Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 January, 2009

Harden cadang setiap rumah panjang atau kampung hantar penduduk untuk sertai RELA

Caption: TAHNIAH...Harden (kiri) menyampaikan Sijil Kursus Ketua Platun kepada Saliman anak Baga (kanan) sambil disaksikan (dari kiri sekali) Shamshuddin, Saiful, Masir dan Bajuri ketika berlangsungnya majlis malam tadi.
SRI AMAN, Ahad (1 Feb) – Pembabitan penduduk kawasan luar bandar ke dalam pertubuhan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dilihat sebagai salah satu langkah penting untuk menjaga keselamatan setiap rumah panjang atau kampung di daerah ini kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Atas sebab ini beliau mencadangkan bahawa tahap keselamatan penduduk luar bandar dalam daerah ini dapat diperkukuhkan sekiranya terdapat dua atau tiga orang penduduk dari setiap rumah panjang atau kampung bertindak menyertai RELA dari masa ke semasa.

“Sebagai benteng pertahanan ke-3 negara selain tentera dan polis, pasukan RELA juga boleh memainkan peranan mereka untuk menjaga keamanan serta keselamatan penduduk selain dari waktu darurat.

“Ianya termasuklah keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar. Justeru untuk mewujudkan keselamatan secara menyeluruh terhadap penduduk di kawasan luar bandar, saya mencadangkan agar dua hingga tiga orang penduduk dari setiap perkampungan masing-masing untuk menyertai RELA,” katanya.

Beliau yang juga Kolonel Kehormat RELA Daerah Sri Aman berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam RELA Bersama Pemimpin Bersempena dengan Sambutan Tahun Baru 2009 bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman malam tadi.

Selain itu Harden juga menasihatkan RELA untuk menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat bersama pihak polis, tentera dan imigresen untuk membenteras kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di daerah ini.

Gabungan keempat-empat pihak ini jelas beliau dapat membantu mengurangkan masalah keselamatan yang boleh ditimbulkan oleh pihak PATI dalam daerah Sri Aman ini pada masa akan datang.

“Oleh itu saya berharap agar penduduk di kawasan luar bandar dalam daerah ini sedar bahawa pembabitan mereka dalam pasukan RELA dapat menyumbang kepada keselamatan rumah panjang masing-masing dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat, Pengarah RELA Sarawak, Brigedier Jeneral (RELA) Mohd Saiful Sungkei Abdullah, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Melay Tingom, Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari daerah ini.

Harden menerusi majlis ini telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada RELA Sri Aman manakala Masir pula mengumunkan peruntukkan bernilai RM3,000.

Seramai 24 orang anggota RELA Sri Aman menerima sijil menerusi enam buah kategori pada majlis itu antaranya ialah Penerima Watikah Perlantikan Ketua Perhubungan RELA Kawasan (KPRK), Penerima Sijil Kursus KPRK, Sijil Kursus Ketua Platun, Sijil Ujian Kemahiran Menembah RELA, Wakil Sijil Kursus Pengenalan RELA dan Wakil Sijil Operasi Tegas.

Tamat.

No comments:

Post a Comment