Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 January, 2009

Tun Salahuddin dan isteri Toh Puan Hajah Norkiah kunjungi rumah ketua kaum Cina di Sri Aman




1.MERIAH...Tun Salahuddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah (tengah) sedang menyempurnakan upacara memotong kek sambil diiringi oleh Temenggung Tan (kiri beliau) dan Datuk Francis (empat dari kiri) ketika berlangsungnya kunjungan bersempena Perayaan Tahun Baru Cina 2009 di kediaman temenggung terbabit hari ini.

2.UNTUK ALBUM... Tun Salahuddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah (duduk tengah) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan ketika mengadakan kunjungan ke kediaman Pemanca Sii (duduk kiri beliau) di sini hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (31 Jan) –Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah telah mengadakan kunjungan perayaan Tahun Baru Cina 2009 terhadap empat buah rumah kediaman ketua kaum Cina di sini hari ini.

Empat buah kediaman ketua kaum Cina yang telah dikunjungi oleh beliau bersama isteri pada hari ini adalah Temenggung Tan Chong Meng, Pemanca Sii Toh Peng, Penghulu Lee Shiang Hua dan Penghulu Sia Kie See.

Tun Salahuddin bersama isteri, Toh Puan Hajah Norkiah yang menginap di Rumah Rehat Sri Aman malam tadi telah berangkat dari penginapan tetamu kehormat itu pada jam 9 pagi untuk mengunjungi kediaman Temenggung Tan Chong Meng di Jalan Tengah, bandar Sri Aman.

Ketibaan beliau dan isteri telah disambut Temenggung Tan bersama isteri iaitu Shia Sui Mui, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis serta isteri Simba Nalang, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Di kediaman Temenggung Tan, Tun Salahuddin bersama isteri Toh Puan Hajah Norkiah telah dipersembahkan dengan Tarian Singa sebelum beliau serta isteri bersama dengan tetamu kehormat yang lain dijemput untuk menikmati jamuan makanan ringan di kediamannya itu.

Setelah meluangkan masa hampir setengah jam di kediaman Temenggung Tan, beliau bersama isteri kemudiannya berkunjung ke kediaman Pemanca Sii Toh Peng di Jalan Hock Ping dalam kawasan Pasir Panas.

Disana Tun Salahuddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah telah meluangkan masa selama 35 minit sebelum berangkat ke Taman Vistagro untuk mengunjungi kediaman Penghulu Lee Shiang Hua.

Setelah beramah mesra dan menikmati jamuan ringan di kediaman Penghulu Lee, beliau bersama isteri dan para rombongan kemudiannya meneruskan kunjungan ke kediaman Penghulu Sia Kie See pada jam 10.50 pagi.

Tun Salahuddin bersama isteri, Toh Puan Hajah Norkiah berangkat pulang ke Rumah Rehat Sri Aman pada jam 11.15 pagi untuk berehat sebentar sebelum berkunjung ke Restoran Lachau Food Corner, Pantu, Sri Aman yang dimiliki Kapitan Lee Tong Siang petang ini nanti.

Tamat.

No comments:

Post a Comment