kanan) dan Mong (tengah) sedang menyempurnakan majlis pemotongan kek sambil diiringi oleh tetamu undangan khas yang lain ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Ahad (22 Feb) – Persatuan atau pertubuhan di daerah ini tidak harus bergantung sepenuhnya terhadap peruntukkan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan menerusi wakil rakyat mereka sekiranya ingin melaksanakan sesuatu program atau aktiviti dari masa ke semasa.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata persatuan atau pertubuhan ini sebaliknya perlu berdikari sendiri untuk menjana sumber kewangan tetap masing-masing dengan melaksana sesuatu projek yang mampu membawa pulang hasil kewangan kepada mereka.

“Pertubuhan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) di daerah ini misalannya boleh melaksana projek pembuatan kraftangan atau lain-lain produk yang berkaitan dengan budaya kaum Dayak itu sendiri untuk dijual kepada para pengunjung atau orang ramai.

“Tetapi usaha sebegini tidak terhad kepada industri penghasilan kraftangan sahaja. Mungkin SIDS dan lain-lain pertubuhan boleh mencuba bidang penghasilan makanan dan pertanian komersial asal sahaja ianya mampu menjana sumber kewangan tetap untuk kegunaan mereka,” kata beliau.

Masir berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penubuhan SIDS Sri Aman Unit Rumah Wilson Bana, Poh-Ai Dau bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam tadi.

Dengan adanya usaha sebegini, semua persatuan atau pertubuhan dalam daerah ini kata beliau akan dapat bergerak dengan lebih aktif tanpa mengharapkan peruntukkan kewangan daripada wakil rakyat pada setiap tahun.

“Mereka juga boleh merujuk kepada wakil rakyat atau agensi kerajaan yang berkaitan di di kawasan ini sekiranya berniat untuk melaksanakan sesebuah perusahaan bagi tujuan terbabit,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong Dagang, Pengerusi SIDS Sri Aman, Roselyn Abunawas, Pengerusi SIDS Sri Aman unit Poh-Ai, Suli Didit, Timbalan Residen Limbang, Elvis Didit, Tr Wilson Bana, pembantu khas kepada Masir iaitu Abah Ugie, para ahli persatuan dan ketua kaum di daerah ini.

Masir dan Mong menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 dan RM2,000 kepada SIDS Sri Aman Unit Rumah Wilson Bana, Poh-Ai Dau.

Majlis pada malam itu turut diserikan dengan upacara penyampaian wang kebajikan oleh SIDS Sri Aman kepada penerima, upacara memotong kek dan persembahan nyanyian lagu menerusi persembahan kugiran SDNU.

Tamat.

Harus ada pendirian tetap jika mau 'join' politik - Mong


Mugshot: MONG ANAK DAGANG

SRI AMAN, Ahad (22 Feb) – Rakyat khususnya di daerah ini perlu mempunyai pendirian yang tetap sekiranya ingin berkecimpung dalam bidang politik, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang.

Menurut beliau terdapat segelintir individu di daerah ini yang bertindak melompat parti apabila mendapati bahawa kepentingan politik masing-masing dalam sesebuah parti itu tidak tercapai selama ini.

“Individu yang suka melompat parti tidak mempunyai pendirian politik yang teguh. Apabila kepentingan politik mereka dalam sesebuah parti itu gagal dicapai maka perkara inilah yang akan terjadi dalam karier politik masing-masing.

“Lebih memburukkan keadaan ialah apabila tindakan mereka melompat parti ini turut menyeret segelintir ahli dari bekas parti mereka sendiri untuk menyertai parti yang baru,” kata Mong.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penubuhan SIDS Sri Aman Unit Rumah Wilson Bana, Poh-Ai Dau bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam tadi.

Selain itu rakyat yang berniat untuk berkecimpung dalam bidang politik secara aktif menurut beliau haruslah meneliti terlebih dahulu kekuatan sesebuah parti yang ingin mereka sertai selepas itu.

“Jangan silap membuat percaturan politik berhubung perkara ini kerana terdapat di antara mereka bertindak ‘menumpang perahu yang mudah bocor sehingga akhirnya ia karam di muara sungai’.

“Jangan mengutamakan kepentingan politik peribadi anda kerana parti politik yang anda sertai itu mempunyai matlamat lebih utama yang perlu diperjuangkan secara bersama-sama oleh semua ahli dan bukannya perseorangan,” kata Mong.

Majlis pada malam itu telah dihadiri oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat, Pengerusi SIDS Sri Aman, Roselyn Abunawas, Pengerusi SIDS Sri Aman unit Poh-Ai, Suli Didit, Timbalan Residen Limbang, Elvis Didit, Tr Wilson Bana, pembantu khas kepada Masir iaitu Abah Ugie, para ahli persatuan dan ketua kaum di daerah ini.

Masir dan Mong menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 dan RM2,000 kepada SIDS Sri Aman Unit Rumah Wilson Bana, Poh-Ai Dau.


Tamat.







RELA adakan pertemuan dengan penduduk Rumah Sanggau

- 22 Feb

PERBINCANGAN...Penolong Pegawai Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Daerah Sri Aman, Mejar (RELA)Joshua Ijau (kiri) telah sedang mengadakan perbincangan dengan penghuni Rumah Sanggau Nyuwai, Sungai Reboh, Undop, Batu Lintang Sri Aman bermula jam 8 malam hingga 10 malam tadi. Joshua menerusi pertemuan ini telah membincangkang perkara yang berkaitan dengan sambutan Hari RELA di Sibu, Latihan Kawad yang bakal membabitkan sejumlah 40 orang anggota dan kursus operasi tugas untuk platun 004 yang akan berlangsung pada bulan April di Batu Lintang, Sri Aman. Foto:ZULIA HAJI JEMAT

21 February, 2009

MDLA akan bina mercu tanda Pokok Engkilili di Pekan Kecil Engkilili


Caption: INI DIA...Naim sedang menunjukkan buah Engkilili sambil berdiri di hadapan pohonnya di Pekan Kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

SRI AMAN, Sabtu (21 Feb) – Pekan Kecil Engkilili, Sri Aman telah mendapat nama apabila Pokok Engkilili dikesan tumbuh dengan begitu banyak di sekitar kawasan berkenaan pada suatu masa dahulu.

Pokok terbabit yang tumbuh begitu banyak dan menghasilkan buah berbentuk ‘anggur’ serta boleh dimakan apabila sudah berwarna merah menyebabkan penduduk memanggil kawasan daerah kecil ini sebagai Engkilili.

Justeru atas sebab ini pihak Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) telah memilih Pokok Engkilili sebagai lambang pekan terbabit memandangkan tiada terdapat sebarang ikon yang telah diguna untuk melambangkan kawasan pekan berkenaan sebelum ini.

“Sekarang pihak MDLA telah mengandakan usaha mereka untuk mengindahkan kawasan pekan ini dengan menanam Pokok Engkilili sebagai langkah menyokong pemilihan Pokok Engkilili sebagai lambang pekan ini.

“Lagipun pihak kita juga telah mengenalpasti kawasan dalam pekan ini untuk membina sebuah mercu tanda Pokok Engkilili dan bakal membina pagar di kawasan mercu tanda itu disamping mewujudkan landskap yang lebih menarik,” kata jurucakap MDLA, Abang Naim Abang Pauzi ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, kawasan di hadapan Market Bersepadu, Pekan Kecil Engkilili telah pun dicadangkan bagi tujuan pembinaan mercu tanda Pokok Engkilili ini dalam masa terdekat kelak.

“Justeru pihak kami berharap agar Pekan Engkilili muncul sebagai salah sebuah lokasi yang terindah dan menarik di dalam daerah Sri Aman ini pada masa akan datang menerusi projek berkenaan,” kata beliau.

Dihuni oleh seramai 20,556 orang penduduk, kawasan Pekan Kecil Engkilili kini sedang giat membangun di bawah naungan dua orang wakil rakyatnya iaitu Dr Johnnical Rayong anak Ngipa (ADUN Engkilili) dan William Nyalau Badak (Ahli Parlimen Lubok Antu).

Pekan Kecil Engkilili yang berkeluasan sebanyak 957.4 kilometer persegi ini hanya terletak kira-kira tiga kilometer dari Jalan Sri Aman / Betong.

Tamat.


Selamat Pengantin Baru Gilbert dan Lucy


SEMOGA BAHAGIA KE ANAK CUCU...Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Keranggas, Pantu, Sri Aman iaitu Gilbert anak Miew, 34, bersama pasangannya Lucy anak Selamat, 30, graduan Institut Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching telah selamat menjalani Upacara Sembahyang Berkat mengikut istiadat agama Kristian yang berlangsung di Gereja Saint Luke, Sri Aman pada jam 10 pagi hari ini. Gilbert bersama pasangannya, Lucy, telah pun mendaftarkan perkahwinan mereka di Pejabat Pendaftaran Negara Bahagian Sri Aman baru-baru ini dan bakal melangsungkan majlis perkahwinan mereka di sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman pada 20 Mac tahun ini.

20 February, 2009

Letupan di bangunan baru berdekatan bangunan Lot 916 gemparkan penghuni


Caption: TIDAK TERJEJAS...Anak panah hitam menunjukkan tempat berlakunya letupan hasil yang disebabkan oleh kebocoran saluran mesin penghawa dingin untuk kegunaan stor simpanan stok daging milik sebuah kedai menjual daging segar tidak berfungsi hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (20 Feb) – Penghuni di bangunan Lot 916, Jalan Hospital dalam bandar Sri Aman gempar apabila berlakunya letupan dalam dinding sebuah bangunan baru berdekatan kawasan ini sekitar jam 9.50 malam tadi.

Kejadian letupan terbabit bukan sahaja mengemparkan penghuni di bangunan Lot 916 terbabit malah turut menarik perhatian para pelanggan dan pekerja Restoran Makanan Laut Ellison yang terkejut mendengar bunyi letupan bising di kawasan berkenaan.

Sebelum berlakunya kejadian terbabit, para kakitangan Utusan Sarawak sedang duduk berehat di belakang bangunan baru terbabit apabila sekeping zink dengan ukuran sepanjang lima kaki yang dilekatkan di dinding bangunan baru berkenaan ‘mengembang’ secara tiba-tiba.

Keadaan kepingan zink yang mengembang secara tiba-tiba ini telah menarik perhatian kakitangan Utusan Sarawak sebelum ianya meletup dan mengeluarkan nyala api yang besar dari kepingan besi terbabit.

Ianya secara tidak langsung menyebabkan para kakitangan Utusan Sarawak termasuk penulis sendiri bertempiaran lari dari tempat lokasi terbabit kerana khuatir bahawa kejadian ini mungkin boleh mendatangkan kecederaan serius terhadap diri masing-masing.

“Kejadian letupan yang berlaku di dinding bangunan baru terbabit berpunca dari paip penyalur gas dari sebuah enjin bagi kegunaan stor penyejuk daging yang telah bocor sehingga melepaskan sejumlah besar kandungan gas ke udara,” kata sumber.

Utusan Sarawak turut difahamkan bahawa kejadian tersebut menyebabkan stor penyejuk daging dalam sebuah kedai jualan daging segar di sebelah bangunan baru terbabit tidak dapat berfungsi untuk hari ini.

Tinjauan rambang oleh Utusan Sarawak mendapati bahawa kejadian letupan gas ini tidak menyebabkan kepingan zink berkenaan tercabut dari dinding bangunan baru tersebut.

Tamat.



Malaysia Paper Board sumbang bantuan kepada mangsa kebakaran Sungai Semilang


Caption: PRIHATIN...Garai (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Tr Gendi (kanan) sambil disaksikan oleh kakitangan MPB pada majlis yang berlangsung di Gereja Saint John, Sungai Semilang.

SRI AMAN, Jumaat (20 Feb) – Nasib malang yang menimpa 16 buah keluarga mangsa kebakaran dari Rumah Gendi anak Ranti, Sungai Semilang, Tanjung Bijat, Lingga terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak di daerah ini.

Baru-baru ini Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah tampil menghulurkan bantuan berupa barangan pakaian terpakai kepada 122 orang penghuni rumah panjang terbabit untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mereka.

Sumbangan berupa pakaian terpakai ini telah disampaikan oleh wakil Ketua Pengarah MPB, Garai Entinggie kepada wakil keluarga mangsa kebakaran iaitu Tr Gendi Ranti sambil disaksikan oleh kakitangan MPB Kuching dan Sri Aman menerusi majlis yang berlangsung di Gereja Saint John Sungai Semilang.

Lucy ketika ditemui berkata kesemua bantuan ini telah disumbangkan oleh para ahli Kelab PROSTAR SMK Saint Luke dan kakitangan perubatan dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman.

“Pihak kami berharap agar bantuan seumpama ini dapat mengurangkan masalah kerumitan hidup yang ditanggung oleh kesemua 16 keluarga mangsa apabila rumah panjang mereka musnah dijilat api pada 3 Februari lalu.

“Justeru pihak kami berharap agar kesemua 122 penghuni dari 16 keluarga mangsa kebakaran terbabit dapat memanfaatkan sumbangan yang disampaikan oleh pihak MPB ini sebaik mungkin,” menurut kenyataan akhbar yang diterima oleh Utusan Sarawak hari ini.

Selain itu MPB juga berharap agar kesemua mangsa kebakaran dari Rumah Gendi Renti ini untuk terus bersabar memandangkan terdapat banyak pihak yang akan tampil membantu mereka selepas ini.

Ini kerana pihaknya yakin bahawa jabatan kerajaan, agensi swasta dan persatuan atau kelab di daerah ini begitu prihatin terhadap golongan penduduk yang sering ditimpa musibah selama ini.

“Lagipun sebelum ini sudah banyak pihak yang tampil untuk membantu keluarga mangsa kebakaran terbabit dengan menyumbangkan pelbagai bantuan dari kewangan dan sebagainya,” katanya.

Tamat.

Jangan ganggu proses pembelajaran anak-anak ujar Dr Rayong


Mugshot: DR JOHNNICAL RAYONG NGIPA

SRI AMAN, Jumaat (20 Feb) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa menasihatkan rakyat di kawasan luar bandar di daerah ini untuk tidak mengganggu waktu persekolahan anak masing-masing.

Menurut beliau terdapat segelintir ibubapa yang membawa anak-anak mengerjakan sawah atau kebun di kampung masing-masing walaupun mereka ketika itu sepatutnya berada di sekolah.

“Perbuatan sebegini boleh menjejaskan prestasi akademik anak-anak. Pihak ibubapa sepatutnya membiarkan anak-anak memberi lebih fokus terhadap proses pembelajaran mereka di sekolah dan bukannya membawa mereka pergi bercucuk tanam di kebun atau mengerjakan sawah padi,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bicara Gemilang di Rumah Panjang Bau, Jambu Lalang, Batang Skrang, Sri Aman anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) N.28 Engkilili baru-baru ini.

Ibubapa di kawasan luar bandar menurut beliau seharusnya sedar bahawa anak-anak adalah merupakan sebahagian daripada golongan modal insan yang bakal menyambung proses pembangunan dan teraju negara ini di masa akan datang.

Kemunculan anak-anak sebagai golongan modal insan kelas pertama kata Rayong hanya dapat dicapai sekiranya mereka ini mendapat motivasi dan kata semangat daripada ibubapa mereka sendiri.

“Bentuklah mereka untuk menjadi seorang insan yang berguna menerusi pencapaian cemerlang akademik masing-masing kerana mereka ini suatu hari kelak mungkin akan dapat mengubah arus pembangunan di kawasan anda sendiri (luar bandar),” katanya.

Rayong juga menambah bahawa hanya melalui pendidikan sahaja barulah anak-anak boleh mencapai kejayaan dalam hidup dan seterusnya menyumbang ke arah pembangunan hidup keluarga masing-masing.

Beliau menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM7,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang terbabit manakala RM3,000 lagi kepada biro wanita mereka.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah anak Girie, Setiausaha Majlis Daerah Lubok Antu, Lolita James dan Penyelaras Parlimen JASA Lubok Antu Geoffery Baja anak Ricky Maba.

Tamat…..









Jangan ikut pembangkang, nasihat Nyalau


SRI AMAN, Jumaat (20 Feb) - Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak menasihatkan rakyat kawasan luar bandar supaya tidak menerima hasutan daripada pihak pembangkang.

Beliau berkata, sokongan rakyat terhadap pihak pembangkang tidak akan memberikan sebarang keuntungan terhadap diri mereka sendiri kerana hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja yang mempunyai sumber untuk membangunkan hidup rakyat.

“Menerusi media cetak atau elektronik saya yakin bahawa rakyat di negeri ini boleh menilai sejauh mana sumbangan pembangunan yang boleh pihak pembangkang berikan kepada mereka berbanding dengan kita (BN),” katanya.

Nyalau berkaya demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau bertempat di Rumah Empading, Bunu Skrang dalam kawasan daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Menurutnya, kehadiran parti pembangkang adalah untuk menghasut rakyat di kawasan luar bandar dengan memutar-belit pelbagai isu semasa supaya rakyat terpengaruhi dan tidak keberatan untuk memberi sokongan politik kepada kumpulan terbabit.

Lagipun pihak pembangkang kata Nyalau hanya akan mendampingi rakyat ketika menjelang musim pilihanraya dan seterusnya menghilangkan diri sebaik sahaja tewas atau menang dalam percaturan politik berkenaan.

“Wakil rakyat BN tidak seperti mereka (pembangkang) kerana kita akan sentiasa turun padang untuk menemui rakyat bagi mengetahui perkembangan hidup mereka tanpa mengira ketika musim pilihanraya atau tidak.

“Sehubungan ini saya mengajak rakyat untuk terus memberi sokongan padu kepada kerajaan BN kerana hanya melalui kita barulah kebajikan hidup rakyat di dalam dan luar kawasan bandar negeri ini dapat dipelihara,” kata beliau.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah anak Girie dan para ketua kaum di sekitar daerah terbabit.

Tamat.


18 February, 2009

Pesta Ikan Tapah 2009 di Pekan Pantu, dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman pada April ini


Mugshot: MAHRI SAPARWI

SRI AMAN, Khamis (19 Feb) – Pekan Pantu dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman bakal menjadi tumpuan ribuan pengunjung dari seluruh pelusuk negeri ini apabila berlangsungnya Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 di kawasan pasar berkenaan menjelang bulan April ini kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pesta Ikan Tapah Pantu, Mahri Saparwi, ketika dihubungi menjelaskan tujuan utama pesta ini diadakan adalah mempromosi Pekan Pantu menerusi kepelbagaian jenis ikan terutama sekali ikan Tapah yang terdapat di Sungai Batang Strap dan Batang Klauh, Pantu.

“Disamping menarik kedatangan pelancong ke Pekan Pantu, pesta ini juga secara tidak langsung dapat mempertingkatkan taraf ekonomi penduduk dari sekitar kawasan daerah kecil terbabit

“Bagaimanapun menerusi mesyuarat yang telah adakan di Pejabat Daerah Kecil Pantu sebelum ini, pihak kami kini mempunyai dua cadangan tarikh untuk tujuan penganjuran pesta terbabit iaitu 10 hingga 12 April ataupun 24 hingga 26 April 2009,” katanya.

Untuk memeriahkan suasana sambutan pesta ini kata Mahri, pihaknya akan mengadakan beberapa buah acara menarik kepada orang ramai yang bakal berkunjung ke pesta terbabit iaitu Pertandingan Menangkap Ikan, Sukan Air, Pentas Rakyat, Gerai Jualan Terbuka dan Pameran Pembangunan.

“Pertandingan Menangkap Ikan misalannya mempertengahkan acara memancing, menjala dan menjaring ikan manakala Pentas Rakyat pula mempertengahkan acara Pertandingan Lagu Karaoke atau Pantu Idol dan Ratu Kumang,” katanya sambil menambah bahawa Sukan Air pula mempertengahkan acara Lumba Perahu dan Rakit.

Justeru pihaknya berharap agar pesta ini kelak mampu menonjolkan Pantu sebagai salah sebuah lubok Ikan Tapah yang terkenal di negeri ini sambil menjadikan ikan terbabit sebagai lambang daerah kecil ini.

