Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 January, 2009

200 penduduk sertai Program Gotong Royong Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah


Caption: SIMBOLIK...Hajah Simoi bersama dengan tetamu undangan khas dan para penduduk sedang mengangkat papan tanda Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah ketika berlangsungnya program itu hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (24 Jan) – Sejumlah 200 penduduk mengambil bahagian dalam Program Gotong Royong Bersempena dengan Sambutan Maal Hijrah 2009 / 1430 H Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah hari ini.

Kesemua 200 penduduk yang terdiri daripada yang terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta, tentera, polis dan orang awam ini telah memulakan kerja gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah terbabit seawal jam 7.30 pagi.

Program ini menjadi lebih bermakna apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri bersama pemangku Pegawai Daerah Sri Aman, Mahri Saparwi dan Pegawai Tadbir Sarawak, Zaidi Sarkawi dan para penghulu turun padang untuk menjayakan kerja pembersihan tanah perkuburan Islam ini pada jam 8.15 pagi.

Pengerusi pengelola program terbabit, Ustaz Ramzen Hamdi ketika ditemui menjelaskan bahawa ianya adalah merupakan acara terakhir yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Maal Hijrah di daerah ini.

“Menerusi program ini pihak kami telah menjemput pelbagai pihak termasuk pihak tentera, polis, jabatan kerajaan, pihak perbankan dan penduduk dari beberapa buah kampung di bandar ini untuk menjayakan program ini.

“Malahan program ini secara tidak langsung dapat menghimpunkan semua umat Islam dalam bandar Sri Aman disamping memeriahkan lagi sambutan perayaan Maal Hijrah peringkat Negeri Sarawak 2009 / 1430 Hijrah,” katanya.

Terdahulu Simoi menerusi ucapannya pada program berkenaan mahu semua penduduk Islam di bandar ini untuk saling bekerjasama bagi menjayakan program yang berkaitan dengan perpaduan ummah.

Menurut beliau perpaduan ummah itu amat penting demi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dikalangan umat Islam dalam bandar ini disamping lebih cekal dalam menegakkan syariat Islam dalam diri masing-masing.

“Justeru saya berharap agar semua umat Islam untuk turun padang bagi menjayakan penganjuran sesebuah program yang berkait rapat dengan perpaduan ummah di dalam bandar ini pada masa akan datang,” katanya.

Simoi bersama rombongan kemudiannya menyempurnakan simbolik perasmian program dengan mendirikan papan tanda Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah pada jam 8.45 pagi hari ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment