Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 January, 2009

Jusoh - Penduduk diingat berjaga-jaga


Mugshot: DSP MAT JUSOH MUHAMMAD

SRI AMAN, Isnin (12 Jan) – Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superitenden Police (DSP) Mat Jusoh bin Muhammad mengingatkan semua penduduk di daerah ini agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini menerusi saluran media cetak dan elektronik dalam kawasan masing-masing.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita ketika mengadakan pertemuan singkat bersama para pemberita yang mewakili setiap syarikat akhbar masing-masing di Bilik Gerakan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman malam tadi.

“Semua penduduk khususnya mereka yang tinggal di kawasan tanah rendah perlu mengetahui perkembangan lanjut mengenai keadaan cuaca hujan dari masa ke semasa menerusi akhbar, radio atau televisyen.

“Ini amat penting agar mereka (penduduk) sentiasa berwaspada dan dapat mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya kejadian banjir di kawasan masing-masing,” katanya.

Selain itu Jusoh juga turut menasihatkan para penduduk untuk sentiasa mematuhi arahan berpindah yang dikeluarkan oleh pihak polis sekiranya mereka diarahkan untuk berbuat demikian.

Ianya menurut beliau amat penting demi membolehkan pihak polis dengan kerjasama lain-lain agensi kerajaan di daerah ini dapat menjaga keselamatan penduduk itu sendiri sekiranya kawasan mereka dilanda banjir.

“Atas sebab ini sejumlah 30 anggota polis, 11 anggota tentera bersama dua buah trak dan 12 orang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah diletakkan di kawasan yang berkemungkinan menghadapi risiko banjir lebih serius pada waktu sekarang iaitu daerah kecil Pantu dan Lingga.

“Bagaimanapun penduduk di daerah ini boleh menghubungi kami di Bilik Gerakan Banjir IPD Sri Aman menerusi talian 083-322035 sekiranya mereka ingin melaporkan kejadian banjir di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau juga turut menambah bahawa sejumlah 169 penduduk dari 39 rumah di kawasan pengkalan Pantu telah pun dipindah ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chuang Hua Pantu setelah kawasan berkenaan ditenggelami banjir bermula kelmarin.

Tamat.


No comments:

Post a Comment