“Ini adalah julung kalinya kita menganjurkan Pesta seumpama ini. Sehubungan itu sokongan dan kerjasama daripada semua pihak termasuk penduduk tempatan amatlah diharapkan,” katanya yang juga merupakan pemangku Pegawai Daerah Sri Aman.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis akan dijemput untuk merasmikan sambutan Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 di Pekan Pantu, dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman pada tarikh yang bakal diumumkan kelak.


Tamat.

Kerajaan BN prihatin terhadap kebajikan hidup rakyat - Snowdan


Caption: UNTUK ALBUM...Snowdan (tengah), Shamshuddin (kiri beliau) dan Edward (berdiri dua dari kiri) sedang bergambar kenangan bersama para penerima dan kakitangan kerajaan sebaik sahaja tamat majlis berkenaan di Pantu, semalam.

SRI AMAN, Khamis (19 Feb) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengutamakan kebajikan bagi setiap para penduduknya di negeri ini tanpa mengenal latar belakang kaum dan agama kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan.

Nama Barisan Nasional itu sendiri menurut beliau telah melambangkan bahawa kerajaan ini adalah untuk semua kaum dan tidak ada sebab bagi kerajaan untuk mengamalkan dasar ‘pilih bulu’ bagi membantu kebajikan penduduk yang dilanda kesusahan dalam negeri ini.

“Dengan kata lain kerajaan BN tidak pernah mengambilkira kepentingan politik jika hendak membantu penduduk terutama sekali bagi mereka yang telah dilanda masalah bencana alam atau tragedi di negeri ini,” katanya.

Snowdan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ehsan kepada 42 buah keluarga mangsa banjir dari kawasan Pengkalan Pantu di Pejabat Daerah Kecil Pantu, Sri Aman semalam.

Selain itu katanya peranan kerajaan BN dalam mengurangkan beban penduduk yang dilanda masalah bencana alam dan tragedi sebelum ini membuktikan bahawa tuduhan serta fitnah pihak pembangkang terhadap mereka adalah tidak berasas sama sekali.

Pihak pembangkang kata Snowdan hanya pandai menggunakan kepakaran mereka sendiri untuk menghasut penduduk membenci BN walaupun mereka sedar bahawa kerajaan selama ini berperanan amat penting dalam membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh penduduknya.

“Situasi seperti ini sememangnya amat menyedihkan kerana mereka (penduduk) tetap menyandarkan harapan kepada pihak pembangkang walaupun golongan terbabit tidak berupaya untuk tampil membantu penduduk yang dilanda kesusahan,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) bagi Pejabat Daerah kecil Pantu, Edward Michael Duk, Pegawai Penyelaras JASA P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen P.202 Sri Aman, Abah Ugi dan para ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Snowdan menerusi majlis berkenaan telah menyampaikan bantuan wang ehsan daripada pihak Kerajaan Pusat bernilai RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir dari kawasan Pengkalan Pantu.

Beliau pada majlis itu juga turut menyampaikan cek peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun ini yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM18,000 kepada enam buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari sekitar daerah kecil Pantu.

Tamat.

BN boleh laksana pembangunan jika rakyat terus setia kata Masir


Mugshot: MASIR KUJAT

SRI AMAN, Khamis (19 Feb) – Kerajaan tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri ini sekiranya rakyat terus berdiri teguh dibelakang komponen parti BN Negeri.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata wajah pembangunan negeri Sarawak pada hari ini adalah hasil sokongan rakyat terhadap Dasar Politik Pembangunan yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud semenjak 30 tahun lalu.

“Menerusi Dasar Politik Pembangunan yang dibawa oleh Pehin Sri Taib, rakyat pada sekarang telah menikmati pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur serta peningkatan taraf hidup semenjak mereka menyokong kuat BN selama ini.

“Sokongan berterusan seperti inilah yang kita mahukan daripada rakyat supaya kerajaan dapat terus merangka serta melaksanakan pelan pembangunan di semua kawasan dalam negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman bertempat di Rumah Laban, Skim Melugu, Sri Aman baru-baru ini.

Masir turut menambah bahawa pihak pembangkang tidak akan mampu membawa pembangunan kepada rakyat sekiranya mereka memegang tampuk pemerintahan kerajaan di negeri ini.

Ini kerana kata beliau pembangkang tidak akan mampu merangka kembali dasar pentadbiran dan pembangunan kerajaan sepertimana yang telah BN lakukan selama ini demi kebaikan rakyat.

“Justeru untuk melihat negeri ini terus maju pada tahun akan datang saya menasihatkan semua rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada BN dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang, wakil Residen Sri Aman, SAO Thomas Geoffery Kendawang, wakil Pegawai Daerah Sri Aman, SAO Henry Kran dan PegawaiPenyelaras JASA bagi kawasan Parlimen P.202 Sri Aman, Whilton Lumpoi.

Masir dan Mong menerusi majlis berkenaan masing-masing telah mengumumkan peruntukkan bernilai RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang berkenaan.

Tamat.










17 February, 2009

Manfaatkan NCR untuk pembangunan- Harden


Musghot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS

SRI AMAN, Rabu (18 Feb) - Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis mencadangkan penduduk di kawasan luar bandar untuk melibatkan diri dalam Projek Ladang Mini Getah (RME) sebagai langkah praktikal bagi menaiktaraf ekonomi keluarga masing-masing.

Menerusi pembabitan masing-masing dalam projek RME menerusi bantuan kerajaan, penduduk dalam kawasan luar bandar jelas beliau secara tidak langsung dapat menukarkan tanah hakmilik masing-masing kepada sebuah khazanah yang berharga.

“Selain pembabitan dalam projek RME, penduduk dalam kawasan luar bandar juga boleh melibatkan diri dalam projek penanaman sawit menerusi Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik masing-masing.

“Sama ada menerusi projek RME mahupun penanaman sawit, kedua-dua projek ini dilihat mampu menjadikan tanah NCR terbiar milik penduduk selama ini sebagai sebuah khazanah yang berharga dari masa ke semasa,” kata beliau

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Kebersihan dan Anti Denggi bertempat di Rumah Nyameng, Klassen Simpang Undop, Sri Aman semalam.

Selain itu beliau juga yakin pembabitan penduduk dalam kedua-dua aktiviti ekonomi terbabit dapat memberi perangsang baru dalam diri masing-masing walaupun dunia ketika ini sedang berhadapan dengan ketidaktentuan dalam krisis ekonomi dunia.

“Lagipun sehingga kini terdapat lebih 11,000 hektar tanah di negeri ini yang telah pun dibangunkan dengan projek RME terutama sekali di Bahagian Sarikei, Betong dan Sri Aman.

“Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk membangunkan beberapa hektar tanah untuk tujuan RME menerusi Rancangan Malaysia sekarang disamping membangunkan tanah NCR penduduk menerusi projek penanaman sawit,” katanya.

Sementara itu beliau juga turut mengingatkan penduduk agar tidak memandang ringan terhadap aspek kebersihan di kawasan kediaman masing-masing kerana ianya secara tidak langsung dapat menyumbang kepada tahap kesihatan diri masing-masing.

“Jangan bergantung kepada pihak berkuasa tempatan berhubung hal kerana penduduk sebaliknya haruslah berdikari sendiri untuk melaksanakan kerja pembersihan kawasan kediaman masing-masing terutama sekali bagi mengelak diserang penyakit Demam Denggi,” kata beliau.

Harden menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 untuk kegunaan JKKK dan biro wanita rumah panjang berkenaan.
Tamat.

Rumah panjang kurang dari 20 keluarga perlu bergabung , kata Mong


Caption: TERIMA KASIH...Masir (tengah) sedang menerima cenderamata daripada Tr Laban (kanan) sambil disaksikan oleh Mong (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (18 Feb) – Kewujudan rumah panjang atau kampung yang mempunyai jumlah keluarga yang kurang daripada 20 pintu menyebabkan mereka sukar untuk menerima bantuan atau peruntukkan pembangunan daripada pihak kerajaan selama ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang berkata kekurangan jumlah penghuni (minimum 20 pintu) bagi sesebuah rumah panjang atau kampung terbabit menyebabkan ketua mereka hanya dianggap sebagai Wakil Tuai Rumah.

“Apabila perkara ini terjadi, rumah panjang terbabit sekaligus juga tidak dapat menumbuhkan sebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang selama ini menjadi satu saluran penting oleh penduduk mendapatkan peruntukkan pembangunan daripada pihak kerajaan,” jelas beliau.

Atas sebab ini kata beliau, Wakil Tuai Rumah yang mempunyai jumlah penghuni kurang daripada 20 pintu haruslah mencari jalan dengan lain-lain rumah panjang (kekurangan jumlah yang sama) dari sekitar kawasan masing-masing untuk tujuan penggabungan.

Hanya dengan jalan ini kata Mong barulah gabungan sesebuah rumah panjang yang mempunyai lebih 20 keluarga penghuni dapat menubuhkan sebuah JKKK demi memohon peruntukkan pembangunan daripada pihak kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman bertempat di Rumah Laban, Skim Melugu, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu kata Mong, penggabungan sesebuah rumah panjang yang kekurangan jumlah penghuni selama ini juga membolehkan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi melaksanakan sesebuah projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Di bawah ‘payung’ JKKK, kesemua penghuni rumah panjang terbabit menurut beliau dapat duduk berbincang untuk menjayakan sesebuah projek pembangunan yang bakal kerajaan perkenalkan kepada mereka.

“Projek penanaman sawit misalannya mungkin boleh dijayakan oleh kerajaan dengan kerjasama penduduk sesebuah rumah panjang terbabit sekiranya mereka sudah sebulat suara mempersetujui rancangan terbabit.

“Justeru saya berharap agar semua Wakil Tuai Rumah di daerah ini untuk memulakan usaha penggabungan mereka dengan lain-lain rumah panjang demi kebaikan masa depan masing-masing,” tambah Mong yang seterusnya mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM3,000 kepada JKKK rumah panjang tersebut.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat yang merasmikan majlis ini turut mengumumkan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman bertempat di Rumah Laban, Skim Melugu ini turut mengumumkan peruntukkan bernilai RM3,000 kepada rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah wakil Residen Sri Aman, SAO Thomas Geoffery Kendawang, wakil Pegawai Daerah Sri Aman, SAO Henry Kran dan PegawaiPenyelaras JASA bagi kawasan Parlimen P.202 Sri Aman, Whilton Lumpoi.

Tamat.


Tanah yang telah dibayar pampasan oleh kerajaan tidak boleh diganggu - Rayong


Caption: PENGHARGAAN...Tr Bau (kanan) sedang menyampaikan cenderamata kepada Rayong (kiri) ketika berlangsungnya majlis berkenaan baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (18 Feb) – Penduduk tidak seharusnya bertindak mengerjakan pelbagai aktiviti di atas tanah yang sudah dimiliki oleh kerajaan menerusi pembayaran pampasan kepada pemiliknya untuk tujuan projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Gemilang bertempat Rumah Panjang Bau, Jambu Lalang, Skrang, Sri Aman anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) N.28 Engkilili baru-baru ini.

Sikap degil dikalangan penduduk yang masih mahu bertindak bertindak demikian kata beliau secara tidak langsung boleh mengganggu perlaksanaan projek pembangunan yang telah dirancangkan oleh kerajaan terhadap kawasan tanah terbabit.

“Jangan melaksanakan aktiviti pertanian dan membina kediaman atau struktur bangunan di atas tanah yang telah dimiliki oleh kerajaan menerusi pembayaran pampasan kepada pemiliknya sebelum ini.

“Ini kerana tindakan anda (penduduk) berhubung hal ini dilihat seolah-olah menentang rancangan pembangunan oleh kerajaan di kawasan terbabit disamping mengganggu perlaksanaan pelan pembangunan yang sedia ada,” katanya.

Selain itu kata Rayong, penduduk terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar haruslah sedar bahawa setiap projek pembangunan oleh kerajaan sebenarnya memberikan faedah kepada peningkatan taraf hidup mereka.

Projek pembangunan ini yang mencakupi aspek peningkatan taraf ekonomi dan sosial penduduk menurut beliau secara tidak langsung boleh merapatkan jurang kemajuan yang dinikmati oleh mereka berbanding dengan penduduk di kawasan bandar.

“Justeru saya meminta penduduk memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya sebelum bertindak mengikut telunjuk jari pihak tertentu yang mahu mereka mengganggu perlaksanaan projek pembangunan oleh pihak Barisan Nasional (BN),” katanya.

Rayong menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM7,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Bau manakala RM3,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang terbabit.

Majlis ini yang telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak telah dihadiri seramai 500 penduduk dari lapan buah rumah panjang sekitar Sungai Batang Skrang, Sri Aman.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah anak Girie, Setiausaha Majlis Daerah Lubok Antu, Lolita James dan Penyelaras Parlimen JASA Lubok Antu Geoffery Baja aak Ricky Maba.

Tamat….

Jangan bersama pembangkang menentang BN - Nyalau


Mugshot: WILLIAM NYALAU BADAK

LUBOK ANTU, Rabu (18 Feb) - Ahli Parlimen kawasan Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berharap agar penduduk di kawasan luar bandar tidak bangkit menentang pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) hasil bantuan pihak pembangkang di negeri ini.

Ini kerana penduduk di kawasan luar bandar masih lagi memerlukan perhatian yang sewajarnya daripada pihak kerajaan BN bagi tujuan perlaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan masing-masing.

“Apabila anda (penduduk kawasan luar bandar) dengan kerjasama pihak pembangkang bangkit menentang BN maka ianya secara tidak langsung boleh menjejaskan usaha pembangunan yang bakal dilaksana oleh kerajaan untuk mereka pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ulangtahun Ke-8 Pembinaan Semula Rumah Panjang Kumpang, Batu Bebini Baroh, dalam daerah kecil Lubok Antu, Sri Aman baru-baru ini.

Penduduk luar bandar sebaliknya kata Nyalau haruslah sentiasa bersama-sama dengan BN untuk memastikan kelancaran projek pembangunan di kawasan masing-masing demi memastikan peningkatan taraf hidup dari masa ke semasa.

“Lagipun pihak pembangkang hanya petah bercakap tetapi tidak banyak bekerja untuk membantu membangunkan hidup penduduk di kawasan luar bandar yang sebelum ini masih jauh ketinggalan dari segala aspek segi pembangunan.

“Kemampuan mereka tidak seperti BN yang selama ini telah berusaha keras untuk menaiktaraf hidup penduduk secara sistematik dan berperingkat-peringkat di kawasan dalam dan luar bandar negeri ini,” katanya.

Justeru Nyalau mahu penduduk di kawasan daerah Lubok Antu ini khasnya untuk terus setia di belakang BN memandangkan hanya kerana mereka sahaja yang mempunyai kemampuan untuk menaiktaraf hidup penduduk.

Majlis perasmian ulangtahun Ke-8 pembinaan semula rumah panjang yang pernah musnah dalam kejadian kebakaran lapan tahun yang lalu sebelum ini turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah anak Girie dan para ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Tamat….


14 February, 2009

Pembabitan dalam CNI boleh ubah taraf hidup, kata Thien


Caption: PENGHARGAAN...Yeo (kiri) sedang menyampaikan cenderamata kepada Liu (kanan) sambil disaksikan oleh Thien (tengah) ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Ahad (15 Feb) – Pengurus Pusat Pengendalian Creative Network International (CNI) cawangan Sri Aman, Thien Siew Chiang menasihatkan orang ramai di sekitar bandar ini untuk menyertai syarikat jualan langsung demi mempertingkat taraf ekonomi diri serta keluarga masing-masing.

CNI iaitu salah sebuah syarikat jualan langsung yang kukuh di era globalisasi ini menurut beliau sebagai contoh telah terbukti mengubah taraf kehidupan para pesertanya sehingga sekarang dengan melahirkan ramai jutawan baru semenjak ianya ditubuhkan pada 19 tahun lalu.

“Saya mempunyai sebab untuk mengalakkan orang ramai menyertai CNI. Ini kerana syarikat ini telah berjaya melahirkan lebih 50 jutawan baru di mana lima daripada jumlah terbabit berasal dari Kuching, Sarawak.

“Kesemua lima jutawan dari Sarawak yang katakan tadi adalah Voon Sin Siew, Haji Ramli bin Haji Jack, Irman Harmi bin Mohammad Salleh, Ashaari bin Sirat dan Ahmad bin Abdullah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berlangsungnya Majlis Makan Malam bersempena dengan Sambutan Tahun Baru Cina 2009 di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu kata Thien CNI juga adalah merupakan syarikat jualan langsung yang tidak terhad kepada penyertaan orang ramai tanpa mengira kaum, agama, pendidikan dan umur di negara ini.

Syarikat jualan langsung ini katanya telah memberi peluang kepada semua para peserta untuk membuktikan kesungguhan masing-masing demi membuktikan bahawa pilihan masing-masing adalah benar serta menguntungkan.

“CNI membuka peluang kepada orang ramai untuk menceburi diri dalam bidang perniagaan jualan langsung disamping mendidik diri masing-masing untuk berdikari dan tidak bergantung kepada aspek kehidupan gaji sahaja.

“Semakin anda berusaha maka semakin cerah peluang untuk berjaya itu wujud. Jika peserta itu tidak mengenal erti putus asa maka beliau berpeluang untuk muncul sebagai jutawan baru di negara ini,” katanya.

Justeru Thien berharap agar orang ramai di sekitar daerah Sri Aman tidak melepaskan peluang untuk menceburi diri dalam bidang perniagaan jualan langsung iaitu dengan menyertai CNI di masa akan datang.

Pengarah Eksekutif CNI Holding Malaysia, Liu Tianji, Datuk Dr Ngu Phiew Shien, Pengurus Pengendalian Pusat CNI Sri Aman, Thien Siew Chiang, pengerusi pengelola majlis, Yeo Pik Hsia dan dua orang Million Diamond Agensi Manager iaitu Chong Mun Fok serta Voon Sin Siaw.

Tamat.

CNI Sri Aman anjur majlis makan malam


Caption: GUNAKAN SEBAIKNYA...Liu (kiri) sedang menyampaikan sumbangan wang hasil aktiviti jualan tiket kepada Kapitan Kuek (kanan) sambil disaksikan oleh para tetamu undangan khas ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Ahad (15 Feb) - Creative Network International atau lebih dikenali sebagai CNI cawangan Sri Aman telah mengadakan Majlis Makan Malam bersempena dengan Sambutan Tahun Baru Cina 2009 bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Majlis makan malam ini yang diadakan seawal jam 7 malam turut diadakan bersempena dengan sambutan ulangtahun pertama perpindahan premis perniagaan terbabit dari kawasan Jalan Club ke lokasi No.6 Jalan Hospital, Sri Aman pada akhir tahun 2007 dahulu.

Menerusi kehadiran beberapa tetamu undangan kehormat iaitu Pengarah Eksekutif CNI Holding Malaysia, Liu Tianji dan Datuk Dr Ngu Phiew Shien, majlis pada malam terbabit telah diserikan dengan pelbagai acara menarik.

Ianya termasuklah acara persembahan tarian moden oleh anak-anak ahli CNI, pertandingan nyanyian lagu karaoke, aktiviti jualan tiket untuk tujuan dana kebajikan, pemberian produk minuman CNI secara percuma kepada para hadirin yang hadir pada majlis makan malam terbabit.

Lebih menarik pada majlis malam tadi ialah apabila aktiviti jualan tiket dengan menggunakan logo 12 ekor binatang mengikut kalendar masyarakat Kaum Cina bagi tujuan dana kebajikan itu berjaya mengumpul sejumlah RM1,128 daripada para hadirin dan hasil sumbangan tambahan pihak penganjur itu sendiri.

Hasil dana bernilai RM1,128 menerusi aktiviti jualan tiket berkenaan telah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif CNI Holding Malaysia, Liu Tianji kepada Presiden Persatuan Chee Chuan Khor Sri Aman iaitu Kapitan Kuek Aik Seng bersama setiausahanya iaitu Kapitan Yap Kuat Kee.

Sebagai tanda penghargaan kepada pihak media cetak dalam menyiarkan berita mengenai CNI di negeri ini, pihak penganjur juga turut menyampaikan cenderatama kepada para wartawan yang hadir pada majlis makan malam tersebut.

