Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 January, 2009

Penduduk Taman Hijrah, Simunjan hadapi masalah peparitan


Caption:PERLU PERHATIAN...Sistem peparitan yang tersumbat di salah sebuah rumah dalam Taman Hijrah ini dikhuatiri boleh menimbulkan ancaman penyakit terhadap penduduk.



SIMUNJAN, Ahad (11 Jan)– Penghuni dari kawasan penempatan semula Taman Hijrah, Simunjan meminta pihak berkuasa untuk mengubahsuai kembali sistem peparitan dan pembentungan di kawasan taman berkenaan.

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan ketika ditemui Utusan Sarawak semalam menjelaskan bahawa sistem peparitan dan pembentungan yang terdapat di kawasan masjid baru, Taman Hijrah in gagal berfungsi dengan baik semenjak tahun 2000 dahulu.

“Apabila penempatan asal kami iaitu Kampung Lintang disahkan mengalami masalah hakisan tanah, maka kerajaan telah bertindak memindahkan kesemua penduduk ke kawasan penempatan baru yang dikenali sebagai Taman Hijrah.

“Bagaimanapun masalah yang berlaku di Taman Hijrah sekarang ialah apabila sistem peparitannya sering tersumbat dan menyebabkan air yang mengalir di sepanjang saluran parit ini bertakung,” katanya.

Saluran perparitan yang tersumbat ini katanya menyebabkan air melimpah ke bawah rumah milik beberapa buah penduduk dan adakalanya menimbulkan bau busuk terhadap penduduk di kawasan terbabit.

Malah lebih membimbangkan penduduk di Taman Hijrah sekarang menurut beliau ialah apabila saluran peparitan yang tersumbat sebelum ini telah menjadi sarang pembiakan nyamuk.

“Pihak kami berasa amat bimbang sekiranya saluran peparitan ini menjadi sarang pembiakan Nyamuk Aedes dan seterusnya memberikan ancaman terhadap kesihatan penduduk di taman ini.

“Justeru kami, penduduk Taman Hijrah merayu pihak berkuasa tempatan di daerah ini untuk membina saluran peparitan yang lebih luas disamping memperbaiki sistem pembentungan yang sedia ada di taman ini,” katanya.

Utusan Sarawak pada hari ini juga telah dimaklumkan bahawa Taman Hijrah sedang berhadapan dengan masalah banjir apabila air bah kini sedang mencapai paras di antara dua hingga tiga kaki di taman berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment