Please jump to our new blog --> www.newsriamannews.blogspot.com

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 December, 2008

Jawah Gerang sertai Parti Keadilan Rakyat


Mugshot: JAWAH GERANG

SRI AMAN, Rabu (24 dis) – Bekas Ahli Parlimen P.203 Lubok Antu, Jawah anak Gerang secara rasminya telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi sebuah majlis yang berlangsung di sebuah hotel tempatan dalam bandar Sri Aman hari ini.

Bekas ahli Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) terbabit sah menyertai PKR setelah menyerahkan borang kemasukan ahli kepada Setiausaha Agung parti berkenaan iaitu Dato Salehuddin Hashim pada jam 12 tengahari hari ini.

Jawah ketika bercakap kepada para pemberita menerusi sidang media sebaik sahaja selesai majlis menjelaskan bahawa beliau menyertai PKR setelah tidak mendapat tempat dalam mana-mana komponen parti Barisan Nasional (BN) dalam negeri ini.

“Saya gagal mendapat tempat dalam Parti Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP) sebelum ini dan juga tidak diterima dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Lebih-lebih lagi apabila parti Kongres Dayak Malaysia (MDC) dahulu tidak terima pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) saya akhirnya nekad untuk menyertai parti ini (PKR),” jelas beliau.

Selain itu beliau juga mendakwa bahawa PKR adalah sebuah parti yang sensitif terhadap pelbagai isu berkaitan dengan kebajikan hidup rakyat di negara ini berbanding dengan kerajaan yang sedia ada pada masa sekarang.

Sambil mendakwa BN adalah sebuah kerajaan yang angkuh, Jawah yakin PKR akan mampu menjaga kebajikan hidup rakyat sekiranya mereka mampu memerintah negeri ini menjelang pilihanraya akan datang.

“PKR mempunyai polisi pembangunan yang bersesuaian untuk rakyat di negeri ini. Atas sebab ini saya telah bertindak menyertai PKR dan permohonan saya ini nampaknya diterima baik oleh mereka,” katanya.

Tamat.

22 December, 2008

Penduduk mula buat persiapan menjelang sambutan Krismas 2008


Caption: MERIAH...Para penduduk dari pelbagai pelusuk daerah Sri Aman sedang berkumpul di sebuah pasaraya dalam bandar ini ketika sibuk membeli-belah barang untuk keperluan perayaan Krismas.

SRI AMAN, Selasa (23 Dis) – Beberapa buah pasaraya dalam bandar Sri Aman mula dibanjiri ratusan penduduk yang ingin membeli pelbagai barangan keperluan untuk menyambut kedatangan Perayaan Hari Krismas pada 25 Disember ini.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak hari ini mendapati bahawa rata-rata penduduk sudah mula membanjiri Pasaraya Everise, Hock Lee Eng (cawangan baru dan lama) dan Lian Yii Marketing semenjak hari Jumaat lalu untuk membeli barang keperluan bagi menyambut Perayaan Krismas kelak.

“Saya bersama keluarga sudah pun mula membuat persiapan untuk menyambut Perayaan Krismas semenjak 20 Disember lalu dengan membeli barang keperluan secara sederhana di beberapa buah pasaraya dalam bandar ini,” kata Patrick Michael, 38, ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Beliau dan keluarga bercadang untuk menyambut Perayaan Krismas secara sederhana untuk tahun ini berhubung harga barang yang mahal disebabkan oleh kenaikan mendadak harga bahan api sedunia pada empat bulan lepas.

Walaupun bekerja sendiri sebagai seorang kontraktor, namun Patrick cuba untuk mengamalkan sikap berjimat cermat mulai masa sekarang demi mengatur perbelanjaan seisi keluarga yang lebih seimbang menjelang tahun hadapan.

“Setiap individu mempunyai perancangan masing-masing untuk menyambut Perayaan Krismas menjelang 25 Disember ini dan ianya terpulang tentang bagaimana mereka hendak mengatur bajet kewangan demi menyambut hari mulia ini kelak,” katanya.

Morgan Alban, 25, dari Nyakai pula tidak terlalu berkira untuk mengeluarkan belanja untuk menyambut Perayaan Krismas pada 25 Disember kelak memandangkan ianya hanya disambut sekali dalam setahun.

“Kita tidak menyambut Krismas pada tiap-tiap hari. Atas sebab ini saya tidak begitu cerewet untuk mengeluarkan belanja yang banyak untuk menyambut Perayaan Krismas pada setiap tahun,” katanya.

Utusan Sarawak juga mendapat terdapat sesetengah penduduk yang membanjiri kawasan Jalan Kapitan dan deretan kedai berdekatan dengan Pasar Terbuka Sri Aman untuk membeli barang perhiasan Krismas.

Tamat.

Simon - Selesai sendiri masalah air bertakung di kedainya


Caption: SELESAI SENDIRI...Simon sedang memahat lubang kecil dari permukaan simen yang tidak rata berdekatan premis perniagaan menuju ke sebuah longkang demi mengurangkan takungan air akibat hujan lebat selama ini.

SRI AMAN, Selasa (23 Dis) – Gara-gara ingin mengurangkan takungan air disebabkan musim hujan pada masa sekarang, seorang pemilik kedai berdekatan dengan premis bangunan CIMB di bandar ini bertindak sendiri untuk mengubahsuai sendiri kawasan longkang yang berdekatan dengan kedainya.

Kakitangan Utusan Sarawak yang secara kebetulan melalui kawasan kedainya mendapati bahawa pemilik kedai terbabit iaitu Simon Wong sedang sibuk memahat laluan berlubang di atas permukaan simen menuju ke longkang besar yang terletak berhampiran kedai miliknya pada waktu pagi hari ini.

“Setiap kali hujan lebat, kawasan luar kedai saya akan ditakungi air sehingga menimbulkan kesukaran terhadap para pelanggan yang ingin ke kedai ini untuk membeli alat tulis dan pelbagai lagi.

“Disebabkan permukaan simen yang tidak rata, saya telah bertindak sendiri memahat satu laluan saliran yang kecil menuju ke longkang berdekatan untuk mengurangkan takungan air di hadapan kedai saya ini sekiranya hujan lebat melanda kembali,” katanya kepada Utusan Sarawak.

Pihak berkuasa tempatan menurut Simon lagi perlu mengambil tindakan untuk mengubahsuai semula permukaan simen tidak rata yang terdapat di beberapa buah kedai termasuk milik beliau dalam bandar ini.

Ianya menurut beliau amat penting untuk memudahkan air hujan mengalir kembali ke dalam longkang yang dibina oleh pihak berkuasa tempatan sebelum ini di kawasan deretan kedai dalam bandar Sri Aman.

“Saya percaya penduduk akan lebih selesa untuk membeli barang di kawasan ini sekiranya pihak berkuasa tempatan meratakan kembali laluan pejalan kaki bersimen yang tidak rata sebelumnya,” menurut Simon.

Tinjauan lanjut Utusan Sarawak juga mendapati bahawa jalan pintas bertar yang terletak berdekatan dengan premis berkenaan telah rosak dan dipenuhi oleh takungan air hujan sehingga menyusahkan pengguna kenderaan di bandar ini.

Tamat.

Harden sekeluarga anjur sembahyang Carolling sempena Krismas




Caption:
1.UNTUK ALBUM...Harden (duduk keempat dari kiri) bersama isteri sedang bergambar kenang-kenangan bersama para tetamu dan ahli Koir Gereja Saint Luke ketika berlangsungnya majlis malam tadi.
2. JANGAN SEGAN...Harden bersama isteri sedang melayan para tetamu ketika bermulanya sesi menjamu selera di kediamannya malam tadi.

SRI AMAN, Selasa (23 Dis) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis bersama isteri, Simba anak Nalang telah mengadakan Upacara Sembahyang Carolling bertempat di kediamannya di Jalan Tini bersempena dengan sambutan Perayaan Hari Krismas 2008 pada 25 Disember ini.

Upacara Sembahyang Carolling yang dikendalikan oleh Vicar Saint Luke Church, Archdeacon Chimbie Bunsie dan Father Augustine Sait di rumah Harden ini telah bermula seawal jam 6.30 petang hingga 7 petang semalam.

Upacara Sembahyang Carolling di rumah beliau turut dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan Koir Gereja Saint Luke bersama dengan lebih 50 penduduk berbilang kaum dari sekitar bandar Sri Aman ini.

Sebaik sahaja selesai upacara sembahyang terbabit, kesemua para hadirin telah dijemput untuk menjamu segala hidangan makanan dan minuman yang disediakan oleh keluarga Harden di kediamannya.

Ketika berlangsung sesi menjamu selera di rumahnya, para hadirin juga telah mengambil kesempatan untuk merakamkan gambar kenang-kenangan bersama dengan Francis Harden dan keluarganya.

Willie Muda, 37, menganggap bahawa upacara sembahyang ini secara tidak langsung memberi peluang kepada penduduk berbilang kaum dalam bandar ini untuk bergaul lebih rapat dengan wakil rakyat mereka iaitu Harden.

“Beliau (Harden) sentiasa sibuk dengan tugasan harian sebagai seorang wakil rakyat. Justeru upacara sembahyang dan majlis jamuan makan malam seumpama ini membolehkan penduduk untuk mengenali wakil rakyat kesayangan mereka dengan lebih dekat.

“Saya berharap agar upacara sembahyang berkenaan mampu merapatkan lagi hubungan erat diantara penduduk berbilang kaum terutama mereka yang hadir untuk memeriahkan suasana upacara terbabit,” katanya.

Penduduk yang menghadiri Upacara Sembahyang Carolling dan Majlis Jamuan Makan Malam bersama Harden dan keluarga di kediamannya ini kemudiannya bersurai sekitar jam 11 malam tadi.

Tamat.

Koleksi news pilihan - Bas terbabas di Sutong





Caption:

MALANG...Bas ekspress yang dinaiki oleh 37 penumpang terbabas di kawasan Sutong, Sri Aman menerusi kejadian yang berlaku sekitar jam 5 pagi hari ini. Foto:ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Khamis ( 4 dis) – Dua kanak-kanak mengalami cedera ringan apabila bas ekspress yang mereka naiki terbabas di kilometer 13, Jalan Sri Aman / Betong sekitar jam 5 pagi hari ini.

Menurut sumber kejadian kemalangan berlaku apabila bas ekspress yang membawa sejumlah 37 orang penumpang terbabit sedang dalam perjalanan dari Miri menuju ke Kuching.

“Ketika bas ekspress terbabit melimpasi laluan selekoh jalan di kawasan Sutong yang terletak tidak jauh dari persimpangan Jalan Kuching / Sri Aman muncul sebuah lori treller yang secara kebetulan juga sedang dalam perjalanan menuju ke arah Betong dari Sri Aman.

“Pemandu lori treller berkenaan dipercayai telah menggunakan lampu tinggi sebelum kedua-dua kenderaan ini berselisih di kawasan Sutong sehingga menyebabkan pemandu bas ekspress terbabit gagal melihat kawasan hadapan jalan,” menurut sumber di tempat kejadian.

Menyedari bahawa lori treller terbabit menggunakan lampu tinggi, pemandu bas ekspress terbabit kemudiannya bertindak memberi isyarat lampu kepada lori berkenaan supaya pemandu lori berkenaan menurunkan lampu tingginya.

Bagaimanapun pemandu lori treller terbabit kata sumber dipercayai tidak bertindak menurunkan lampu tingginya sehingga menyebabkan bas ekspress berkenaan terbabas di kawasan kiri jalan.

“Kemalangan ini menyebabkan dua orang penumpang kanak-kanak mengalami kecederaan ringan dan seterusnya dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman untuk tujuan rawatan lanjut,” kata sumber lagi.

Tamat.


21 December, 2008

Simoi - persediaan menjelang tahun baru


Mugshot: HAJAH SIMOI HAJI PERI


SRI AMAN, Selasa ( 22 dis) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri menasihatkan semua penduduk di daerah ini khususnya dari daerah kecil Lingga untuk bersedia menghadapi perubahan menjelang tahun 2009 ini.

Menurut beliau setiap penduduk perlu sedar bahawa pelbagai perkara boleh berlaku pada setiap sehingga boleh membawa kesan terhadap aspek kehidupan diri masing-masing dari segi ekonomi, politik dan sosial.

“Tahun 2008 ini misalannya menyaksikan penduduk di negara kita menghadapi kesan kenaikan harga barang apabila harga minyak sedunia naik secara mendadak bermula bulan Jun dahulu.

“Penduduk rata-rata tidak menduga masalah seperti ini akan berlaku kerana kita tidak pernah berhadapan dengan situasi seumpama (kenaikan harga bahan api dan barang) ini sebelumnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Walaupun kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk mengatasi masalah kebajikan penduduk seperti mengurangkan harga jualan bahan api di negara ini kata Simoi, penduduk haruslah menjadikan masalah terbabit sebagai satu pengalaman baru dalam hidup masing-masing.

Pengalaman ini seterusnya kata Simoi akan membolehkan penduduk untuk sentiasa bersedia sekiranya krisis yang sama (kenaikan harga minyak sedunia) berulang kembali pada tahun akan datang.

“Justeru ketika anda (penduduk) menyambut Tahun Baru 2009, renungkanlah kembali segala peristiwa yang pernah berlaku di dalam dan luar negara untuk dijadikan sebagai satu ikthibar dalam hidup kita.

“Sekiranya boleh berdoalah kepada Tuhan Yang Maha Esa agar dijauhi segala kerumitan dan kesusahan ketika negara memasuki era tahun 2009 kelak,” katanya sambil menambah bahawa Tahun Baru kelak tidak seharusnya disambut secara keterlaluan oleh penduduk di negara ini.

Beliau juga turut menasihatkan penduduk untuk bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan segala projek pembangunan yang bakal dilaksana di daerah ini pada tahun hadapan.

Tamat.

Sri Aman tuan rumah sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Swk!


Caption: PENERANGAN...Daud sedang menerangkan sesuatu kepada pihak media ketika berlangsungnya mesyuarat akhir di bilik mesyuarat MDSA hari ini.

SRI AMAN, Isnin (22 Dis) – Bandar Sri Aman akan menjadi tuan rumah kepada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1430 Hijrah / 2008 Masihi bermula 28 hingga 29 Disember ini kelak.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Penggalakkan dan Pembangunan Estet-Estet Perindustrian), Datuk Haji Daud bin Abdul Rahman berkata demikian kepada pihak pemberita sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Akhir Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak 1430H / 2008M bertempat di Bilik Mesyuarat, Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) hari ini.

Menerusi tema sambutan berjudul Menjana Ummah Gemilang, Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak ini kelak kata Daud akan dimulakan dengan Majlis Doa Akhir Tahun 1429H dan Awal Tahun 1430H bertempat di Masjid Bandar Sri Aman pada 28 Disember ini bermula jam 5.30 petang hingga 9.45 malam.

“Majlis ini kelak akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin bersama Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah dan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud,” katanya sambil menambah bahawa sekitar 800 jemaah dijangka hadir pada majlis terbabit.

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak pada 29 Disember pula menurut beliau akan diserikan lagi dengan Majlis Perhimpunan Maal Hijrah yang membabitkan sejumlah 2,000 hadirin bertempat di Dewan Suarah Sri Aman bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi.

Pada Majlis Perhimpunan Maal Hijrah ini kata Daud, Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin akan menyempurnakan Majlis Anugerah Maal Hijrah mengikut kategori masing-masing pada waktu pagi berkenaan.

“Terdapat beberapa buah aktiviti lain yang turut diadakan bersempena dengan sambutan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak ini antaranya Pertandingan Bertuntung, Siri Ceramah dan Forum Maal Hijrah, Gotong Royong, Larian Maal Hijrah, Malam Kesenian, Majlis Berambeh Di Perkampungan Saudara Muslim dan Perhimpunan Wanita Bistari.

“Justeru saya berharap Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran penduduk Islam dan bukan Islam dari seluruh kawasan Sri Aman pada tarikh yang telah dinyatakan,” katanya.

Pertandingan Bertuntung akan bermula di bandar Sri Aman pada 27 hingga 29 Disember dan Larian Maal Hijrah pula bermula 7.30 pagi pada 29 Disember bertempat di Padang Lama KPSU Sri Aman.

Manakala itu Malam Kesenian sempena sambutan Maal Hijrah pula akan diadakan di Dewan Suarah Sri Aman bermula jam 8.30 malam pada 29 Disember ini dan Perhimpunan Wanita Bistari akan diadakan pada 1 Januari bermula jam 8 pagi hingga 12 tengahari di lokasi yang sama.

Majlis Berambeh Di Perkampungan Saudara Muslim akan diadakan di Kampung Pulau Seduku, Sri Aman bermula 12 hingga 13 Januari tahun hadapan.

Hadir sama pada Mesyuarat Akhir Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak 1430H / 2008M ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Datu Misnu Haji Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Haji Putit Matzen dan Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji.

Majlis Sambutan Maal Hijrah merupakan salah satu daripada upacara rasmi Kerajaan Negeri Sarawak yang diadakan pada setiap tahun. Kali terakhir ianya diadakan adalah di Bandaraya Miri pada 9 Januari tahun ini.

Tamat.

19 December, 2008

Rohani - wanita mampu menyerlah


PENGHARGAAN..Rajali (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Rohani (kiri) sambil disaksikan (dari kiri sekali) Hajjah Azizah, Hajjah Ainon dan Patihi ketika berlangsungnya majlis hari ini. Foto:VALENTINE NGUMBANG

BETONG, Sabtu (20 dis)– Jumlah peratusan wakil rakyat wanita yang rendah dalam Dewan Parlimen atau Rakyat pada masa sekarang menunjukkan bahawa rakyat di negara ini masih kurang yakin terhadap kepimpinan kaum wanita dalam hidup mereka.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim berkata sehingga kini hanya terdapat sejumlah sembilan peratus sahaja golongan wanita yang berkhidmat sebagai wakil rakyat dalam Dewan Parlimen di negara ini.

“Peratusan ini menunjukkan bahawa rakyat masih kurang yakin terhadap kepimpinan wanita dalam bidang politik pada masa sekarang kerana rata-rata mereka masih menganggap bahawa kaum lelaki sahaja yang dapat meneraju hidup mereka.

“Tanggapan seperti ini harus ditepikan kerana kaum wanita juga mampu memegang banyak peranan penting di negara ini dari aspek politik hinggalah ke sosial,” katanya sambil menambah bahawa rakyat harus memberikan kepercayaan sepenuhnya terhadap calon wakil rakyat wanita (dari Barisan Nasional) menjelang pilihanraya akan datang..

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Jiran Wanita Peringkat Negeri anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Betong bertempat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong hari ini.

Sambil menyatakan nama tokoh pembangunan wanita bersejarah seperti Saidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Ummu Salamah dan Zainab Al- Ghazali, golongan wanita kata Rohani boleh menyumbang kepada pembangunan hidup rakyat sekiranya diberi peluang oleh semua rakyat untuk memimpin mereka.

Selain itu golongan wanita dari kawasan luar bandar katanya juga telah berjaya membuktikan kemampuan diri masing-masing untuk mempertingkatkan kualiti hidup mereka dari segi perniagaan runcit serta jualan juadah makanan secara kecil-kecilan.

“Dengan menyertai skim micro kredit yang diuruskan oleh Yayasan Usaha Maju (YUM) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), kaum wanita terutamanya ibu tunggal telah berjaya mempertingkat kualiti hidup keluarga menerusi bidang perniagaan masing-masing.

“Lagipun komitmen pembayaran semula skim terbabit mengikut tempoh yang ditetapkan oleh kaum wanita selama ini membuktikan bahawa mereka mampu menguruskan perancangan hidup dengan lebih cekap dan teratur,” katanya.

Justeru Rohani berharap kaum wanita menerusi program Jiran Wanita ini dapat menilai serta mengambil peluang terbabit untuk melaksana pelbagai aktiviti sosial yang sihat demi memperkukuhkan kedudukan diri sendiri dan keluarga.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Malaysia Sarawak, Rajali Haji Mudin, Pengarah Urusan Riger Consultant, Hajjah Ainon Kuntom, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Malaysia, Hajjah Azizah Ariffin, Timbalan Residen Betong, Patihi Kerni, para pegawai kerajaan dan peserta konvensyen dari seluruh negeri Sarawak.

Tamat.

Anisa - bakal pendatang baru dalam industri lagu Iban


Caption: BAKAL MENYERLAH...Anisa bakal menghiasi persada industri lagu Iban tempatan bersama David Til dalam masa terdekat kelak.


SRI AMAN sememangnya terkenal menerusi kemunculan barisan artis rakaman popularnya pada masa sekarang seperti Maxwell Franklin Saran, Lakuang Ading, Hilary, Jocy Menti, Simon David Matan, Christopher Kerry Landong, Susan Kedaya, Ujang Brinda dan Natala.

Setelah melahirkan seorang penyanyi tempatan terbaru iaitu Bukoi Borneo yang mula menempah nama di daerah ini pada masa sekarang, Sri Aman sekarang bakal melahirkan seorang penyanyi tempatan wanita terbaru yang lebih dikenali sebagai Anisa pada masa terdekat kelak.

Anak jati kelahiran Lubok Antu yang lebih dikenali dengan nama panggilan iaitu Anis kini telah pun bersedia untuk melangkah ke dalam industri lagu Iban tempatan secara lebih serius apabila berjaya menyiapkan 10 buah lagu hasil bantuan pengubah lagu dan muzik terkenal iaitu David Til.

“Dua daripada 10 buah lagu iaitu Janji Nuan dan Tanda-Tanda Cinta Solo adalah merupakan nyanyian solo daripada David Til dan saya sendiri manakala selebihnya adalah lagu duet kami berdua.

“Lagu duet ini adalah Nadai Agi Disamun, Sama Bela Udah Setuju, Baka Buah Udah Mansau, Enda Ibuh Meh Wai, Sama Nanggam Semaya, I Love You Apai Ujang, Anang Pedis Ati dan Begulai Baru,” katanya.

Selain itu kata Anis kesemua 10 buah lagu yang menggunakan elemen muzik Slow Rock, Dangdut dan A Go Go ini telah pun dimuatkan dalam ‘master disc’ untuk dihantar kepada mana-mana syarikat rakaman di negeri ini untuk tujuan maklum balas daripada pihak mereka.

“Saya yakin lagu Sama Bela Udah Setuju, Sama Nanggam Semaya dan Baka Buah Udah Mansau mampu meraih sambutan mengalakkan daripada pendengar sekiranya terdapat syarikat rakaman tempatan yang menawarkan kami berdua untuk merakamkan kesemua lagu terbabit.

“Lagipun David Til adalah merupakan seorang pengubah muzik dan lagu yang terkenal sebelum ini. Atas sebab ini saya yakin bahawa kesemua lagu hasil gubahan beliau mampu memberikan kepuasan yang terbaik terhadap para pendengar lagu Iban di negeri ini,” katanya.

Anisa yang kini sedang bekerja dengan sebuah syarikat swasta dalam bandar Sri Aman pernah menempa nama menerusi beberapa pertandingan nyanyian lagu karaoke yang telah diadakan di sekitar daerah ini sebelumnya.

Menerusi bantuan rakannya yang juga merupakan bakal pendatang baru dalam industri lagu ini iaitu Francis Ternang, Anisa bersama David Til telah pun berjaya menyiapkan kesemua 10 buah lagu terbabit pada akhir bulan November lepas.

Tamat.

Penghulu Michael Derin - Batu Nabau boleh jadi tarikan


Caption: PENERANGAN...Michael Derin ketika menerangkan sesuatu kepada pihak media berhubung kisah Batu Nabau di Engkilili, semalam.

SRI AMAN, Jumaat (19 Dis) – Penghulu Michael Derin dari Rumah Nyalau anak Muang, Kampung Bukong dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman yakin bahawa lokasi penemuan Batu Nabau yang terletak di kawasan kampungnya ini bakal menjadi tumpuan penduduk dari seluruh negeri atau negara ini dalam masa terdekat kelak.

Terdahulu pada 18 Disember lepas, sekumpulan rombongan penduduk yang turut disertai juga oleh Utusan Sarawak cawangan Sri Aman telah melakukan tinjauan ke lokasi penemuan bongkah batu menyerupai ular gergasi yang lebih dikenali penduduk di situ sebagai Batu Nabau.

Hasil tinjauan terbabit, berita mengenai Batu Nabau berkenaan telah disiarkan di akhbar ini pada 19 Disember walaupun berita mengenai bongkah batu yang menyerupai ular gergasi berkenaan pernah terbit pada tahun 1996 dahulu dan di akhbar berbahasa Mandarin pada bulan Ogos tahun ini.

“Saya masih ingat lagi pada tahun 1996 dahulu apabila mendiang Tan Khee Liang telah berusaha mencari Batu Nabau (setelah mendengar kisah mengenainya) terbabit di kawasan Lubok Antu dan Batu Lintang, Sri Aman sehingga beliau berjaya menemuinya di sini (Bukong).

“Semenjak dari itu banyak penduduk dari kawasan Sibu dan Miri berkunjung ke rumah panjang Bukong hanya semata-mata ingin menyaksikan keunikan Batu Nabau ini dari jarak dekat,”katanya.

Ketiadaan laluan jalan tar menghubungkan rumah panjang terbabit dari kawasan pekan Engkilili pada masa itu kata Derin menyebabkan banyak kenderaan pengunjung terkandas di laluan jalan raya yang berlocak.

“Adakala penduduk di sini menghulurkan bantuan kepada mereka (pengunjung) untuk mengeluarkan kenderaan mereka terkandas gara-gara disebabkan oleh keadaan jalan yang berlocak dan menjadi laluan pengangkut lori kayu balak.

“Namun jalan raya bertar sudah wujud di kawasan ini. Adalah lebih mudah untuk mereka pergi ke kawasan ini sekarang semenjak berita mengenai Batu Nabau ini tersiar kembali di media cetak,” katanya.

Justeru Derin berharap agar kawasan Batu Nabau ini dapat dijadikan sebagai sebuah tapak pelancongan yang baru oleh pihak berkuasa tempatan yang sekaligus dapat memperkenalkan keunikan batu berkenaan terhadap penduduk di luar negeri.

Tamat.



Zaidi @ Eddie Banyeng - pembuat sape dari Simunjan


Caption: PEMINAT...Zaidi (kanan) sedang menyampaikan Gitar Sape jenis elektronik kepada pelanggan keduanya (kiri) sambil disaksikan oleh rakan Zaidi iaitu Jamil di sini semalam.

SIMUNJAN, Isnin ( 8 Dis) – “Berjaya menjual Gitar Sape untuk seorang pelanggan pertama dari Miri lewat petang kelmarin adalah kenangan manis yang cukup bererti buat diri saya,” kata Zaidi bin Ibrahim dari Kampung Sibau Rimbau, Simunjan yang mula berjinak-jinak dalam bidang pembuatan gitar Sape semenjak dua bulan lalu.

Semenjak artikel mengenai minat beliau dalam pembuatan Gitar Sape secara persendirian tersiar dalam akhbar ini pada 6 Oktober lalu, Zaidi kini telah pun berjaya menunaikan permintaan dua orang pelanggan iaitu dari Miri dan Simunjan untuk membuat Gitar Sape ini.

Gitar Sape yang pertama menurut beliau telah diserahkan kepada pelanggan dari Miri lewat petang semalam hasil temu janji di persimpangan jalan masuk menuju ke Simunjan manakala Gitar Sape yang kedua pula diserahkan kepada pelanggan tempatan hari ini.

“Saya telah pun menerima lebih 20 permintaan untuk membuat Gitar Sape daripada para pelanggan dalam negeri ini semenjak artikel mengenai minat saya ini tersiar dalam akhbar Utusan Sarawak pada bulan Oktober lalu.

“Terima kasih kepada Utusan Sarawak. Jika saya berjaya mengembangkan bidang ini ke tahap yang lebih tinggi maka saya akan menjadikan akhbar ini sebagai pengiklan perniagaan saya yang paling utama,” katanya ketika ditemui semalam.

Setelah berjaya menyiapkan dua tempahan Gitar Sape, Zaidi kini sedang membuat persiapan untuk mengambil seorang pembantu bagi mencantikkan lagi hasil pembuatan Gitar Sapenya dari segi ukiran bercorak tradisional.

Ianya menurut beliau adalah amat penting bagi memuaskan hati para pelanggan yang telah menempah Gitar Sape daripadanya sebelum ini menerusi Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

“Untuk pengetahuan orang ramai, Gitar Sape saya ini dihasilkan dari kayu jenis Pelaie, Keladan dan Jelutong kerana kualiti kayunya amat baik dan senang didapati di kawasan ini.

“Nilai gitar Sape ini bergantung kepada jenis kayu yang saya pilih. Jika tiada aral melintang, gitar Sape yang ditempah oleh mereka yang berminat ini akan siap dalam tempoh satu minggu sahaja,” katanya.

Beliau juga turut mengakui bahawa amat sukar untuk membeli koleksi Gitar Sape di kedai dalam bandar-bandar utama di negeri ini dan ianya secara tidak langsung menyumbang kepada nilai harga yang mahal terhadap Gitar Sape hasil buatannya.

Justeru mereka yang berminat untuk menempah gitar Sape ini boleh menghantar Sistem Pesan Ringkas (SMS) ke Zaidi sendiri menerusi talian 019-4833962 untuk mengetahui lebih lanjut tentang nilai pembuatan gitar terbabit.

Tamat.

18 December, 2008

Desmond - saran pendaftaran Rakan Pengguna dipergiat


Caption: SIMBOLIK...Desmond (kiri sekali) sedang membuka sangkar untuk melepaskan dua ekor burung merpati sebagai simbolik perasmian majlis hari ini sambil disaksikan oleh Khalis (dua dari kiri) dan Roslan (dua dari kanan). Foto: ZULIA HAJI JEMAT


SRI AMAN, Sabtu (13 Dis) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) disaran untuk meneruskan usaha pendaftaran Rakan Pengguna menerusi kemudahan Teknologi Maklumat atau internet secara online dari masa ke semasa.

Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Desmond Douglass Jerukan berkata demikian berdasarkan statistik yang dibentangkan oleh pihak Biro Pengaduan Awam menerusi taklimat yang berlangsung di Kuching pada semalam.

“Statistik dari pihak Biro Pengaduan Awam sebelum ini menunjukkan bahawa saluran maklumbalas yang kerap digunakan oleh orang ramai pada masa sekarang media elektronik seperti Internet dan Khidmat Sistem Pesanan Ringkas.

“Justeru pihak KPDNHEP perlu memperkenal program Rakan Pengguna menerusi laman web yang diwujudkan dalam menerusi kemudahan Internet bagi membolehkan para pengguna menjadi ahli kepada program ini,” katanya sambil menambah bahawa setiap aduan yang diterima perlulah mendapat layanan yang sewajarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kepenggunaan dan Rakan Pengguna 2008 anjuran Pejabat KPDNHEP Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Majlis Hal Ehwal Pengguna Sri Aman bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman hari ini.

Selain itu kata Desmond pihak KPDNHEP juga perlu mengembleng tenaga pengajar yang terdiri daripada guru dan ketua kaum untuk menyebarkan kesedaran mengenai hak pengguna kepada penduduk di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai akses terhadap penggunaan Internet.

Penyebaran maklumat mengenai hak pengguna terhadap penduduk di kawasan luar bandar menurut beliau boleh dilaksanakan menerusi penganjuran kursus atau ceramah mengenai perkara ini.

“Malah adalah amat penting juga bagi pihak KPDNHEP untuk mengekalkan hubungan baik mereka terhadap pihak media bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan kepada pengguna adalah cepat serta tepat,” katanya.

Justeru Desmond berharap agar usaha pihak KPDNHEP ini mampu mengekalkan kesetiaan ahli Rakan Pengguna yang bertujuan untuk mempertingkatkan perlindungan pengguna demi kesejahteraan penduduk.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah KPDNHEP Sarawak, Haji Khalis Kassim, Ketua Cawangan Pejabat KPDNHEP Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto Wan Johari, Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom, para pegawai kerajaan dan kakitangan KPDNHEP Sri Aman.

Pesta Kepenggunaan dan Rakan Pengguna 2008 ini telah dimeriahkan dengan penganjuran Pertandingan Futsal, Ceramah Kepenggunaan, Kuiz Kepenggunaan dan Teka Silang Kata, Pendaftaran Rakan Pengguna, Pertandingan Mewarna, Consumer Race, Permainan Sukaneka dan Ceramah Kepenggunaan.

Tamat.


Konsert Rock Legenda di sri aman meriah


Caption:

MERIAH...Para artis sedang bersua dengan penonton di atas pentas sebelum berakhirnya Konsert Rock Legenda Belia Benci Dadah di Stadium Tertutup Sri Aman malam tadi. Foto:ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Khamis (19 dis) – Dianggarkan seramai 400 penduduk membanjiri kawasan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman untuk menyaksikan Konsert Rock Legenda Belia Benci Dadah yang menyaksikan persembahan nyanyian lagu daripada empat orang artis rakaman popular tanah air bermula seawal jam 9.30 malam tadi.

Konsert Rock Legenda Belia Benci Dadah yang berlangsung di Stadium Tertutup ini adalah merupakan anjuran bersama daripada Kerajaan Negeri Sarawak, Kelab Rando Kabong, Agensi Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, PEMADAM dan Cats FM.

Konsert pada malam tadi telah dimeriahkan dengan persembahan nyanyian pertama daripada Yantzen, Shamrin Fotograph, Amir Ukay’s, Rahmat Mega dan D.J Isma. Dua lagi artis yang tidak hadir untuk mempersembahkan nyanyian lagu pada malam tadi ialah Ameng Spring, Bandi Amuk dan Mus May.

Dengan bayaran kemasukan berjumlah RM8 seorang, rata-rata para penonton konsert terbabit kelihatan begitu teruja untuk menyaksikan artis kesayangan mereka dari jarak dekat.

Bagaimanapun kehadiran anggota polis dan pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Sri Aman menerusi konsert berkenaan telah membantu mengawal gelagat para penonton yang begitu seronok menyaksikan konsert malam berkenaan.

Konsert Rock Legenda Belia Benci Dadah yang bermula seawal jam 9.30 malam terbabit bagaimanapun berakhir sekitar jam 11 malam tadi apabila kesemua artis selesai mempersembahkan nyanyian lagu masing-masing.

Hadir sama untuk menyaksikan Konsert Rock Legenda Belia Benci Dadah ini ialah Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superitenden Police (DSP) Mat Jusoh bin Muhammad, Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom dan Pegawai Tadbir Sarawak, Shamsiah binti Deli.

Tamat.

4 anggota polis IPD sri aman naik pangkat.


Caption: TAHNIAH...DSP Mat Jusoh sedang menyematkan pangkat kepada Kopral Molek Rahmat ketika berlangsungnya majlis di padang kawad, IPD Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Jumaat ( 19 dis) – Seramai empat orang anggota polis daripada Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menerima pertauliahan pangkat menerusi sebuah majlis yang berlangsung bersempena dengan Kawad Bulanan di padang kawad IPD berkenaan hari ini.

Majlis pertauliahan pangkat kepada empat anggota polis ini telah berlangsung seawal jam 8 pagi dan telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superitenden Police (DSP) Mat Jusoh bin Muhammad sambil disaksikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sri Aman, ASP Sazali Latif.

Empat orang anggota polis IPD Sri Aman yang telah menerima pertauliahan pangkat hari ini ialah Sarjan Philip Aron, Kopral Michael Ningkai anak Nyaoh, Kopral Napisah Tommy dan Kopral Molek Rahmat.

Philip, yang berpangkat Kopral sebelum ini adalah merupakan anggota polis yang berkhidmat dalam Bahagian Pendakwaan manakala Kopral Michael Ningkai pula berkhidmat di Balai Polis Skrang.

Dua lagi anggota wanita yang menerima pertauliahan pangkat iaitu Kopral Napisah dan Kopral Molek Rahmat pula masih lagi berkhidmat di IPD Sri Aman.

Kesemua empat orang anggota polis yang menerima pertauliahan pangkat terbabit adalah merupakan di antara mereka tersenarai dalam keputusan kenaikan pangkat bagi kategori Pegawai Rendah dan Lans Koperal.

Anggota yang tersenarai dalam kenaikan pangkat menerusi laman E-Siar sebelum ini adalah merupakan mereka yang berkhidmat di dalam cawangan tugas am, unit cawangan khas dan jabatan siasatan jenayah.

Aktiviti Kawad Bulanan IPD Sri Aman dan pertauliahan pangkat ini telah berakhir pada jam 8.40 pagi dengan upacara nyanyian lagu Sang Saka Biru sebelum kesemuanya bersurai.

Tamat.


Hilary ingin pergi jauh (terbang ha ha)



3 Disember 2008

INGIN PERGI JAUH...Hilary berhasrat untuk melangkau lebih jauh dalam bidang karier pengubah muzik dan penyanyi menerusi industri lagu Iban tempatan di negeri ini.

Lagu Pemanis Senggalang Burung hasil dendangan artis rakaman dari syarikat Golden Pearl Recording Studio (GPRS) iaitu Jenarino Jeraki pada suatu masa dahulu mungkin tidak asing lagi di telinga para peminat lagu Iban tempatan di negeri ini.

Walaupun lagu berkenaan mendapat sambutan memberansangkan daripada para peminat lagu Iban di negeri ini namun tidak ramai di antara mereka yang menyedari bahawa rentak muzik bagi kesemua lagu dalam album terbabit sebenarnya telah pun digubah oleh salah seorang artis syarikat rakaman itu sendiri.

Itulah dia Hillary, artis rakaman berketinggian 178 cm dari syarikat GPRS yang buat pertama kalinya telah diberikan kepercayaan penuh oleh syarikat rakaman itu sendiri untuk mengubah muzik bagi album Pemanis Senggalang Burung berkenaan.

“Itulah album pertama (Pemanis Senggalang Burung) yang memberikan peluang kepada saya untuk memulakan karier sebagai seorang pengubah muzik dalam industri lagu Iban tempatan di negeri ini,”menurut beliau yang sebelum ini mula terkenal menerusi album Kumang Malaysia (2005) dan Berita Bula Sebubu Ngapa (2008).

Setelah menandatangani kontrak untuk menjadi pengubah muzik bagi syarikat GPRS pada tahun 2006, Hillary telah pun mengubah muzik untuk enam buah album terbitan syarikat terbabit termasuk album terbaru Jeraki iaitu Pantun Rakyat yang bakal berada di pasaran pada bulan Disember ini.

Antara enam buah album terbabit adalah Kompilasi Gawai GPRS 2007, Lakuang Ading: Kisah Bini Aku, Kompilasi GPRS: Ngarap Ka Padi Lebat Berbuah, Timoti: Keremping Daki Dunya, Maxwel Saran: Bujang Pengabang dan album beliau sendiri iaitu Berita Bula Sebubu Ngapa.

“Sebelum menjadi pengubah muzik untuk GPRS, saya juga sering diundang untuk bermain sebagai pemain gitar utama untuk kugiran dari Sri Aman, Kuching, Lubok Antu dan Betong yang telah mengadakan persembahan ketika pesta ria atau pun majlis rasmi bermula tahun 1994 hingga 2000.

“Bagaimanapun terima kasih saya ucapkan kepada syarikat GPRS terutama kepada pemiliknya iaitu Jenny Tan dan Jenarino Jeraki kerana memberi saya peluang untuk menjadi seorang pengubah muzik dalam industri ini,” katanya.

Hillary, 29, anak jati kelahiran Sri Aman kini bakal terlibat dalam pembikinan telemovie terbaru hasil terbitan syarikat GPRS yang dijangka akan memulakan pengambarannya menjelang bulan Januari tahun hadapan.

Tamat.

Batu Nabau - Batu Ular Gergasi di Engkilili


Caption: UNIK...Para pelawat sedang merakamkan gambar kenang-kenangan di hadapan Batu Nabau yang terletak tidak jauh dari kawasan rumah panjang Bukong, Engkilili, Sri Aman semalam.

SRI AMAN, Khamis (Disember 18)– Nama Batu Nabau mungkin tidak asing lagi di telinga para penduduk dari Rumah Nyalau anak Muang, Bukong dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman selama ini.

Bagi para penduduk yang bukan dari kawasan Engkilili pula nama Batu Nabau mungkin amat asing di telinga diri masing-masing walaupun kisah mengenai kewujudan Batu Nabau ini pernah tersiar dalam media cetak pada tahun 1996 dahulu.

Bagaimanapun kisah mengenai Batu Nabau tersiar kembali di sebuah surat khabar berbahasa Mandarin pada bulan Ogos tahun ini apabila seorang lelaki berketurunan Siam dari Kuala Lumpur mendakwa bahawa dia bermimpi mengenai kewujudan ular gergasi yang bertukar menjadi batu.

“Hasil bantuan penduduk tempatan di daerah Sri Aman ini, lelaki Siam terbabit akhirnya berjaya menemui apa yang didakwa dalam mimpi sebelumnya iaitu Batu Nabau atau ular gergasi yang bertukar menjadi batu itu.

“Setelah penemuan berkenaan, lelaki Siam dengan bantuan penduduk dari Sri Aman kemudiannya membersihkan kawasan terbabit dan mengecat semula Batu Nabau ini,” kata Penghulu Michael Derin dari Rumah Nyalau, Bukong, Engkilili.

Beliau ketika ditemui Utusan Sarawak semalam juga mendakwa bahawa kewujudan batu yang menyerupai ular gergasi atau Batu Nabau ini sememangnya sudah lama diketahui oleh penduduk rumah panjang berkenaan selama ini.

Kewujudan Batu Nabau yang mempunyai ukuran panjang melebihi 30 kaki dengan diameter melebihi dua meter ini kata beliau telah merintangi Sungai Bukong di sebuah kedudukan kawasan yang dianggap oleh penduduk di situ sebagai Batu Lintang.

“Kedudukan Batu Nabau terletak hanya 50 meter dari kawasan rumah panjang di sini. Bagi kami di rumah panjang Bukong, Batu Nabau ini mempunyai hikayat atau cerita legendanya yang tersendiri,” katanya.

Kakitangan Utusan Sarawak bersama dengan satu rombongan yang diketuai oleh Nelson Naga Alam iaitu Setiausaha Sulit kepada Menteri Muda Permodenan Pertanian iaitu Datuk Dublin Unting Ingkot telah melawat sendiri ke tapak kawasan Batu Nabau pada jam 3 petang kelmarin.

Hasil tinjauan Utusan Sarawak mendapati bahawa Batu Nabau ini adalah merupakan sebongkah batu panjang yang seakan-akan menyerupai seekor ular gergasi dan merintangi kawasan Sungai Bukong terbabit.

Orang ramai yang ingin melihat sendiri keunikan Batu Nabau ini disyorkan agar berhati-hati dan mematuhi arahan yang tertera pada jalan masuk ke kawasan batu terbabit demi kebaikan diri sendiri.

Tamat.

Huruf Jawi di bongkah batu ular gergasi






Caption:

1. TAKSUB...Zulia (kanan) dan Naga (kiri beliau) sedang melihat huruf Jawi yang tertera pada Batu Nabau berkenaan di kawasan rumah panjang Bukong, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

2. UNIK...Inilah rupa gambar huruf Jawi yang diambil dari jarak dekat pada bahagian Batu Nabau berkenaan.

SRI AMAN, Jumaat ( 19 dis) – Kisah mengenai kewujudan Batu Nabau di daerah kecil Engkilili, Sri Aman yang tersiar di muka surat hadapan suratkhabar ini pada 19 Disember (Jumaat) sudah semestinya menarik perhatian para pembaca yang belum lagi mengetahui tentang keunikan batu berkenaan.

Bagaimanapun bagi rombongan yang telah melawat bongkah batu terbabit pada 18 Disember lalu, kewujudan tulisan huruf Jawi di bahagian tengah Batu Nabau ini sudah semestinya menjadi tanda tanya kepada mereka yang telah melihatnya dengan sendiri secara lebih dekat.

Itulah perkara yang terjadi kepada Penyelia Pemasaran Utusan Sarawak cawangan Sri Aman, Zulia Haji Jemat yang mula menyedari kewujudan tulisan huruf Jawi pada bahagian tengah Batu Nabau berkenaan.

“Huruf Jawi Lama yang terukir pada bahagian tengah batu berkenaan telah menarik perhatian saya apabila buat pertama kalinya mengesan kewujudan tulisan ini dari jarak dekat.

“Huruf Jawi iaitu Alif, Lam, Haa, Nun, Mim dan Sin tersusun dalam keadaan terbalik dan terpisah di antara satu sama lain. Tetapi jika iya disusun dengan tepat kesemua gabungan huruf Jawi ini boleh membentuk nama kalimah Allah,” katanya ketika memantau Batu Nabau berkenaan.

Sebaik sahaja mengambil gambar kewujudan huruf jawi berkenaan, beliau kemudiannya membawa perkara terbabit terhadap beberapa orang rakan yang lebih arif mengenai tulisan Jawi untuk pengesahan lanjut.

“Mereka juga berkata demikian ketika saya menunjukkan gambar mengenai kewujudan huruf Jawi ini kepada mereka. Itulah tanda kebesaran Allah kepada umatnya di dunia ini,” kata Zulia sambil menambah bahawa tulisan Jawi ini hanya boleh ditafsir oleh orang yang benar-benar mahir dalam penggunaan bahasa Jawi.

Kewujudan tulisan huruf Jawi pada bongkah Batu Nabau ini juga turut menarik perhatian Nelson Naga Alam, Setiausaha Sulit kepada Menteri Muda Permodenan Pertanian iaitu Datuk Dublin Unting Ingkot bersama ahli rombongan lain.

Batu Nabau, iaitu sebongkah batu besar yang menyerupai ular gergasi ini mempunyai ukuran panjang melebihi 30 kaki dan diameter melebihi dua meter. Ia terletak kira-kira 50 meter daripada Rumah Nyalau Muang, Bukong, Engkilili.

Kisah mengenai kewujudan Batu Nabau ini mula tersebar apabila seorang lelaki berketurunan Siam dari Kuala Lumpur mengalami mimpi mengenai ular gergasi menjadi batu sehingga menjurus pencariannya di kawasan Engkilili ini.

Tamat.