Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 December, 2008

Zaidi @ Eddie Banyeng - pembuat sape dari Simunjan


Caption: PEMINAT...Zaidi (kanan) sedang menyampaikan Gitar Sape jenis elektronik kepada pelanggan keduanya (kiri) sambil disaksikan oleh rakan Zaidi iaitu Jamil di sini semalam.

SIMUNJAN, Isnin ( 8 Dis) – “Berjaya menjual Gitar Sape untuk seorang pelanggan pertama dari Miri lewat petang kelmarin adalah kenangan manis yang cukup bererti buat diri saya,” kata Zaidi bin Ibrahim dari Kampung Sibau Rimbau, Simunjan yang mula berjinak-jinak dalam bidang pembuatan gitar Sape semenjak dua bulan lalu.

Semenjak artikel mengenai minat beliau dalam pembuatan Gitar Sape secara persendirian tersiar dalam akhbar ini pada 6 Oktober lalu, Zaidi kini telah pun berjaya menunaikan permintaan dua orang pelanggan iaitu dari Miri dan Simunjan untuk membuat Gitar Sape ini.

Gitar Sape yang pertama menurut beliau telah diserahkan kepada pelanggan dari Miri lewat petang semalam hasil temu janji di persimpangan jalan masuk menuju ke Simunjan manakala Gitar Sape yang kedua pula diserahkan kepada pelanggan tempatan hari ini.

“Saya telah pun menerima lebih 20 permintaan untuk membuat Gitar Sape daripada para pelanggan dalam negeri ini semenjak artikel mengenai minat saya ini tersiar dalam akhbar Utusan Sarawak pada bulan Oktober lalu.

“Terima kasih kepada Utusan Sarawak. Jika saya berjaya mengembangkan bidang ini ke tahap yang lebih tinggi maka saya akan menjadikan akhbar ini sebagai pengiklan perniagaan saya yang paling utama,” katanya ketika ditemui semalam.

Setelah berjaya menyiapkan dua tempahan Gitar Sape, Zaidi kini sedang membuat persiapan untuk mengambil seorang pembantu bagi mencantikkan lagi hasil pembuatan Gitar Sapenya dari segi ukiran bercorak tradisional.

Ianya menurut beliau adalah amat penting bagi memuaskan hati para pelanggan yang telah menempah Gitar Sape daripadanya sebelum ini menerusi Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

“Untuk pengetahuan orang ramai, Gitar Sape saya ini dihasilkan dari kayu jenis Pelaie, Keladan dan Jelutong kerana kualiti kayunya amat baik dan senang didapati di kawasan ini.

“Nilai gitar Sape ini bergantung kepada jenis kayu yang saya pilih. Jika tiada aral melintang, gitar Sape yang ditempah oleh mereka yang berminat ini akan siap dalam tempoh satu minggu sahaja,” katanya.

Beliau juga turut mengakui bahawa amat sukar untuk membeli koleksi Gitar Sape di kedai dalam bandar-bandar utama di negeri ini dan ianya secara tidak langsung menyumbang kepada nilai harga yang mahal terhadap Gitar Sape hasil buatannya.

Justeru mereka yang berminat untuk menempah gitar Sape ini boleh menghantar Sistem Pesan Ringkas (SMS) ke Zaidi sendiri menerusi talian 019-4833962 untuk mengetahui lebih lanjut tentang nilai pembuatan gitar terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment