Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 January, 2009

Nyalau - Pesara kerajaan harus bantu BN naik taraf hidup rakyat

SRI AMAN, Rabu – Para pesara kerajaan diingatkan agar tidak membabitkan diri dengan pihak pembangkang untuk menghasut rakyat agar membenci kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bertempat di Rumah Panjang Tenggak, Basi Baru, Batang Ai Ili, baru-baru ini.

Para pesara ini sebaliknya menurut beliau haruslah menggunakan ilmu serta pengalaman ketika berkhidmat dalam jabatan kerajaan sebelum ini untuk membantu mempertingkat taraf hidup rakyat.

“Disamping itu mereka juga boleh memberikan pandangan dan seterusnya bekerjasama dengan para pemimpin kerajaan BN untuk memajukan rakyat terutamanya mereka di kawasan luar bandar yang masih lagi ketinggalan dari segi arus pembangunan.

“Ini adalah lebih wajar bagi mereka daripada bertindak membantu pihak pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengajak rakyat di kawasan luar bandar bagi menentang kerajaan,” katanya.

Disamping itu Nyalau juga mengingatkan rakyat di negeri ini khususnya di daerah Lubok Antu agar tidak melayan kehadiran pihak pembangkang yang cuba memujuk mereka supaya menyertai PKR.

Pihak PKR menurut beliau telah menggunakan pelbagai cara untuk memujuk rakyat di kawasan luar bandar dengan pelbagai janji kosong yang tidak akan ditunaikan supaya menjadi ahli parti terbabit.

“Jika rakyat di kawasan luar bandar meneruskan sokongan masing-masing terhadap BN maka nescaya mereka akan menikmati peningkatan taraf hidup yang lebih baik dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Nyalau menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tenggak, Basi Baru dan RM5,000 pula kepada biro wanita rumah panjang terbabit.

Turut hadir dalam majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

Tamat….

No comments:

Post a Comment