Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 December, 2008

Sri Aman tuan rumah sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Swk!


Caption: PENERANGAN...Daud sedang menerangkan sesuatu kepada pihak media ketika berlangsungnya mesyuarat akhir di bilik mesyuarat MDSA hari ini.

SRI AMAN, Isnin (22 Dis) – Bandar Sri Aman akan menjadi tuan rumah kepada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1430 Hijrah / 2008 Masihi bermula 28 hingga 29 Disember ini kelak.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Penggalakkan dan Pembangunan Estet-Estet Perindustrian), Datuk Haji Daud bin Abdul Rahman berkata demikian kepada pihak pemberita sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Akhir Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak 1430H / 2008M bertempat di Bilik Mesyuarat, Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) hari ini.

Menerusi tema sambutan berjudul Menjana Ummah Gemilang, Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak ini kelak kata Daud akan dimulakan dengan Majlis Doa Akhir Tahun 1429H dan Awal Tahun 1430H bertempat di Masjid Bandar Sri Aman pada 28 Disember ini bermula jam 5.30 petang hingga 9.45 malam.

“Majlis ini kelak akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin bersama Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah dan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud,” katanya sambil menambah bahawa sekitar 800 jemaah dijangka hadir pada majlis terbabit.

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak pada 29 Disember pula menurut beliau akan diserikan lagi dengan Majlis Perhimpunan Maal Hijrah yang membabitkan sejumlah 2,000 hadirin bertempat di Dewan Suarah Sri Aman bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi.

Pada Majlis Perhimpunan Maal Hijrah ini kata Daud, Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin akan menyempurnakan Majlis Anugerah Maal Hijrah mengikut kategori masing-masing pada waktu pagi berkenaan.

“Terdapat beberapa buah aktiviti lain yang turut diadakan bersempena dengan sambutan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak ini antaranya Pertandingan Bertuntung, Siri Ceramah dan Forum Maal Hijrah, Gotong Royong, Larian Maal Hijrah, Malam Kesenian, Majlis Berambeh Di Perkampungan Saudara Muslim dan Perhimpunan Wanita Bistari.

“Justeru saya berharap Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran penduduk Islam dan bukan Islam dari seluruh kawasan Sri Aman pada tarikh yang telah dinyatakan,” katanya.

Pertandingan Bertuntung akan bermula di bandar Sri Aman pada 27 hingga 29 Disember dan Larian Maal Hijrah pula bermula 7.30 pagi pada 29 Disember bertempat di Padang Lama KPSU Sri Aman.

Manakala itu Malam Kesenian sempena sambutan Maal Hijrah pula akan diadakan di Dewan Suarah Sri Aman bermula jam 8.30 malam pada 29 Disember ini dan Perhimpunan Wanita Bistari akan diadakan pada 1 Januari bermula jam 8 pagi hingga 12 tengahari di lokasi yang sama.

Majlis Berambeh Di Perkampungan Saudara Muslim akan diadakan di Kampung Pulau Seduku, Sri Aman bermula 12 hingga 13 Januari tahun hadapan.

Hadir sama pada Mesyuarat Akhir Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak 1430H / 2008M ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Datu Misnu Haji Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Haji Putit Matzen dan Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji.

Majlis Sambutan Maal Hijrah merupakan salah satu daripada upacara rasmi Kerajaan Negeri Sarawak yang diadakan pada setiap tahun. Kali terakhir ianya diadakan adalah di Bandaraya Miri pada 9 Januari tahun ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment