Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 January, 2009

TBS akan turun padang untuk pantau masalah keluarga Salleh

SRI AMAN, Sabtu (31 Jan) –Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman akan mengadakan lawatan ke kediaman Mohd Salleh Abu Talib di Kampung Hulu, Sri Aman yang telah ditimpa kemalangan ketika hendak menuruni tangga rumahnya menerusi kejadian yang berlaku sekitar jam 7 malam pada 19 Januari lalu.

Terdahulu, Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Mat Lolo telah mengalami kecederaan serius di bahagian tengkuk, kepala dan kedua-dua belah rusuk badan apabila tergelincir ketika sedang menuruni tangga kediamannya pada tarikh peristiwa berkenaan.

Kejadian ini menyebabkan Mohd Salleh dikejarkan ke Hospital Bahagian Sri Aman sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak di Kuching bagi tujuan rawatan lanjut oleh pihak perubatan.

“Saya telah mengadakan kunjungan peribadi ke rumah beliau (Mohd Salleh) beberapa hari yang lepas untuk mengetahui lanjut mengenai permasalahan yang telah dihadapi oleh keluarganya berhubung kejadian ini.

“Memandangkan Salleh kini mempunyai kerusi roda hasil kutipan wang dikalangan saudara maranya maka pihak kami TBS cawangan Sri Aman akan mencari jalan untuk membantu keluarga mereka menerusi lawatan minggu hadapan,” kata pengurus cawangannya iaitu Shamsul Bahri bin Manap menerusi Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima semalam.

Sementara itu anak lelaki kepada Mohd Salleh iaitu Mohd Rizal merakamkan penghargaan kepada pihak Utusan Sarawak kerana menyiarkan berita mengenai penderitaan keluarganya disebabkan oleh kejadian kemalangan berkenaan pada 25 Disember lalu.

Siaran berita oleh Utusan Sarawak menurut beliau ternyata telah berjaya mengubah ‘senario’ tekanan yang ditanggung oleh keluarga sebelum ini apabila ayahnya berjaya mempunyai sebuah kerusi roda untuk kegunaannya.

“Rakan saya yang telah membaca siaran berita ini ternyata terkejut dan terus memberikan sumbangan wang untuk mengurangkan lagi beban perbelanjaan kami sekeluarga semenjak ayah kami dimasukkan ke dalam Hospital Umum Sarawak.

“Terima kasih juga kepada pihak Utusan Sarawak cawangan ini (Sri Aman) yang turut bersimpati dengan kejadian malang yang menimpa ayah saya dengan menghulurkan derma sebelum ini,” katanya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment