Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 December, 2008

Batu Nabau - Batu Ular Gergasi di Engkilili


Caption: UNIK...Para pelawat sedang merakamkan gambar kenang-kenangan di hadapan Batu Nabau yang terletak tidak jauh dari kawasan rumah panjang Bukong, Engkilili, Sri Aman semalam.

SRI AMAN, Khamis (Disember 18)– Nama Batu Nabau mungkin tidak asing lagi di telinga para penduduk dari Rumah Nyalau anak Muang, Bukong dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman selama ini.

Bagi para penduduk yang bukan dari kawasan Engkilili pula nama Batu Nabau mungkin amat asing di telinga diri masing-masing walaupun kisah mengenai kewujudan Batu Nabau ini pernah tersiar dalam media cetak pada tahun 1996 dahulu.

Bagaimanapun kisah mengenai Batu Nabau tersiar kembali di sebuah surat khabar berbahasa Mandarin pada bulan Ogos tahun ini apabila seorang lelaki berketurunan Siam dari Kuala Lumpur mendakwa bahawa dia bermimpi mengenai kewujudan ular gergasi yang bertukar menjadi batu.

“Hasil bantuan penduduk tempatan di daerah Sri Aman ini, lelaki Siam terbabit akhirnya berjaya menemui apa yang didakwa dalam mimpi sebelumnya iaitu Batu Nabau atau ular gergasi yang bertukar menjadi batu itu.

“Setelah penemuan berkenaan, lelaki Siam dengan bantuan penduduk dari Sri Aman kemudiannya membersihkan kawasan terbabit dan mengecat semula Batu Nabau ini,” kata Penghulu Michael Derin dari Rumah Nyalau, Bukong, Engkilili.

Beliau ketika ditemui Utusan Sarawak semalam juga mendakwa bahawa kewujudan batu yang menyerupai ular gergasi atau Batu Nabau ini sememangnya sudah lama diketahui oleh penduduk rumah panjang berkenaan selama ini.

Kewujudan Batu Nabau yang mempunyai ukuran panjang melebihi 30 kaki dengan diameter melebihi dua meter ini kata beliau telah merintangi Sungai Bukong di sebuah kedudukan kawasan yang dianggap oleh penduduk di situ sebagai Batu Lintang.

“Kedudukan Batu Nabau terletak hanya 50 meter dari kawasan rumah panjang di sini. Bagi kami di rumah panjang Bukong, Batu Nabau ini mempunyai hikayat atau cerita legendanya yang tersendiri,” katanya.

Kakitangan Utusan Sarawak bersama dengan satu rombongan yang diketuai oleh Nelson Naga Alam iaitu Setiausaha Sulit kepada Menteri Muda Permodenan Pertanian iaitu Datuk Dublin Unting Ingkot telah melawat sendiri ke tapak kawasan Batu Nabau pada jam 3 petang kelmarin.

Hasil tinjauan Utusan Sarawak mendapati bahawa Batu Nabau ini adalah merupakan sebongkah batu panjang yang seakan-akan menyerupai seekor ular gergasi dan merintangi kawasan Sungai Bukong terbabit.

Orang ramai yang ingin melihat sendiri keunikan Batu Nabau ini disyorkan agar berhati-hati dan mematuhi arahan yang tertera pada jalan masuk ke kawasan batu terbabit demi kebaikan diri sendiri.

Tamat.

2 comments:

  1. Can you tell me where you got the photo. I would like to get permission to use it.

    ReplyDelete
  2. Hi adriene,

    do you meant where i take it (the photo) or who take the photo?

    I shoot it by myself. Take it if u want. thank u.

    ReplyDelete