Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 January, 2009

Sri Aman dan Simunjan alami banjir

SRI AMAN, Ahad (11 Jan)– Banjir telah dilaporkan berlaku di beberapa buah tempat dalam daerah Sri Aman dan Simunjan hari ini berikutan hujan lebat dan sekali-sekala renyai yang dilaporkan mula turun semenjak dua hari lepas.

Utusan Sarawak yang telah dimaklumkan oleh sumber bahawa banjir kini sedang berlaku di kawasan Pengkalan Pantu, Sri Aman begitu juga dengan beberapa buah kawasan lain termasuk Klauh, Kejatau dan Tanjung Bijat Lingga.

Di kawasan pengkalan atau jeti daerah kecil Pantu, Sri Aman Utusan Sarawak telah dimaklumkan oleh sumber bahawa air bah dari sungai yang berdekatan telah pun menaiki kawasan pengkalan terbabit dengan kedalaman di antara dua hingga tiga kaki pada awal pagi hari ini.

Manakala kawasan jambatan Klauh berhampiran Engkeramut, Sri Aman juga dilaporkan turut mengalami banjir disebabkan oleh air bah yang melimpah dari sungai kawasan itu gara-gara oleh faktor hujan yang turun di daerah ini semenjak dua hari yang lepas.

Sementara itu jurucakap dari Bilik Gerakan Banjir di Pejabat Residen Sri Aman ketika dihubungi oleh Utusan Sarawak untuk tujuan maklumat lanjut juga mengesahkan pihaknya turut menerima laporan berhubung kejadian banjir di Kejatau dan Tanjung Bijat, Lingga.

“Sehingga kini pihak kami ada menerima maklumat mengenai berlaku banjir dalam kawasan perkampungan di Tanjung Bijat, Lingga dan juga di kawasan Kejatau, Sri Aman.

“Bagaimanapun pihak Bilik Gerakan Banjir Sri Aman sehingga kini masih lagi dalam proses untuk mengumpul maklumat daripada kakitangan kami yang sedang turun padang di lokasi kejadian,” katanya.

Bilik Gerakan Banjir Simunjan yang turut dihubungi Utusan Sarawak pada hari ini juga mengesahkan bahawa berlakunya kejadian banjir di kawasan Jambatan Mejit, Simunjan disebabkan oleh limpahan air sungai berikutan faktor hujan semenjak dua hari ini.

“Pihak kami, sehingga kini telah dimaklumkan bahawa air bah dari sungai terbabit sudah pun naik sehingga mencecah paras dua kaki dari aras jambatan berkenaan,” kata jurucakap bilik gerakan terbabit.

Utusan Sarawak juga turut dimaklumkan bahawa penduduk dari kawasan Simunjan kini tidak dapat melalui jambatan berkenaan dengan menggunakan kenderaan masing-masing disebabkan oleh faktor kedalaman air bah terbabit.

Hujan masih lagi melanda daerah Sri Aman ketika berita ini ditulis dan dikhuatiri bahawa kemungkinan berlakunya banjir di dalam kawasan bandar ini sekiranya hujan masih turun berterusan sehingga malam ini nanti.

Tamat.

No comments:

Post a Comment