Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 December, 2008

Penghulu Michael Derin - Batu Nabau boleh jadi tarikan


Caption: PENERANGAN...Michael Derin ketika menerangkan sesuatu kepada pihak media berhubung kisah Batu Nabau di Engkilili, semalam.

SRI AMAN, Jumaat (19 Dis) – Penghulu Michael Derin dari Rumah Nyalau anak Muang, Kampung Bukong dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman yakin bahawa lokasi penemuan Batu Nabau yang terletak di kawasan kampungnya ini bakal menjadi tumpuan penduduk dari seluruh negeri atau negara ini dalam masa terdekat kelak.

Terdahulu pada 18 Disember lepas, sekumpulan rombongan penduduk yang turut disertai juga oleh Utusan Sarawak cawangan Sri Aman telah melakukan tinjauan ke lokasi penemuan bongkah batu menyerupai ular gergasi yang lebih dikenali penduduk di situ sebagai Batu Nabau.

Hasil tinjauan terbabit, berita mengenai Batu Nabau berkenaan telah disiarkan di akhbar ini pada 19 Disember walaupun berita mengenai bongkah batu yang menyerupai ular gergasi berkenaan pernah terbit pada tahun 1996 dahulu dan di akhbar berbahasa Mandarin pada bulan Ogos tahun ini.

“Saya masih ingat lagi pada tahun 1996 dahulu apabila mendiang Tan Khee Liang telah berusaha mencari Batu Nabau (setelah mendengar kisah mengenainya) terbabit di kawasan Lubok Antu dan Batu Lintang, Sri Aman sehingga beliau berjaya menemuinya di sini (Bukong).

“Semenjak dari itu banyak penduduk dari kawasan Sibu dan Miri berkunjung ke rumah panjang Bukong hanya semata-mata ingin menyaksikan keunikan Batu Nabau ini dari jarak dekat,”katanya.

Ketiadaan laluan jalan tar menghubungkan rumah panjang terbabit dari kawasan pekan Engkilili pada masa itu kata Derin menyebabkan banyak kenderaan pengunjung terkandas di laluan jalan raya yang berlocak.

“Adakala penduduk di sini menghulurkan bantuan kepada mereka (pengunjung) untuk mengeluarkan kenderaan mereka terkandas gara-gara disebabkan oleh keadaan jalan yang berlocak dan menjadi laluan pengangkut lori kayu balak.

“Namun jalan raya bertar sudah wujud di kawasan ini. Adalah lebih mudah untuk mereka pergi ke kawasan ini sekarang semenjak berita mengenai Batu Nabau ini tersiar kembali di media cetak,” katanya.

Justeru Derin berharap agar kawasan Batu Nabau ini dapat dijadikan sebagai sebuah tapak pelancongan yang baru oleh pihak berkuasa tempatan yang sekaligus dapat memperkenalkan keunikan batu berkenaan terhadap penduduk di luar negeri.

Tamat.



No comments:

Post a Comment