Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 January, 2009

Rayong - Tolak PKR


Caption: MANFAATKAN... Rayong (dua dari kiri) sedang menyampaikan cek kepada Tuai Rumah Tila sambil disaksikan oleh Nyalau (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis terbabit baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (7 Jan) - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa menasihatkan rakyat terutamanya mereka tinggal di kawasan luar bandar agar tidak menerima hasutan daripada pihak pembangkang yang diteraju oleh Parti KeAdilan Rakyat (PKR).

Menurut beliau sokongan rakyat terhadap pihak pembangkang tidak akan memberikan keuntungan terhadap diri mereka sendiri memandangkan hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang mempunyai kemampuan untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat.

“Rakyat boleh mencontohi sendiri tahap pembangunan sesebuah negeri yang dipimpin oleh pihak pembangkang selama ini berbanding dengan pihak BN yang nyata berjaya mengubah taraf hidup rakyat di sesebuah negeri yang menyokong kuat mereka.

“Saya yakin rakyat di negeri sememangnya cukup bijak untuk menilai sumbangan yang telah kerajaan BN berikan kepada mereka selama ini berbanding dengan pihak pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2009 bertempat di Rumah Panjang Tenggak, Basi Baru, Batang Ai Ili, dalam kawasan daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu kehadiran pihak pembangkang di negeri ini katanya hanyalah untuk menghasut rakyat dengan memutar-belit pelbagai isu supaya rakyat ‘terlena’ dan tidak keberatan untuk memberi sokongan kepada mereka.

“Saya rasa adalah tidak wajar jika rakyat memilih parti seumpama ini untuk membela nasib hidup mereka berbanding dengan pihak BN yang sentiasa turun padang bagi meninjau hidup rakyat secara lebih dekat,” katanya.

Dalam majlis itu Rayong telah menyampaikan cek peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM65,000 kepada 11 rumah panjang yang tinggal di sekitar Batang Ai Ili, Engkilili.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Lubok Antu Encik William Nyalau anak Badak dan ketua kaum dari sekitar kawasan Engkilili.


Tamat.

No comments:

Post a Comment