Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 December, 2008

Desmond - saran pendaftaran Rakan Pengguna dipergiat


Caption: SIMBOLIK...Desmond (kiri sekali) sedang membuka sangkar untuk melepaskan dua ekor burung merpati sebagai simbolik perasmian majlis hari ini sambil disaksikan oleh Khalis (dua dari kiri) dan Roslan (dua dari kanan). Foto: ZULIA HAJI JEMAT


SRI AMAN, Sabtu (13 Dis) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) disaran untuk meneruskan usaha pendaftaran Rakan Pengguna menerusi kemudahan Teknologi Maklumat atau internet secara online dari masa ke semasa.

Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Desmond Douglass Jerukan berkata demikian berdasarkan statistik yang dibentangkan oleh pihak Biro Pengaduan Awam menerusi taklimat yang berlangsung di Kuching pada semalam.

“Statistik dari pihak Biro Pengaduan Awam sebelum ini menunjukkan bahawa saluran maklumbalas yang kerap digunakan oleh orang ramai pada masa sekarang media elektronik seperti Internet dan Khidmat Sistem Pesanan Ringkas.

“Justeru pihak KPDNHEP perlu memperkenal program Rakan Pengguna menerusi laman web yang diwujudkan dalam menerusi kemudahan Internet bagi membolehkan para pengguna menjadi ahli kepada program ini,” katanya sambil menambah bahawa setiap aduan yang diterima perlulah mendapat layanan yang sewajarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kepenggunaan dan Rakan Pengguna 2008 anjuran Pejabat KPDNHEP Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Majlis Hal Ehwal Pengguna Sri Aman bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman hari ini.

Selain itu kata Desmond pihak KPDNHEP juga perlu mengembleng tenaga pengajar yang terdiri daripada guru dan ketua kaum untuk menyebarkan kesedaran mengenai hak pengguna kepada penduduk di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai akses terhadap penggunaan Internet.

Penyebaran maklumat mengenai hak pengguna terhadap penduduk di kawasan luar bandar menurut beliau boleh dilaksanakan menerusi penganjuran kursus atau ceramah mengenai perkara ini.

“Malah adalah amat penting juga bagi pihak KPDNHEP untuk mengekalkan hubungan baik mereka terhadap pihak media bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan kepada pengguna adalah cepat serta tepat,” katanya.

Justeru Desmond berharap agar usaha pihak KPDNHEP ini mampu mengekalkan kesetiaan ahli Rakan Pengguna yang bertujuan untuk mempertingkatkan perlindungan pengguna demi kesejahteraan penduduk.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah KPDNHEP Sarawak, Haji Khalis Kassim, Ketua Cawangan Pejabat KPDNHEP Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto Wan Johari, Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom, para pegawai kerajaan dan kakitangan KPDNHEP Sri Aman.

Pesta Kepenggunaan dan Rakan Pengguna 2008 ini telah dimeriahkan dengan penganjuran Pertandingan Futsal, Ceramah Kepenggunaan, Kuiz Kepenggunaan dan Teka Silang Kata, Pendaftaran Rakan Pengguna, Pertandingan Mewarna, Consumer Race, Permainan Sukaneka dan Ceramah Kepenggunaan.

Tamat.


No comments:

Post a Comment