Majlis Makan Malam bersempena dengan Sambutan Tahun Baru Cina 2009 yang berakhir sekitar jam 11.45 malam tadi turut dihadiri oleh Pengurus Pengendalian Pusat CNI Sri Aman, Thien Siew Chiang, pengerusi pengelola majlis, Yeo Pik Hsia dan dua orang Million Diamond Agensi Manager iaitu Chong Mun Fok serta Voon Sin Siaw.

Tamat.


13 February, 2009

Penduduk Nyakai tangkap ular sawa sepanjang 18 kaki


Caption: TEWAS...Tr Japing (berdiri kiri) bersama rakannya sedang memulakan proses menetak ular sawa sepanjang 18 kaki yang telah berjaya ditewaskan oleh beliau di ladang getah milik penduduk rumah panjang berkenaan baru-baru ini.


SRI AMAN, Sabtu (14 Feb) – Jika di Sibu dan Kapit heboh mengenai kisah kewujudan ular besar atau Nabau pada 12 Februari lalu namun di Rumah Panjang Nyakai, Sri Aman pula heboh mengenai penangkapan seekor ular sawa yang dianggap cukup besar oleh penghuni rumah panjang terbabit baru-baru ini.

Ular sawa sepanjang 18 kaki telah berjaya ditangkap oleh ketua kampung rumah panjang berkenaan iaitu Tr Japing anak Gema ketika hendak pergi berburu di kawasan sekitar ladang getah milik penduduk rumah panjang terbabit pada hari Khamis lalu.

“Pada hari (Khamis) tersebut, saya telah bercadang untuk pergi memburu secara perseorangan di kawasan kebun sekitar rumah panjang kami bermula jam 1 petang.

“Ketika melalui sebuah ladang getah milik penduduk kami di sini, saya secara tidak sengaja telah terserempak dengan seekor ular sawa yang dianggap cukup besar dan sedang menjalar di kawasan kebun terbabit sekitar jam 2 petang,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Disebabkan oleh rasa bimbang sekiranya ular sawa terbabit akan memberikan ancaman keselamatan terhadap penduduk di rumah panjang ini, beliau kemudiannya bertindak menembak kepala ular sawa berkenaan sehingga mati.

Japing kemudiannya menghubungi beberapa orang penduduk rumah panjang terbabit dengan menggunakan telefon bimbit bagi membantunya menyeret ular sawa berkenaan keluar dari kawasan ladang getah terbabit.

“Disebabkan terlalu besar, saya terpaksa meminta bantuan penduduk kampung untuk menyeret ular sawa terbabit keluar dari kawasan ladang getah hingga ke kawasan jalan raya yang berdekatan.

“Dari jalan raya, barulah saya menggunakan kenderaan Toyota Unser saya untuk membawa bangkai ular sawa terbabit pulang ke rumah panjang,” katanya.

Ular sawa terbabit kemudiannya ditetak oleh beliau bersama beberapa orang rakannya dan daging reptilia terbabit kemudiannya diagih-agihkan kepada para penghuni rumah panjang berkenaan.

Tamat.


Tinjauan Hari Kekasih di bandar Sri Aman


Caption:UNTUK INSAN TERSAYANG...Angop sedang membeli sejambang bunga bersama rakan daripada seorang jurujual iaitu Ting ketika berlangsungnya sambutan Hari Kekasih di bandar Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (14 Feb) – 14 Februari sudah semestinya menjadi tarikh yang cukup penting bagi pasangan kekasih atau pun suami isteri di seluruh dunia memandangkan tarikh berkenaan dianggap sebagai sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day.

Menerusi sambutan Hari Kekasih suami isteri mahupun pasangan yang sedang bercinta akan membelikan hadiah kepada pasangan masing-masing seperti bunga, jam tangan, dan barang perhiasan sebagai simbol ikatan kasih sayang atau cinta.

Bagaimanapun tinjauan rambang Utusan Sarawak hari ini mendapati bahawa suasana sambutan Hari Kekasih di bandar Sri Aman pada hari ini berlangsungnya dengan penuh meriah dengan adanya gerai jualan bunga dan kad Hari Valentine.

“Sambutan Hari Kekasih ini boleh dianggap meriah kerana terdapat individu yang mengambil inisiatif untuk membuka gerai sementara di Jalan Hospital bagi menjual bunga dan hadiah bersempena hari istimewa terbabit.

“Aktiviti jualan bunga dan kad ini membolehkan saya dan penduduk yang lain membeli bunga untuk diberikan kepada insan tersayang hari ini,” kata Levinson Angop, 22 dari Kampung Pasir Panas, Sri Aman.

Bagi Mohammad Tommie Abdullah, 32, sambutan Hari Kekasih seharusnya dijadikan sebagai satu peluang bagi pasangan suami isteri untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan masing-masing.

Menerusi sambutan Hari Kekasih katanya, pasangan suami isteri atau pun kekasih perlu mengambil peluang untuk memperbaiki hubungan masing-masing secara lebih positif demi kebaikan bersama.

“Tetapi kepada pasangan yang belum bernikah jangan jadikan Hari Kekasih sebagai peluang untuk melakukan hubungan haram yang melanggari batas agama dan budaya ketimuran kaum kita.

“Sambutan Hari Kekasih di bandar Sri Aman tidak semestinya perlu meriah dengan adanya aktiviti jualan bunga di tepi jalan sebaliknya terpulang kepada cara kita untuk membina hubungan yang lebih positif bersama pasangan masing-masing,” katanya.

Tamat.


30 pasukan berentap dalam saingan Pertandingan Futsal Piala YB Harden 2009

Sejumlah 30 buah pasukan memulakan saingan dalam Pertandingan Futsal Piala YB Datuk Francis Harden Hollis 2009 anjuran Persatuan Bolasepak Bahagian Sri Aman (SAFC) yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Sri Aman hari ini.

Kesemua 30 buah pasukan yang telah memulakan saingan masing-masing menerusi kejohanan ini telah dibahagikan kepada lapan buah kumpulan iaitu Kumpulan A, B, C, D, E, F, G dan H.

Pasukan Petro Sluq Team, TAQRAW Team, Landas dan PTBS telah berentap dalam saingan Kumpulan A manakala pasukan Mospeda FC, Adinda FC A, Lubok Antu FC dan F.S.J.P FC pula berentap dalam saingan Kumpulan B.

Kumpulan C pula menyaksikan saingan diantara pasukan Qolex Team, Borneo FC, Adinda FC B dan FT Cosmos manakala pasukan Team 09, SHPP Team, D’Team 511 dan My Team Junior pula berentap dalam saingan Kumpulan D.

Pasukan P.P.L FC (Poslaju), AY 17, Galaticos dan PD United diletakkan dalam saingan Kumpulan E dan Kumpulan F pula menyaksikan perebutan kedudukan juara dan naib juara kumpulan di antara pasukan JPJ, Kampung Boy, Puspakom FC dan RMMBSA FC.

Manakala itu pasukan Sparrow, EA United, Golden United, CMM, D’N FC dan Sharpshooter FC pula masing-masing berentap dalam saingan Kumpulan G serta Kumpulan H.

Pertandingan Futsal Piala YB Datuk Francis Harden Hollis 2009 yang berlangsungnya secara rasminya pada jam 7.30 pagi hari ini akan berakhir pada 16 Februari dan Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis bakal hadir untuk menyempurnakan perlawanan akhir tersebut pada jam 8 malam.

Terdahulu Setiausaha SFAC, Zaidil Haji Ripin menerusi laman web blognya memberitahu bahawa pertandingan futsal ini terbuka kepada semua pasukan futsal di Bahagian Sri Aman termasuk individu berumur 16 tahun ke atas yang bermaustatin, belajar atau bekerja di sini.

Menerusi bayaran yuran pendaftaran berjumlah RM60 untuk setiap pasukan, beliau memberitahu bahawa hanya sejumlah 10 orang pemain dan dua orang pegawai sahaja bagi setiap pasukan yang dibenarkan berdaftar dalam pertandingan ini.

“Pertandingan futsal ini akan dilaksanakan menerusi Sistem Liga Berkumpulan dan dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan layak untuk pusingan perlawanan kalah mati yang seterusnya,” katanya sambil menambah bahawa hanya pasukan juara dan naib juara sahaja yang akan memperoleh hadiah menerusi pertandingan ini.

Pasukan johan Pertandingan Futsal Piala YB Datuk Francis Hollis Bahagian Sri Aman 2009 ini kata Zaidil akan memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM500, Piala Johan dan pingat untuk setiap pemain manakala pasukan naib johan pula memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM300 beserta sebuah piala dan pingat untuk semua pemain.

Tamat. - 14 Feb

12 February, 2009

lelaki cedera di kolam renang, sri aman

SRI AMAN, Jumaat (13 Feb) – Seorang lelaki mengalami kecederaan luka dalam di bahagian bawah tapak kaki kirinya ketika sedang mandi di sebuah kompleks kolam renang dalam bandar Sri Aman lewat petang kelmarin.

Lelaki terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Boni, 29, berkata beliau mengalami kecederaan serius di bawah tapak kaki ketika sedang bergerak di tebing salah penjuru kolam renang berkenaan sekitar jam 6.45 petang.

“Setelah bersenam di gimnasium, saya bersama rakan-rakan kemudiannya bercadang untuk mandi di kompleks sukan renang berkenaan pada jam 6.15 petang.

“Ketika saya cuba memijak salah satu tebing penjuru kolam renang berkenaan, kaki saya secara tidak sengaja telah terkena permukaan tebing jubin yang patah serta tajam sehingga menyebabkan tapak kaki mengalami luka dalam sepanjang satu inci,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak memaklumkan perkara ini kepada pihak pengurusan kompleks kolam renang terbabit kerana percaya bahawa pihak berkenaan juga tidak mengetahui tentang perkara ini.

“Setelah mengalami pendarahan tanpa henti disebabkan oleh kejadian terbabit, saya telah meminta pertolongan rakan-rakan untuk menghantar saya ke hospital bagi tujuan rawatan lanjut

“Saya masih lagi mengalami pendarahan disebabkan oleh luka terbabit sehingga awal pagi hari ini dan bertindak menampal luka terbabit hanya dengan menggunakan silikon,” katanya.

Justeru beliau meminta pihak pengurusan kompleks sukan renang terbabit untuk memantau dan membaiki semula kerosakan di semua kawasan tebing dasar kolam renang terbabit demi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

“Rakan saya juga pernah mengalami luka ketika mandi di sini beberapa minggu yang lepas tetapi tidaklah begitu serius berbanding dengan luka yang telah saya alami kelmarin,” katanya.

Tamat.






Cerita Nabau di Kapit memang wujud, kata seorang bekas guru

SRI AMAN, Jumaat (13 Feb) – Seorang bekas guru dari daerah Sri Aman ini tidak menafikan kisah wujudnya ular gergasi atau lebih dikenali sebagai Nabau yang telah dilaporkan di akhbar ini pada 11 dan 12 Februari lalu.

Terdahulu sekumpulan ahli jawatankuasa bilik gerakan banjir di Sibu telah berjaya menangkap gambar seekor ular gergasi berukuran panjang lebih 100 kaki yang sedang menyusuri anak Sungai Baleh, Kapit, dipercayai ketika berlakunya banjir besar di daerah berkenaan pada bulan Januari lepas.

Penduduk sekali lagi gempar apabila akhbar ini pada 12 Februari lalu menyiarkan gambar seekor ular gergasi atau dikenali juga sebagai Nabau menurut kepercayaan kaum Iban, sedang menyusuri Sungai Batang Rajang, Sibu.

“Saya tidak begitu terkejut apabila membaca berita mengenai ular gergasi berkenaan di akhbar ini pada 11 Februari lalu kerana saya sudah lama percaya bahawa ular terbabit sememangnya wujud di kawasan berkenaan (Sungai Baleh),” kata guru terbabit yang enggan namanya disiarkan di sini.

Ketika mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit pada tahun 1971 dahulu, beliau bersama dengan beberapa orang rakannya telah berkelah di satu lokasi tebing kawasan sungai yang menghubungkan Sungai Baleh dan Sungai Mujong, Kapit.

Ketika sedang menangkap ikan di kawasan terbabit, beliau mendakwa telah melihat sebongkah batu beralur yang besar di dasar sungai terbabit dan seolah-olah kelihatan seperti corak pada bahagian bawah badan seekor ular gergasi.

“Ketika musim kemarau di kawasan itu, paras air sungai di persimpangan Sungai Mujong dan Sungai Baleh hanya mencecah lima kaki sehingga membolehkan saya melihat batu selebar tiga kaki yang mempunyai corak bawah badan seekor ular.

“Kemudian seorang rakan saya menceritakan bahawa corak pada batu terbabit terjadi apabila seekor ular gergasi (Nabau) melalui kawasan sungai terbabit...saya menjadi gementar apabila mendengar cerita ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak dapat menganggarkan panjang corak berkenaan memandangkan batu terbabit terputus-putus di beberapa bahagian tertentu ketika meninjaunya bersama rakan-rakan.

“Saya masih mengingatkan penemuan batu berkenaan sehinggalah saya bersara sebagai seorang guru pada tahun 2007,” kata beliau sambil bahawa menambah tindakan akhbar ini menyiarkan berita terbabit menguatkan lagi kepercayaan beliau mengenai kewujudan ular gergasi berkenaan.

Bekas guru terbabit turut menambah bahawa adalah agak sukar bagi penduduk untuk melihat batu terbabit pada waktu sekarang memandangkan aktiviti pertanian komersial di kawasan Sungai Baleh mungkin menyebabkan air di kawasan sungai itu tidak lagi jernih seperti dahulu.

Tamat.