Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 January, 2009

SK Tanjung Bijat dibuka semula


Caption: TURUN PADANG...Thomas Sumbang (kanan) bersama rakan turun padang untuk memastikan kawasan dan harta benda sekolah yang dinaiki banjir baru-baru ini berada dalam keadaan selamat.

SRI AMAN, Jumaat (16 Jan) - Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat di daerah kecil Lingga, Sri Aman terpaksa ditutup buat sementara waktu berikutan kawasan sekolah itu termasuk dua pra sekolah, dewan makan, bilik guru, asrama murid dinaiki air.

Penolong Kanan 1 SK Tanjung Bijat Encik Thomas Sumbang anak Jilom ketika ditemui berkata sekolah terbabit terpaksa ditutup bermula hari Isnin lalu hingga hari Khamis lepas apabila kawasan sekolah berkenaan dinaiki air setinggi empat kaki.

“SK Tanjung Bijat ditenggelami banjir apabila air dari kawasan sungai yang berdekatan melimpah keluar disebabkan oleh berlakunya fenomena air pasang bermula hari Isnin lalu.

“Apabila paras air banjir mencecah kedalaman empat kaki, pihak sekolah akhirnya mengambil keputusan untuk menutup sekolah ini buat sementara waktu demi keselamatan kakitangan dan para muridnya,” kata beliau.

SK Tanjung Bijat tambah beliau pada mulanya dilanda banjir pada hari Isnin lalu apabila berlakunya fenomena air pasang pada jam 6.35 petang di sungai yang berdekatan dan surut kembali pada jam 10 malam.

Manakala pada hari Selasa pula, fenomena air pasang di sungai terbabit telah berlaku pada jam 7.20 petang sehingga 10.30 malam sehingga menyebabkan kawasan sekolah ditenggelami air sedalam empat kaki.

“Keadaan semakin bertambah pulih pada hari yang berikutnya (Rabu) dan pada hari Khamis pihak kami telah pun membuka kembali SK Tanjung Bijat bagi tujuan sesi pembelajaran seperti biasa.

“Banjir terbabit telah menyebabkan kawasan sekolah menjadi amat kotor sehingga menyebabkan pihak kami melaksanakan kerja pembersihan untuk membuang mendapan lumpur hasil dari kesan limpahan air sungai berkenaan,” katanya.

Pihak SK Tanjung Bijat jelas beliau lagi telah pun meminta bantuan ibubapa murid untuk membersihkan kembali kawasan sekolah akibat kejadian banjir yang dianggap paling buruk melanda sekolah terbabit selama ini.

“Justeru pihak kami berharap agar kejadian banjir yang melanda SK Tanjung Bijat tidak akan berulang kembali di masa akan datang,” katanya.

Tamat….






No comments:

Post a Comment