Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 January, 2009

Perpaduan kaum entiti pembangunan - Harden


Caption: UNTUK ALBUM...Harden bersama isteri (duduk tengah) bergambar kenangan setelah mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina 2009 ke kediaman Kanselor Jimmy Chong (duduk dua dari kanan) semalam.

SRI AMAN, Selasa (27 Jan) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis menasihatkan para rakyat untuk mengutamakan hubungan perpaduan di antara kaum dalam negeri ini.

Dengan menjadikan perpaduan sebagai intipati utama dalam keperluan hidup, rakyat di negeri ini khususnya menurut beliau mampu hidup dalam keadaan aman damai dan bebas daripada masalah rusuhan kaum.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Aman berkata demikian kepada Utusan Sarawak ketika mengadakan kunjungan ke rumah para Ketua Kaum Cina bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina 2009 di bandar Sri Aman semalam.

“Hasil berkat kepimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, kerajaan Barisan Nasional (BN) ternyata berjaya mewujudkan keadaan politik yang stabil di negeri ini semenjak 30 tahun lalu.

“Perpaduan yang wujud menerusi faktor kestabilan politik hasil pimpinan beliau haruslah dipelihara oleh semua rakyat dalam negeri ini tanpa mengira mereka berketurunan kaum Cina, Melayu dan Dayak,” katanya.

Selain itu kata Harden, faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dalam negeri ini dianggap amat penting untuk membolehkan kerajaan BN melaksana pelbagai pelan pembangunan yang bakal membawa faedah untuk rakyat.

Pelan pembangunan ini menurut beliau termasuklah projek penyediaan kemudahan infrastruktur dan keperluan asas, perhubungan, pendidikan, peningkatan taraf ekonomi dan sosial untuk rakyat.

“Bagaimanapun untuk menjayakan kesemua pelan pembangunan ini faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum memainkan peranan utama kerana tanpa faktor ini kerajaan BN tidak akan dapat melaksanakan pelan terbabit.

Justeru Harden meminta para rakyat untuk menghargai keamanan dan kesejahteraan hidup yang mereka nikmati sekarang ke arah merancakkan lagi pelan pembangunan rakyat di negeri ini.

Beliau bersama isterinya iaitu Simba anak Nalang beserta dengan rombongan yang lain telah mengadakan kunjungan ke 10 buah rumah termasuk para ketua kaum Cina di sekitar bandar ini bermula jam 9 pagi hingga 5 petang kelmarin.

Tamat.

No comments:

Post a Comment